Seramai 145 orang peserta dari seluruh semenanjung Malaysia telah hadir menjayakan program kental ini. ini merupakan salah satu daripada Projek Kepimpinan Remaja IKRAMTeens iaitu Projek Dua Tahun Remaja Cemerlang (PRODUCE).
Objektif utama program ini ialah melatih para pemimpin remaja agar sentiasa di dalam keadaan kental, lasak dan kuat fizikal. Di samping itu, beberapa sifat pemimpin Muslim juga diterapkan sebagai asas dalam menjadi seorang pemimpin, diantara sifat yang ditekankan ialah pegangan akidah yang sejahtera, kefahaman ibadah yang benar, keperibadian akhlak terpuji dan memiliki ketahanan fizikal yang mantap.
Demi merealisasikan objektif ini, pelbagai aktiviti telah dirancang melalui pelbagai konsep dan kaedah, antaranya The Great Treasurehunt, Nike Wok, Kembara Masuk Kampung dan War Game 4 junior. Selain itu, juga terdapat persembahan kumpulan melalui slot “ Studio IKRAM “. Majlis penutup telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia Remaja (JKBR) IKRAM Pusat, Saudara Shahrul Aman Saari dan juga Setiausaha JKBR IKRAM Pusat, Saudara Wan Muhammad Wan Ibrahim.
Antara ucapan Pengerusi JKBR ialah, para peserta harus siap sedia untuk terus bersama membantu agenda dakwah IKRAM di lokaliti masing-masing, jangan biarkan cuti selama 2 bulan ini dihabiskan dengan bermain game, online Facebook dan sebagainya. Menurut Pengarah program XREK 2012, Saudara Syed Ahmad Safwan Syed Ibrahim, XREK 2012 mempunyai kelainannya tersendiri dan berjaya mengorak langkah melakukan satu anjakan paradigma dalam melaksanakan XREK 2012 ini.
Salah seorang fasilitator, Saudara Mohd Hafiz Abd Hamid menyatakan, sebulan sebelum XREK 2012, jawatankuasa XREK 2012 telah mengadakan bengkel khusus untuk XREK 2012 dan hasilnya cukup memberangsangkan. Program selama 3 hari 2 malam ini pasti menjadi suatu pengalaman terindah buat semua peserta dalam menempuh liku-liku sunnah perjuangan para pewaris perjuangan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.