Objektif ijtima’ ini adalah untuk menjalinkan tautan ukhuwah di kalangan ahli IKRAM Negeri Selangor, meningkatkan keimanan dan kerohanian ahli serta memperkasakan aktivisme dakwah dalam masyarakat. Program yang bermula pada pagi Sabtu dimulai dengan bacaan al-Quran surah al-Muzzammil oleh Saudara Amir Afwan. Seterusnya YDP IKRAM Selangor, Prof Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus memberikan ucapan.
Antara isi ucapannya, beliau menyeru ahli-ahli supaya menjadi umat yang mencari-cari ilmu dan hidayah sebagai intipati iqra’ (surah al-‘Alaq) iaitu semangat untuk membaca, menelaah dan mencari-cari melalui tarbiah Ramadhan kerana jalan hidayah adalah jalan yang perlu dicari sebagaimana petikan ayat 6 surah al-Fatihah.
Beliau turut mengupas surah Yusuf ayat 108 tentang kepentingan berjamaah dalam menggerakkan ama-amal dakwah berdasarkan hujah, keterangan yang benar dan perancangan yang tersusun. Madah Saidina Ali Radhiyallahu ‘Anhu turut diselitkan sebagai pedoman dalam berperancangan:
“Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.”
Perasmian ijtima’ telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden IKRAM, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom diikuti dengan pelancaran infaq untuk pembelian Kompleks IKRAM yang baru. Kemudian, program diteruskan forum “Melonjakkan Aktivisme Du’at Melalui Tarbiah Ramadhan” oleh panel Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman dan Ustaz Dr Azhar Jailani yang dipengerusikan oleh Prof Dr Mohd Nazari Ismail.
Dr Zaharuddin menekankan betapa perlunya para du’at memaksimumkan amalan semasa Ramadhan samada dalam kuantiti mahu pun kualiti supaya adanya perbezaan amal dengan mad’u (orang yang didakwah) di samping menjadi contoh dan qudwah kepada orang lain.
Beliau turut menyarankan supaya persediaan Aidillfitri perlu dibuat sebelum Ramadhan supaya tidak hilang fokus merebut pahala ibadah 10 malam terakhir Ramadan, iaitu malam paling berharga di dunia kerana ada padanya Lailatul Qadr.
Dr Azhar pula menjelaskan bahawa banyak amalan semasa Ramadhan lebih kepada amalan-amalan individu adalah untuk mewujudkan kemahuan yang tinggi kepada para du’at untuk melonjakkan aktivisme selepas Ramadhan.
Kisah para sahabat seperti Amru bin Al-Ash yang membuka Mesir menjadi contoh kemahuan dakwah yang tinggi untuk menyebarkan Islam. Beliau turut mengulas keutamaan al-Quran semasa Ramadhan dan syafaat untuk pembacanya, yang membuka pelbagai dimensi ilmu dan penghayatan sehingga diistilahkan sebagai ‘sahabat al-Quran’ bagi mereka yang mengamalkannya.
Sesi IRIS 2012 selepas Zohor bersambung dengan penyampaian Dr Danial Zainal Abidin yang bertajuk “Dakwah Kontemporari”. Beliau menegaskan bahawa dakwah adalah tugas yang wajib untuk semua umat Islam. Mengambil petikan hadis, beliau mengingatkan tentang ancaman azab dan doa yang tidak makbul jika kerja-kerja dakwah tidak dilakukan.
Menurutnya, tidak sempurna ilmu dan diri tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menyampaikan dakwah. Jika menunggu kesempurnaan, ia akan menyebabkan sampai bila-bila pun mesej dakwah tidak akan dapat disampaikan kerana kesempurnaan ilmu dan diri tidak akan tercapai sampai bila-bila. Dr Danial menyarankan supaya jika ada ilmu sedikit, sampaikan ilmu yang sedikit itu kepada yang lain.
Beliau berkongsi tips menyampaikan dakwah menurut tabi’in Sufyan Ats-Tsauri bagi tujuan amar makruf nahi munkar iaitu bersikap lemah lembut dengan apa yang diseru, bersikap adil dengan apa yang diseru dan mempunyai ilmu dengan apa yang diseru. Beliau turut menjelaskan ciri pendakwah menurut Imam al-Ghazali iaitu berilmu, wara’ (merendah diri) dan berakhlak baik.
Selepas solat Asar, peserta dihidangkan dengan perkongsian lawatan kerja IKRAM di Gaza oleh JK Hal Ehwal Antarabangsa (JKHA) IKRAM oleh Pengerusi, Ustaz Wan Subki Wan Salleh. Perkongsian tentang krisis umat Rohingya turut disampaikan oleh Pengurus JKHA, Wan Mohd Yusuf Wan Ismail yang baru pulang dari Myanmar.
Seterusnya, Pengerusi JK Pembangunan Ekonomi IKRAM, Hj Shahrom Shariff memberi taklimat tentang infaq bagi pembelian Kompleks IKRAM dan perkembangan terkini mengenainya.
Peserta ijtima’ kemudiannya menyertai iftar, solat tarawih, qiyamullail, sahur, tilawah dan kuliah di Masjid Negeri tersebut. Pagi Isnin keesokannya, Timbalan YDP IKRAM Selangor, Ustaz Shamsul Maarif Ismail menyampaikan ucapan penutup.
Semoga ijtima’ ini memberi roh baru terhadap aktivisme dakwah para du’at di Selangor dengan terjalinnya ukhuwah dan meningkatnya keimanan melalui pelbagai perkongsian ilmu dan pengalaman, iktikaf serta amal ibadah Ramadhan di MSSAS ini, insya-Allah.