Pemergian mereka ke Gaza dengan meninggalkan keluarga dan rakan-rakan, ditambah dengan situasi terkini yang agak tegang di bumi bergolak itu, memang dibalut rasa sayu. Namun semangat Badar dan Ramadan pantas memadamkan perasaan tersebut. Apatah lagi perjalanan ini adalah demi menyempurnakan misi menyampaikan bantuan kepada manusia yang saban hari sentiasa dinafikan hak untuk hidup merdeka.
Seramai 100 orang yang tabah melepaskan pejuang-pejuang ini di KLIA mengaminkan doa yang dibaca oleh ahli jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus. Kandungan doa yang dituturkan mantan Pengerusi Aqsa Syarif ini jelas menyerahkan keselamatan para aktivis kepada Allah, bertawakal kepada-Nya dan redha dengan apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku.
Misi A2G2 diketuai oleh Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar, salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif. Sembilan orang yang mengiringi beliau adalah Hj Yusof Suratman, Dr Mohd Tahir Abdul Rahman, Prof Dr Mohd Roslan Hashim, Ar (Arkitek) Syed Mohd Radi Syed Sakaf, Sdr Muhammad Munawir, Hj Khalil Khamis,Pn Noorazian Anidin dan Pn Siti Ramlah dan Che Noorhasyimah.
Seorang lagi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif yang hadir, Dr Fauziah Mohd Hasan berpesan kepada para sukarelawan supaya sentiasa merapatkan hubungan dengan Allah dan mengutamakan keputusan syura.
“Anda semua membawa amanah yang besar iaitu dana berjumlah RM1.1 juta hasil sumbangan pelbagai pihak. Jumlah ini melebihi empat kali ganda sasaran awal iaitu RM250,000. Terima kasih kepada rangkaian komunikasi IKRAM yang membuat promosi berterusan dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden IKRAM, Ustaz Wan Subki Wan Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa IKRAM mengucapkan syabas dan terima kasih kepada ahli-ahli IKRAM dan seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama mencipta satu lagi hari bersejarah menyalurkan bantuan ke bumi para nabi.
“Saya sebenarnya berasa agak pilu untuk melepaskan sukarelawan kita dalam keadaan situasi di Gaza ketika ini agak runcing. Tentera Israel terus menyerang… dilaporkan enam orang terkorban dan 20 lagi cedera. Tetapi perjuangan ini mesti diteruskan!” katanya dengan penuh semangat.
Ustaz Wan Subki kemudiannya menyerahkan beberapa barangan kepada Dr Mohd Zin yang secara simboliknya mewakili sumbangan daripada rakyat Malaysia dan dalam masa yang sama menyokong segala projek Aqsa Syarif di Gaza.
Penerbangan A2G2 menuju Mesir melalui beberapa negara dan melakukan transit di lapangan terbang Doha, Qatar sebelum meneruskan perjalanan ke Kaherah mengikut jalan darat untuk menuju ke selatan Gaza.
Sepanjang penerbangan, para peserta mengisi masa dengan amalan-amalan peribadi seperti membaca al-Quran dan membuat perancangan bagi meneruskan perjalanan yang masih panjang. Mereka dijangka menyempurnakan misi A2G2 selama lapan hari.
(Sebahagian gambar dipetik dari blog Aqsa Syarif)