2,000 Meriahkan Karnival Kita Anak Malaysia

2,000 Pengunjung Meriahkan Karnival Kita Anak Malaysia | IKRAM

KUALA LUMPUR – Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI) yang berlangsung di UTM Kuala Lumpur di sini telah melabuhkan tirai pada petang Jumaat lalu dengan kehadiran kira-kira 2,000 orang pengunjung.

Timbalan Presiden IKRAM, Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan telah merasmikan KAMI yang julung kalinya dianjurkan IKRAM sempena Bulan Kebangsaan (SBK) 2022.

“Masyarakat Malaysia masyarakat yang berbilang-bilang bangsa, budaya dan agama tetapi hidup dalam rukun dan damai,” ujarnya.

Sebagai gimik pelancaran, lima pemuda berpakaian kaum-kaum di Malaysia dan kostum panda memakaikan pakaian tradisional Melayu kepada Dato’ Dr Hassan Basri.

Sebelumnya, karnival dimulakan dengan senaman kecergasan Zafina dengan elemen tarian zapin oleh Zafina Fitness telah diadakan pada awal pagi di Dataran Ilmu.

“Walaupun orang ramai, tetapi susunan reruai dan tempat persembahan yang strategik dan teratur menyebabkan suasana rasa santai,” ujar seorang pengunjung yang datang bersama dua orang anak kecilnya yang turut menyertai salah satu pertandingan yang dianjurkan.

KAMI turut diserikan dengan persembahan lagu patriotik serta lagu tema Selamanya Malaysia oleh SampaiJadi Records, tarian zapin, tarian Keluarga Malaysia dan tarian singa, yang merupakan antara acara yang ditunggu-tunggu oleh para pengunjung.

Selain itu, KAMI dimeriahkan lagi dengan persembahan bertenaga seni silat rajawali, wusyu, taichi dan silambam, di samping persembahan gendang urumi melam.

Terdapat juga aktiviti selari sepanjang hari iaitu Zon Interaktif (permainan kebudayaan), pelbagai permainan dan pertandingan di Zon Kanak-kanak dan khidmat kesihatan di Zon Kesihatan, di samping gerai makanan dan reruai pameran.

Turut berlangsung forum wanita “Teguh Bersama Memerangi Keganasan Terhadap Wanita” pada tengah hari, diikuti dengan penyampaian hadiah dan bicara berirama pada petangnya.

Pada penghujung karnival, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Sukri Omar, mewakili Ketua Pengarah JPNIN Pusat telah merasmikan majlis penutup KAMI dan SBK 2022.

“Tahniah dan syabas kepada IKRAM atas kejayaan menganjurkan KAMI 2022 sempena Hari Malaysia,” kata Sukri.

Majlis diserikan dengan penyerahan bendera Malaysia oleh wakil Konvoi Amal Perpaduan, Dato’ Dr Oteh Maskon daripada MyIKRAM Bikers kepada Sukri sebagai simbolik berakhirnya jelajah konvoi.

Beliau seterusnya menyampaikan barang bantuan kepada mereka yang memerlukan melalui wakil IKRAM Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin dalam ucapan penutupnya berkata, Malaysia dikenali di mata dunia sebagai negara yang cukup kaya dengan bangsa dan budaya yang berbeza-beza. 

“Sungguhpun menguruskan kepelbagaian ini penuh dengan liku-liku yang mencabar, namun tidak kurang detik-detik indah yang telah mewarnai sejarah tanah air kita,” ujarnya.

Beliau menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada pasukan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 dan jawatankuasa pelaksana KAMI atas kejayaan masing-masing menggerakkan kempen dan karnival tersebut.

2,000 Meriahkan Karnival Kita Anak Malaysia | IKRAM

Beliau turut memberikan penghargaan kepada semua pihak serta agensi kerajaan seperti Kementerian Perpaduan Negara, JPNIN dan DBKL, pihak swasta, beberapa ahli parlimen serta NGO pelbagai bangsa, agama, budaya dan latar belakang.

“IKRAM juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengunjung KAMI 2022 yang bersama-sama memeriahkan karnival ini dan semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama.”

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia