Pada tahun ini, tema sambutan Hari Wanita Sedunia iaitu ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ telah dipilih bagi mengangkat kepentingan bergerak secara kolektif ke arah mewujudkan keseimbangan dalam pelbagai aspek yang membantu meningkatkan kesejahteraan wanita.
Sempena hari tersebut, Wanita IKRAM telah mengadakan beberapa aktiviti pada 4 hingga 8 Mac lalu seperti perkongsian pengalaman usahanita berjaya, bedah buku, sembang bernas, program remaja, tip sentuhan selamat, pameran anti dadah dan pemeriksaan kesihatan di Alamanda, Putrajaya.
Pada 8 Mac pula, aktiviti diteruskan dengan edaran bunga ros kepada para wanita oleh aktivis Wanita IKRAM di beberapa tempat di sekitar Kompleks IKRAM.
Bunga sememangnya simbolik dengan wanita dan pemberian bunga ros ini sebagai tanda penghargaan, penghormatan dan cara untuk menggembirakan mereka sempena hari yang istimewa ini. Bunga tersebut turut diberikan kepada golongan lelaki dengan permintaan agar ia dapat disampaikan kepada wanita yang istimewa dalam hidupnya.
Sambutan Hari Wanita Sedunia ini diserikan lagi dengan perkongsian ‘Women of Determination’ oleh Dr Fauziah Hasan dan Sembang Bernas ‘Seimbang Untuk Sejahtera: Naratif Wanita Moderat’ yang disampaikan oleh Naib Presiden IKRAM, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dan ucapan Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh.
Sorotan sejarah Hari Wanita
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengumumkan bahawa tahun 1975 sebagai Tahun Wanita Sedunia diikuti dengan Persidangan Wanita Sedunia yang pertama di Mexico City yang meluluskan ‘Deklarasi Mexico tentang Kesamarataan Wanita dan Sumbangan Mereka kepada Pembangunan dan Keamanan’.
Pada 1977, PBB secara rasminya mengiktiraf tarikh 8 Mac setiap tahun sebagai Hari Wanita Sedunia dan menerima Konvensyen tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) pada tahun 1979.
CEADW merupakan satu dokumen antarabangsa yang menggariskan hak-hak wanita yang mana Malaysia telah menandatanganinya pada 1995.
Martabat wanita dimuliakan
Islam membawa satu perubahan besar dan sangat signifikan terhadap status wanita. Sebelum kedatangan Islam, kaum wanita dipandang hina, tidak diberikan kedudukan yang istimewa dalam keluarga apatah lagi bagi kaum lelaki.
Sikap sesetengah kabilah Arab terhadap kedudukan wanita sangatlah keji seolah-olah mereka tidak diberikan hak untuk hidup sehingga ada keluarga yang membunuh anak perempuan yang baru dilahirkan kerana merasa aib dan takutkan kepapaan. Allah Subahanahuwataala berfirman:
“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan, sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah An-Nahl: 58-59)
Kedatangan Islam telah mengubah status dan kedudukan wanita. Islam telah mengangkat martabat wanita dengan memberikan beberapa peranan yang penting bersesuaian dengan fizikal dan kekuatan yang ada pada mereka.
Terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis menjelaskan mengenai kemuliaan wanita bagi membuktikan Islam memartabatkan kaum wanita dan tidak membezakan mereka dengan lelaki. Allah Subhanahuwataala berfirman:
“Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu sama ada lelaki atau perempuan (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain.” (Surah Ali Imran: 195)
Sabda Rasullulah Salallahualaihiwasallam:
“..Wanita itu adalah pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggungjawab tentang kepimpinannya…” (Hadis Riwayat Bukhari)
Perjuangan wanita masa kini
“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” (Surah An-Nisaa’: 124)
Wanita sering kali menuntut hak yang menyentuh hal peranan dan tanggungjawab. Namun dalam bicara itu, ia tidak dapat lari dalam mengetengahkan peranan, hak dan tanggungjawab kaum lelaki dalam ayat al-Quran tersebut.
Wanita mempunyai peranan yang sangat hebat dalam membentuk masa depan keluarga sekali gus masa depan negara.
Sikap toleransi dan saling memaafkan antara ahli keluarga merupakan langkah terbaik dalam menghapuskan tekanan yang mana ia boleh menjejaskan emosi sehingga mampu mengganggu-gugat kebahagiaan dalam sesebuah keluarga.
Selain itu, wanita yang bijak mampu menyeimbangkan segala masalah dengan mengamalkan konsep ‘Rumahku, Syurgaku’ antaranya dengan mencuba memahami pasangan masing-masing.
Peranan wanita sudah tentu bukan hanya terhad kepada memikul tugas tradisi yang hanya menjaga hal ehwal keluarga dan rumah tangga bahkan hakikatnya lebih daripada itu.
Peribahasa “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” haruslah diamalkan oleh suami isteri dalam kehidupan bagi menyeimbangkan kerjaya dan tugasan seorang isteri dan ibu.
Walau bagaimanapun, pembabitan wanita dalam pekerjaan tidaklah pula membebaskan mereka daripada tanggungjawab terhadap keluarga. Berapa tinggi pun pangkatnya di tempat kerja, mereka tetap perlu menjalankan tanggungjawab hakikinya sebagai isteri dan ibu dalam rumah tangga.
Menyedari keadaan ini, pelbagai dasar dan insentif turut dicetuskan kerajaan sebagai pembuka jalan, malah undang-undang diwujudkan khusus untuk melindungi hak serta memelihara kebajikan wanita agar mereka tidak dikesampingkan dalam arus pembangunan negara.
Membela nasib wanita
Perjuangan membela nasib wanita yang tertindas dan dinafikan haknya perlu dilihat bukan sahaja daripada prinsip kesamarataan, tetapi juga dari sudut kesaksamaan iaitu berlaku adil dalam menentukan hak dan tanggungjawab serta tidak berlaku sebarang pilih kasih atau diskriminasi.
Namun begitu, keseimbangan dan kesaksamaan ini bukan sahaja dalam kerangka perjuangan hak asasi, tetapi untuk kembali kepada prinsip asas yang berhubung kait dengan peranan, tanggungjawab dan hak wanita merangkumi aspek pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Di Malaysia, wanita telah mencapai banyak kecemerlangan dan terbabit dalam pelbagai bidang kerjaya dan sektor. Namun, penglibatan mereka memberi tekanan tinggi dalam diri bagi menyeimbangkan tanggungjawab asas sebagai isteri dan ibu.
Situasi ini banyak memberi kesan kepada kesejahteraan kepada wanita serta menyentuh institusi keluarga hingga menyebabkan pelbagai masalah sosial dihadapi.
Justeru, ia memerlukan pelaksanaan skim perkhidmatan yang lebih anjal untuk kaum wanita dan penyediaan pusat penjagaan anak yang lebih baik ketika mereka bekerja.
Usaha ini penting bagi membolehkan wanita terus menyumbang kepada masyarakat dengan lebih strategik lagi produktif tanpa mengabaikan tanggungjawab rutin mereka kepada keluarga.
Jadi, memberi lebih kemudahan dan sokongan kepada pekerja wanita berbanding lelaki bukanlah bermaksud diskriminasi atau berat sebelah tetapi ia bertujuan untuk berlaku adil kepada mereka dari sudut peranan dan tanggungjawab.
Kemudahan dan sokongan ini adalah perlu sepertimana undang-undang syariah yang menetapkan pembahagian harta pusaka lebih di pihak lelaki, yang mana ia berkait rapat dengan tanggungjawab yang perlu dipikul lelaki.
Wanita memainkan peranan yang sangat besar dalam membina umat sebagaimana al-Quran juga memuliakannya kerana tiga perkara utama iaitu mengandung, melahirkan dan menyusukan.
Selain itu, pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi wanita apalagi pada era globalisasi kini dalam usaha untuk menyeimbangkan kehidupan ke arah kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Selamat Hari Wanita Sedunia!