1MDB: Petanda Malaysia akan menjadi Greece kedua?

PAC menyatakan bahawa masalah yang dihadapi oleh syarikat tersebut adalah semata-mata akibat kegagalan Ahli Lembaga syarikat berkenaan serta pengurusannya menjalankan tugas mereka dengan baik. 

PAC juga menamakan bekas Pengarah Urusannya, En. Syahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai individu yang paling boleh dipersalahkan. Bagi sesetengah pihak, laporan itu membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan selama ini kepada Perdana Menteri Malaysia adalah tidak berasas.

Namun bagi sesetengah pihak yang lain pula, laporan itu tidak semestinya memberi implikasi bahawa Perdana Menteri tidak boleh dipersalahkan kerana bukan sahaja beliau adalah Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat tersebut, bahkan 1MDB adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang di bawah tanggungjawab langsung beliau selaku Menteri Kewangan.

Di samping itu juga, PAC telah tidak dibenarkan mengkaji transaksi perbankan 1MDB di luar negara serta tidak dibenarkan menyoal beberapa individu penting termasuk Jho Low , seorang individu yang sangat berkait rapat dengan beberapa transaksi 1MDB yang dikatakan oleh PAC sebagai bertentangan dengan peraturan tatakelola yang baik.

Akhir sekali, laporan pengauditan oleh Jabatan Audit Negara berkenaan 1MDB juga telah diklasifikasi sebagai dokumen rahsia mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan oleh itu, tidak dibentangkan bersama laporan PAC kepada umum.

Namun demikian, apa yang jelas ialah 1MDB telah dibenarkan oleh kerajaan untuk berhutang dengan banyak sehingga mencecah jumlah RM50 bilion pada bulan Januari 2016. 1MDB juga perlu membayar bunga sebanyak RM3.3 bilion bagi hutang yang ditanggung antara tempoh 1 April 2014 sehingga 31 Mac 2015.

Oleh kerana pendapatan 1MDB tidak mencukupi, maka 1MDB juga telah terpaksa menambahkan hutangnya demi untuk membayar hutang yang telah matang serta untuk membayar bunga atas hutang yang masih ditanggung.

Oleh itu, amatlah jelas bahawa 1MDB bukan sahaja adalah syarikat yang sangat bermasalah daripada segi kewangan, bahkan kerajaan telah mengenepikan prinsip ‘patuh syariah’ dalam pengurusan kewangan syarikat miliknya. Ini menimbulkan tanda tanya sejauh manakah keseriusan kerajaan apabila menyatakan kepada umum rancangannya untuk memastikan hukum syariah dipatuhi dalam urusannya.

Seperkara lagi yang jelas ialah kerajaan telah meletakkan risiko kewangan syarikat ini di atas bahu rakyat Malaysia, termasuk daripada golongan miskin dan lemah. Ini kerana jika 1MDB mengalami masalah membayar hutangnya, maka kerajaan terpaksa menanggung RM20.31 bilion daripada hutang tersebut. Ini belum lagi mengambil kira bayaran bunga yang juga terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

Perlu disedari oleh semua bahawa jumlah RM20.31 billion itu adalah sangat besar kerana ia adalah melebihi keseluruhan peruntukan kerajaan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi untuk tahun 2016 dan tiga kali lebih besar daripada belanjawan kerajaan negeri Selangor untuk tahun ini.

Apakah pengajaran utama daripada episod 1MDB ini?

Untuk memahami sepenuhnya implikasi daripada kes 1MDB, kita patut menyingkap balik krisis yang berlaku di Greece pada tahun 2009. Pada tahun itu, kerajaan Greece mengumumkan bahawa maklumat kewangannya sebenarnya telah dimanipulasi selama beberapa tahun dan hutangnya adalah lebih besar daripada apa yang dilaporkan selama ini.

Akibat daripada tindakan pemimpinnya yang korup, menipu dan tidak amanah ini, Greece telah disekat dari terus meminjam dari pasaran kewangan. Oleh kerana selama ini, ia perlu meminjam untuk membayar hutangnya, maka akibatnya Greece tidak lagi mampu membayar hutangnya dan oleh itu, telah berada dalam situasi hampir muflis.

Jika ia jatuh muflis, maka sektor perbankan antarabangsa, terutama dari Jerman dan Perancis yang banyak memberi hutang kepada Greece akan menghadapi masalah untuk memperolehi kembali hutang tersebut. Akibatnya tentu sektor kewangan kedua negara tersebut dan seluruh Eropah mungkin akan terjejas teruk. 

Untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku, maka tiga pertubuhan penting dalam sektor kewangan Eropah iaitu Tabung Monetari Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF), Bank Pusat Eropah (ECB) dan Suruhanjaya Eropah atau European Commission (EC) telah memberi bantuan hutang kepada Greece untuk mengatasi masalah kewangannya yang berjumlah lebih daripada 240 bilion Euro (lebih kurang RM1 trilion).

Sudah tentu terdapat pelbagai syarat dikenakan kepada Greece bersama hutang itu, antaranya ialah langkah jimat cermat yang ketat. Akibatnya belanjawan dikecilkan, subsidi dipotong dan cukai dinaikkan. Langkah-langkah ini telah membuatkan kehidupan rakyat Greece sengsara sehingga ke hari ini. Tambahan pula, pendapatan yang dihasilkan oleh langkah-langkah tersebut juga tidak dapat dinikmati oleh rakyat Greece kerana hampir kesemuanya digunakan untuk membayar hutang negara. 

Semenjak tahun 2009, kadar pengangguran di Greece kekal tinggi kerana ekonominya masih tidak dapat dipulihkan. Kesengsaraan rakyatnya dapat dilihat daripada peningkatan masalah sosial. Sebagai contoh, kadar bunuh diri meningkat 35% dari tahun 2011-2012. Masalah lain seperti kemurungan dan pelacuran juga telah meningkat secara mendadak.

Kemungkinan besar senario yang teruk di Greece tidak akan berlaku di negara kita dalam masa terdekat. Ini kerana hutang kerajaan Malaysia daripada sumber luar negara adalah jauh lebih rendah berbanding Greece. Namun demikian, apa yang membimbangkan kini adalah trend untuk berhutang daripada sumber luar negara yang semakin menular. 

Sebagai contoh, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan hutang 1MDB adalah daripada sumber luar negara. Jika amalan suka berhutang daripada sumber luar negara ini terus meningkat terutamanya oleh kerajaan atau syarikat milik kerajaan, maka tidak mustahil suatu hari nanti masalah yang berlaku di Greece juga akan dihadapi oleh negara kita. 

Sebagai rumusan, antara perkara terpenting yang mesti diwujudkan dalam negara kita untuk memastikan kebajikan rakyat terjamin dalam jangka panjang adalah melantik pemimpin yang amanah, tidak korup dan tidak menipu rakyat. 

Di samping itu, kerajaan dan entiti miliknya mesti disekat daripada amalan berhutang, terutamanya daripada sumber luar. Jika kedua-dua perkara tersebut tidak berjaya dilaksanakan di negara kita, maka nasib masa depan generasi akan datang di Malaysia akan menjadi sangat malap dan membimbangkan.

Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan
Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia