Menurut wakil tersebut, Dr Suhaib, dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Iraq, kita jangan melupakan persoalan kekejaman puak Syiah Iraq ke atas saudara Sunni Iraq. Beliau turut menekankan agar kita sama-sama mengetengahkan isu ini ke tengah masyarakat agar mereka dapat mengetahui bahayanya fahaman Syiah itu sendiri yang berterusan mempunyai dendam kesumat ke atas Muslim Sunni.
Ustaz Fairooz menyatakan perkara tersebut dalam Jaulah Salam Iraq dengan para penggerak JK Pembelaan Umat Sejagat (JKPUS) IKRAM Selangor pada Rabu 17 Oktober lalu bertempat di Pejabat IKRAM Negeri Selangor. Jaulah ini bertujuan untuk berkongsi bahan penerangan selain bertukar-tukar fikiran dan idea bagi menggerakkan penerangan isu kemanusiaan Iraq selain menjana bantuan kewangan untuk rakyat Iraq.
Salam Iraq Pusat diwakili oleh Pengerusi Salam Iraq, Ustaz Mohd Fairooz Mohd Fathillah, Noorsyazly Rameli (Pegawai Eksekutif) dan 2 ahli sekretariat Pusat, Hanafi Sudi dan Ismail Sulaiman. Manakala dari Selangor pula dibarisi oleh Pengerusi JKPUS Selangor, Haji Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf (gambar kiri) bersama-sama 12 wakil JKPUS bagi IKRAM Daerah di Selangor.
Majlis yang bermula pada jam 9.30 malam dimulai dengan ucapan aluan Pengerusi JKPUS Selangor lalu disusuli dengan penerangan ringkas berkenaan agensi IKRAM ini oleh Pengerusi Salam Iraq. Seterusnya, penerangan menerusi slaid telah disampaikan oleh Noorsyazly Rameli yang berkisar sekitar isu-isu semasa di Iraq. Akhir sekali, sesi soal-jawab antara Salam Iraq Pusat dan JKPUS Selangor turut diadakan.
Hasil dari pertemuan ini, pelbagai input yang berguna telah diperolehi oleh pimpinan Salam Iraq Pusat untuk penambahbaikan bagi merancakkan aktivisme Salam Iraq. Selain itu, semua pimpinan JKPUS daerah-daerah turut dapat berkongsi berita-berita serta bahan-bahan penerangan terbaharu berkaitan Iraq untuk dikongsi dengan masyarakat.
Isu terbaru di Iraq berkisar tentang hukuman gantung oleh Mahkamah Iraq ke atas Naib Presiden Iraq, Tareq Al-Hashimi yang berfahaman Sunni, ekoran pendedahan beliau bahawa kerajaan Iraq pimpinan Nuri Al-Maliki memberikan sokongan kepada rejim Basyar dengan menghantar tentera militia Iraq ke Syria bagi membantu tentera Syria melakukan pembunuhan ke atas rakyat awam. Al-Hashimi kini telah melarikan diri ke Turki untuk mendapatkan suaka politik.
Dalam sesi soal-jawab, persoalan Syiah menjadi intipati kepada fokus perbincangan. Wakil-wakil yang hadir menekankan agar perlunya ditekankan isu Syiah ini disampaikan dengan lebih serius kepada khalayak berdasarkan mekanisme penerangan dan penyampaian yang sesuai.