Yaman yang tidak aman, perlukan pembelaan

Sekitar 3.65 juta orang pelarian tinggal di Yaman sementara banyak yang melarikan diri ke negara-negara lain seperti Mesir, Sudan, Jordan, Malaysia dan Somalia untuk mendapatkan perlindungan dan keselamatan.

 

Menurut kedutaan Yaman di Kaherah, jumlah penduduk Yaman di Mesir antara 500,000 hingga 700,000, yang merupakan peningkatan yang signifikan dibandingkan dengan jumlah mereka sebelum berlakunya perang, iaitu hanya sekitar 70,000.

 

Walau bagaimanapun, jumlah pelarian Yaman yang mendaftar sebagai pelarian atau pencari suaka dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) hanya 9,200 dan negara Mesir menjadi tuan rumah sekitar 250,000 pencari suaka dan pelarian dari pelbagai negara yang berdaftar dengan badan PBB itu.

 

Mesir telah memainkan peranan politik yang terkehadapan dalam urusan Yaman. Komuniti Yaman telah wujud di Kaherah selama beberapa dekad dan jumlahnya telah meningkat secara mendadak sejak revolusi 1962.

 

Namun di sebalik kisahnya itu, ramai pelarian Yaman di Mesir berjuang untuk menguruskan kehidupannya berikutan mereka menghadapi masalah ekonomi, memandangkan kekurangan peluang pekerjaan, di samping berjuang untuk menampung perbelanjaan perubatan dan pendidikan.

 

UNHCR telah mengemukakan penerangan mengenai keadaan ekonomi dan kehidupan pelarian Yaman dan dilaporkan 20,000 pelarian Yaman di Kaherah menghadapi cabaran keperluan harian mereka dan sokongan yang mereka terima daripada UNHCR tidaklah mencukupi.

 

Menelusuri sejarahnya

 

Selain itu, Mesir telah menjadi tuan rumah komuniti Yaman dari masa ke masa, menjadi persimpangan perdagangan dan budaya yang terkenal di dunia Arab. Jumlah komuniti ini yang sebahagian besar anggotanya tinggal di Kaherah, bertambah berikutan revolusi Yaman Utara pada tahun 1962 yang disokong oleh Presiden Mesir ketika itu, Gamal Abdel Nasser.

 

Beberapa orang Yaman mendapat pendidikan dari profesor Mesir di Yaman kerana kurikulum yang diterapkan di sana adalah kurikulum Mesir hingga tahun 1980-an. Faktor sejarah dan sosial ini memainkan peranan utama dalam keputusan pelarian Yaman untuk berhijrah ke Mesir setelah tercetusnya konflik semasa.

 

Hakikatnya sebelum perang, Mesir adalah destinasi rakyat Yaman untuk menerima rawatan perubatan, belajar atau melancong, kerana mereka tidak memerlukan visa untuk memasuki negara itu dan mereka dapat tinggal secara kekal tanpa perlu mendapatkan keizinan.

 

Pada akhir Mac 2015, Arab Saudi melancarkan kempen ketenteraannya melawan kumpulan militia Houthi di utara Yaman bagi menghapuskan pengaruh Iran yang didakwa memberikan sokongan kewangan dan persenjataan kepada kumpulan itu.

 

Setelah itu, Mesir mengenakan prosedur baru iaitu pelarian Yaman yang ingin pergi ke negaranya mesti mendapatkan visa masuk, dan mereka yang ingin tinggal di negara Arab itu perlu mendapatkan permit permastautinan.

 

Manakala, mereka yang berusia di bawah 18 tahun dan mereka yang berusia lebih 50 tahun dikecualikan daripada prosedur ini. Dengan keadaan yang terjadi, Mesir memberikan penduduk Yaman untuk tempoh waktu enam bulan yang boleh diperbaharui setelah memasuki negara itu.

 

Apa yang tragisnya, ramai pelarian Yaman yang terlantar berikutan perang tinggal di Mesir sebagai penduduk yang memiliki izin menetap dan tidak didaftarkan sebagai pelarian atau pencari suaka kerana beberapa sebab seperti keinginan mereka untuk mengekalkan kemampuan untuk kembali ke Yaman bila-bila pun mereka mahu.

 

Berbeza bagi mereka yang berdaftar dengan UNHCR, kebanyakan mereka berasal daripada golongan miskin yang mengharapkan bantuan ekonomi asas. Oleh itu, UNHCR tidaklah secara rutin melakukan proses penentuan suaka bagi pelarian Yaman di Mesir kecuali jika mempertimbangkan untuk menetapkan semula mereka atau jika mereka memerlukan pemeriksaan lebih lanjut.

 

Latar belakang berbeza

 

Pelarian Yaman di Mesir berasal dari pelbagai tempat di Yaman dan tergolong dalam kelas sosial dan latar belakang budaya yang berbeza. Kebanyakan mereka tinggal di Kaherah di sebelah barat Sungai Nil, di kawasan yang dikenali sebagai Giza, Faisal, Ard al-Lewa, Mohandessin dan Dokki. Sebilangan keluarga Yaman juga tinggal di kawasan yang jauh dari pusat bandar.

 

Mesir menjadi tuan rumah pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR dari 57 negara lain, yang mana kebanyakan mereka dari Syria, Sudan, Sudan Selatan, Eritrea, dan Ethiopia.

 

Di Mesir, pelarian dan pencari suaka menikmati hak untuk bekerja dengan syarat mendapat izin kerja yang sukar diperoleh kerana halangan negara. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan rawatan perubatan di kemudahan kesihatan negeri, tetapi beberapa perkhidmatan perubatan memerlukan pembayaran.

 

Pada Februari 2019, UNHCR melaporkan bahawa jumlah pelarian berdaftar dan pencari suaka di Mesir telah meningkat sebanyak 24 peratus dalam dua tahun sebelumnya berikutan cabaran kewangan kerana operasi UNHCR di Mesir hanya menerima 46 peratus daripada dana wang yang diperlukan pada tahun 2019. Menjelang Ogos 2020, UNHCR hanya menerima 35 peratus kewangan yang diperlukan untuk tahun 2020. 

 

Sebagaimana kata Pesuruhjaya Tinggi UNHCR Filippo Grandi, lapan daripada 10 pelarian hidup dalam keadaan kemanusiaan yang menyedihkan dan tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka.

 

“Pelarian ini memerlukan bantuan kemanusiaan yang mencukupi dan tepat waktu. Namun, kami sekarang tidak dapat menyediakan mereka dengan keperluan asas atau mengekalkan program perlindungan pelarian asas kami di negara ini.”

 

Secara umum, keluarga Yaman tinggal di kawasan kejiranan yang sesak dan miskin, sementara keluarga besar memasuki pangsapuri yang sempit kerana mereka tidak mampu memiliki rumah yang lebih besar. Memang benar bahawa keluarga-keluarga ini mungkin juga mengalami masalah ekonomi di Yaman sebelum perang, tetapi mereka sering tinggal di rumah-rumah yang mereka miliki dan dapat mencari pekerjaan dengan lebih mudah.

 

Dalam pada itu, kajian yang dilakukan pada tahun 2018 mendapati bahawa sekitar 80 peratus pelarian dan pencari suaka dari sub-Sahara Afrika, Iraq dan Yaman menurunkan kadar perbelanjaan isi rumah di bawah perbelanjaan UNHCR minimum yang merupakan salah satu petunjuk aras kemiskinan.

 

Terdapat beberapa isu antaranya keluarga Yaman dalam keadaan ekonomi yang teruk dan meminjam wang daripada rakan dan saudara untuk menampung keperluan mereka atau membayar rawatan perubatan. Sebilangan pelarian Yaman juga mendapatkan bantuan daripada dermawan Yaman di Mesir melalui komunikasi peribadi atau inisiatif tempatan.

 

NGO Malaysia giat kempen bantu Yaman

 

Oleh yang demikian, Gabungan NGO Malaysia dan Yaman telah melancarkan kempen Help Yemen bagi meringankan beban kemanusiaan yang semakin teruk melanda negara itu.

 

Sebagaimana kata Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam satu sidang media kempen Help Yemen yang diadakan pada 25 Mac lalu;

 

“Kempen ini bertujuan mengumpul RM4.6 juta untuk membantu 22,000 pelarian dalam negara (IDPs) yang terjejas teruk dan memerlukan bantuan kemanusiaan terutama makanan, tempat perlindungan dan penjagaan kesihatan.”

 

Menurutnya, sejak keganasan yang meletus pada akhir Mac 2015 itu, Yaman kekal menjadi negara yang berdepan dengan krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

 

“Konflik lebih enam tahun itu menyebabkan kemerosotan ekonomi, keruntuhan institusi yang mengakibatkan 24 juta orang (80 peratus penduduk) memerlukan bantuan dan perlindungan kemanusiaan serta 13.5 juta orang menghadapi masalah sekuriti makanan.

 

Beliau menyeru masyarakat dunia agar memberikan bantuan yang sewajarnya untuik pelarian yaman.

 

“Masanya telah tiba untuk kita memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Yaman yang telah menjadi pelarian domestik.”

 

Menurut Dr Hafidzi, kempen Help Yemen dinaungi kedutaan Yaman dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA), MyCARE, HALUAN, Global Peace Mission (GPM), ALTAWASUL, INSAN dan masyarakat Yaman di Malaysia.

 

Bagi yang ingin menyumbang dalam tabung Help Yemen melalui MyCARE, sila layari pautan donate.mycare.org.my/c/yaman atau akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad (CIMB 8602135592) dengan rujukan ‘Help Yemen’.

 

Perlindungan pelarian

 

Sewajarnya UNHCR mempertimbangkan permohonan penempatan semula bagi pelarian dan memastikan bahawa pilihan berdasarkan keperluan untuk perlindungan antarabangsa, tanpa mengira kewarganegaraan.

 

Masyarakat dunia seharusnya meningkatkan sokongan untuk pelarian Yaman. Selain doa, sumbangan kewangan juga perlu bagi membantu kehidupan mereka yang sangat terkesan lagi terjejas.

 

Namun, semua itu perlu dipastikan dengan teliti agar status kelayakan untuk menerima bantuan termasuk mereka yang paling memerlukannya. Selain itu, UNHCR harus memastikan bahawa pelarian Yaman yang memerlukan perlindungan antarabangsa dimasukkan dalam permohonan penempatan semula ke negara ketiga.

 

Tidak terkecuali, advokasi bagi meningkatkan perhatian antarabangsa terhadap penderitaan pelarian Yaman perlu dipertingkatkan bagi memberi peluang untuk bantuan dan penempatan semula, mendidik pelarian Yaman mengenai hak dan program sokongan serta bantuan yang tersedia untuk mereka. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia