Waspada dengan kuasa ‘viral’

Setiap kali ada isu yang tular, dengan pantasnya jari jemari netizen memberikan komentar. Lebih sadis, tanpa membaca dan mengetahui latar belakang isu, terus memberikan maklum balas yang teruk, dengan bahasa-bahasa yang tidak beradab hingga mengaitkan peribadi seseorang itu tanpa rasa bersalah.

 

Apabila komentar tidak berhemah ini terjadi, tentunya salah faham akan berlaku seterusnya boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia. Tidak mustahil juga, rasa sakit hati bersarang dalam jiwa mereka hingga tercetusnya pelbagai rasa seperti dendam, rendah diri juga tekanan.

 

Terkadang, ada juga mereka yang berilmu dan dihormati terjebak dengan keadaan seperti ini. Hinggakan, apabila kita terbaca komentar mereka, kita merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dan tidak sepatutnya diperkatakan olehnya.

 

Memang bukan sesuatu yang mudah untuk menangani keadaan seperti ini, dalam era teknologi yang melaju, media sosial yang mengetengahkan pelbagai berita dan cerita setiap waktu. Namun, peranan kita sebagai masyarakat bertamadun dan berilmu perlulah memikirkan kembali agar tidak terus hanyut dengan situasi yang tidak sihat ini.

 

Mungkin ada baiknya jika dengan status atau isu yang ‘viral’ tersebut, kita sebagai ahli masyarakat yang mempunyai adab perlulah melaksanakan peranan yang sewajarnya. Jika kita ingin sesuatu itu berubah, lakukanlah dengan cara lebih berhikmah.

 

Kita perlu menegur dengan menggunakan bahasa-bahasa yang baik, bukan mengejek apalagi menghentam dan melabelkan seseorang itu dengan teruk sekali sehingga mencetuskan situasi yang tidak diingini.

 

Benar, setiap manusia pasti ada silapnya. Namun, jangan kerana orang lain melakukan kesilapan, ada sebahagian kita merasakan seakan-akan diri tidak akan pernah melakukan kesilapan sedemikian rupa lalu mengeluarkan maklum balas atau komentar sesuka hati.

 

Tentunya kita tidak ingin diperkatakan dengan kata-kata yang tidak baik apalagi hingga menjatuhkan air muka, begitu jugalah orang lain inginkan agar mereka tidak diperlakukan demikian.

 

Adab lebih utama

 

Menurut pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin, manusia beradab sentiasa merujuk kepada perhubungan yang mematuhi norma, etika dan tingkah laku sosial mengikut keperluan tertentu terutama melibatkan institusi kekeluargaan, masyarakat, negara dan agama.

 

Sebagaimana dalam Islam, pendidikan adab adalah tanggungjawab yang utama dan ibu bapa seharusnya membiasakannya terhadap diri anak-anak sejak kecil lagi.

 

Adab menurut bahasa adalah kesopanan, tingkah laku yang baik, kehalusan budi dan tata susila. Adab juga bererti pengajaran dan pendidikan yang baik sebagaimana sabda Rasulullah Salallahualaihiwasallam (SAW) yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya Allah telah mendidikku dalam adab dan mendidikku dengan sangat baik.” (HR Baihaqi)

 

Islam tidak hanya menekankan pentingnya ilmu. Akhlak mulia juga sangat penting. Melihat kepada sejarah lampau juga, para ulama terdahulu sangat menekankan pendidikan adab kepada anak berbanding ilmu.

 

Sedarkah kita, ketika hilangnya adab dalam kehidupan manusia, maka hilang juga rahmat daripada Allah Subhanahuwataala (SWT) dan perasaan kasih sayang dalam kalangan manusia.

 

Kesan yang ketara daripada sikap masyarakat yang melakukan demikian, akan tercetusnya pertengkaran, permusuhan akibat hilangnya akhlak dan adab.

 

Jika ada ilmu setinggi langit sekalipun, andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia, ia bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan. Sebagaimana kata-kata Abdullah ibn al-Mubarak dalam kitab karangan al-Khatib al-Baghdadi, al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi:

 

نحن إلى قليل من الأدَب أحوجُ منا إلى كثيرٍ من العلم

“Kita lebih memerlukan kepada adab (walau) sedikit berbanding memiliki ilmu yang menggunung.”

 

Bersama tanganinya

 

Dalam situasi yang sangat mencabar kini, masyarakat kita terdedah dengan pelbagai isu yang di luar kotak fikiran.

 

Sebagai contoh, isu anak yang disyaki dibunuh ibu kandungnya atau yang seumpamanya, maka banyaklah tangan-tangan manusia yang laju menjatuhkan hukuman serta mengeluarkan kata-kata yang tidak selayaknya diucapkan.

 

Memang situasi yang terjadi itu tidak kita sukai, akan tetapi kerana perkara yang telah terjadi seharusnya kita sebagai seorang Muslim mengungkapkan ucapan yang sepatutnya ketika mendengar khabar musibah untuk bersegera mengingati Allah SWT.

 

Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya memberikan petunjuk bagi umatnya agar segera melafazkan kalimat ini ketika mendengar musibah.

 

“Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan,

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-Nya. Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini”, melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.” (HR Muslim)

 

Begitu juga ketika kita melihat atau membaca situasi yang tidak diingini atau maksiat, maka berusahalah mengucapkan;

أَعُوذُ بِاللَّهِ

“Aku berlindung kepada Allah.”

 

Berkata yang baik atau diam

 

Oleh yang demikian, jadilah kita netizen yang memberikan komentar yang baik-baik agar apa yang kita lakukan itu kembali kepada diri semula. Ini bersesuaian dengan maksud ayat Allah dalam Surah Ar-Rahman ayat 60 yang bermaksud:

“Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).”

 

Perlulah kita sedari bahawa kebaikan juga menjadi sesuatu yang sangat Allah SWT cintai, sebagaimana maksud ayat 195 dalam Surah Al-Baqarah:

“Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

 

Ketika jari-jemari kita merasakan ingin memberikan komentar, fikirkanlah sejenak, adakah apa yang akan ditaip itu sesuatu yang baik atau sebaliknya? Apakah kesan yang akan diterima oleh empunya status dan bagaimana tanggapan pembaca lainnya kepada kita?

 

Apalagi jika seseorang yang ramai pengikut atau orang ternama, menulis status atau maklum balas kepada sesuatu isu tanpa mempedulikan kesan yang bakal dihadapi. Kerana boleh jadi dengan kat-katanya itu, mendorong orang lain merujuk sebagai panduan. Jika baik sangatlah beruntung, namun jika sebaliknya, alangkah rugi dirinya.

 

Jika kita masih tidak mampu memberikan saranan atau maklum balas yang baik, maka seharusnya kita diam daripada menaipkan sesuatu. Janganlah kerana hendak memuaskan kehendak hati, ramai pula hati-hati yang membacanya sakit.

 

Jadilah kita manusia yang berintegriti, adil dan berhikmah dalam memberikan maklum balas agar menjadi qudwah hasanah (contoh terbaik) kepada masyarakat lainnya, selain berusaha menjadi manusia yang melakukan islah (pembaikan) dalam masyarakat.

 

Jangan terus biarkan toksik ini berleluasa tanpa noktah. Bersama-sama kita membantu diri dan masyarakat kita agar menjadi manusia yang lebih baik.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia