Kematian, kehancuran berterusan di Yaman

Laporan yang dikeluarkan oleh United Nations Development Programme (UNDP) pada Selasa menganggarkan bahawa menjelang akhir tahun ini, perang tujuh tahun di Yaman akan menyebabkan 377,000 kematian secara langsung dan tidak langsung.

 

“Kami mendapati bahawa menjelang akhir tahun 2021, konflik di Yaman akan mengakibatkan 377,000 kematian, iaitu hampir 60 peratus daripadanya kira-kira 226,200 adalah secara tidak langsung.”

 

Menurutnya, kematian langsung adalah yang disebabkan oleh pertempuran dan peratusan mereka iaitu 40 peratus atau 150,800 kematian.

 

Manakala kematian tidak langsung adalah disebabkan masalah berkaitan konflik seperti kekurangan akses kepada makanan, air dan penjagaan kesihatan.

 

“Kematian ini sebahagian besarnya menjejaskan kanak-kanak yang sangat terdedah kepada kekurangan zat makanan,” menurut laporan itu.

 

Beliau menyatakan bahawa pada 2021, seorang kanak-kanak Yaman di bawah umur lima tahun meninggal dunia setiap sembilan minit akibat konflik itu.

 

1.3 juta orang akan terbunuh

 

Peperangan di negara termiskin di Semenanjung Arab itu memusnahkan infrastruktur, meruntuhkan ekonomi dan meletakkan berjuta-juta penduduk di ambang kebuluran, di tengah-tengah ketidakupayaan antarabangsa untuk menghentikan peperangan walaupun usaha diplomatik diadakan berterusan.

 

Laporan yang diperoleh Agence France-Presse itu memberi amaran bahawa perebutan kuasa antara kerajaan dan pemberontak Houthi akan menyebabkan kematian 1.3 juta orang jika ia berterusan selama satu dekad, seterusnya akan meningkatkan kadar kemiskinan.

 

“Jika konflik berterusan sehingga 2030, ia akan membunuh 1.3 juta orang menjelang tahun itu,” katanya.

 

Laporan itu juga menambah, kematian tidak akan berlaku kerana pertempuran, sebaliknya kerana kesan sekunder konflik terhadap mata pencarian, harga makanan dan kemerosotan perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan.”

 

“Kami menjangkakan bahawa kadar kematian akibat faktor sekunder akan meningkat kepada 75 peratus menjelang 2030 jika perang berterusan.”

 

Krisis kemanusiaan terburuk di dunia

 

Terdahulu, laporan itu meramalkan bahawa bilangan mereka yang kekurangan zat makanan akan mencecah 9.2 juta menjelang 2030, manakala jumlah mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar akan meningkat kepada 22 juta, atau 65 peratus daripada populasi yang ada iaitu kira-kira 30 juta orang, sebagaimana mengikut kadar terkini.

 

Dalam pada itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yaman sedang menyaksikan krisis kemanusiaan paling teruk di dunia. Konflik yang berlaku telah menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, memusnahkan ratusan sekolah dan mengganggu sistem kesihatan dan pendidikan rakyatnya.

 

Terbantut dua dekad

 

UNDP telah memberi amaran pada masa lalu bahawa perang di Yaman telah menyebabkan pembangunannya tidak berkembang selama lebih dua dekad.

 

“Jika perang berhenti sekarang, akan ada harapan untuk masa depan yang lebih cerah di Yaman yang dikatakan boleh mencapai status berpendapatan sederhana menjelang 2050.”

 

Namun, hakikatnya adalah sebaliknya iaitu keadaan sama yang berterusan.

 

Pertempuran yang semakin membara, termasuk pertempuran kereta kebal, pengeboman biasa oleh kedua-dua pesawat tempur dan serangan dron telah memusnahkan pelbagai infrastruktur paling asas di beberapa kawasan.

 

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pertempuran telah meningkat di beberapa kawasan, kebanyakannya berhampiran bandar strategik Ma’rib, iaitu kubu kuat terakhir kerajaan yang diiktiraf antarabangsa di utara Yaman yang kaya dengan minyak.

 

Beribu-ribu pemberontak dan pejuang pro-kerajaan terbunuh dalam pertempuran di bandar itu.

 

40,000 melarikan diri

 

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) dalam kenyataan berasingan pada Selasa berkata:

“Kami sangat bimbang tentang keselamatan orang awam di Ma’rib, termasuk lebih daripada sejuta orang yang dianggarkan kehilangan tempat tinggal.”

 

Jurucakap UNHCR Shabia Mantou berkata di Geneva bahawa kira-kira 40,000 orang telah terpaksa melarikan diri di Ma’rib sejak September.

 

“Keadaan kesihatan seperti cirit-birit berair yang teruk, malaria dan jangkitan saluran pernafasan adalah perkara biasa dalam kalangan mereka yang baru berpindah.”

 

Bulan ini, Houthi juga menguasai kawasan besar di selatan Hodeidah, sebuah pelabuhan di Laut Merah di mana pihak yang berperang bersetuju untuk gencatan senjata pada 2018 dengan penempatan semula pasukannya.

 

“Berjuta-juta rakyat Yaman terus mengalami konflik dan terperangkap dalam kemiskinan serta mempunyai sedikit peluang untuk pekerjaan bagi mendapatkan mata pencarian,” kata Pengurus UNDP Achim Steiner.

 

Justeru, lebih 80 peratus daripada populasi iaitu kira-kira 30 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan, manakala ekonomi negara itu berada di ambang kehancuran.

 

“Yaman menjadi negara bencana kemanusiaan, penindasan yang paling teruk serta terbesar di dunia dan ia terus meningkat.”

 

Jenayah antarabangsa

 

Dalam perkembangan lain, Arab Saudi telah menyatakan kecamannya terhadap tindakan kumpulan Houthi yang telah menyerbu kedutaan AS di ibu kota Yaman, Sana’a, dan penahanan sejumlah pekerjanya.

 

Ini dinyatakan oleh Kementerian Luar Arab Saudi:

“Kementerian Luar Negeri menyatakan kecaman yang kuat berikutan tindakan kumpulan pengganas Houthi yang menyerbu ibu pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Sana’a, Yaman dan penahanan beberapa pekerja kedutaan.”

 

Dalam kenyataannya, kementerian itu menegaskan bahawa ini adalah perbuatan jenayah yang dilakukan oleh pengganas Houthi ini dan ia adalah satu pelanggaran terang-terangan terhadap norma undang-undang antarabangsa, serta kementerian juga menyeru supaya segera membebaskan pekerja kedutaan AS.

 

“Kepentingan masyarakat antarabangsa berdiri teguh dalam menghadapi pelanggaran yang dilakukan oleh kumpulan pengganas Houthi di Yaman dan kepentingan melaksanakan resolusi antarabangsa untuk mencapai penyelesaian politik komprehensif bagi menjamin keselamatan dan kestabilan Yaman.”

 

Menerusi ciapan di Tweeter Kedutaan AS di Yaman:

“Amerika Syarikat mengecam penangkapan dan penganiayaan Houthi terhadap berpuluh-puluh rakyat Yaman dan ahli keluarga mereka hanya kerana mereka bekerja sebagai pekerja kerajaan Amerika Syarikat di Sana’a.”

 

Houthi adalah kelompok militan Zaidi Syiah yang aktif beroperasi di utara Yaman. Nama kumpulan ini adalah sempena nama Badreddin Hussein al-Houthi, iaitu bekas komander mereka yang dilaporkan terbunuh di tangan pasukan tentera Yaman pada bulan September 2004.

 

Antara komander mereka ialah Ali al-Qatwani, Abu Haider, Abbas Aidah dan Yousuf al-Madani (anak lelaki ipar dari Hussein al-Houthi) juga telah terbunuh oleh pasukan tentera Yaman. Badreddin Hussein al-Houthi dikatakan pemimpin spiritual mereka.

 

Foto: ICRC

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia