Selain mengeratkan ukhuwah antara umat Islam dua negara, lawatan oleh rombongan yang diketuai Badria Amanoddin ini bertujuan untuk mempelajari dan menimba pengalaman daripada IKRAM sebagai sebuah NGO dakwah yang menguruskan operasi dan perjalanan pelbagai institusi dan agensi di bawahnya.
Pada hari pertama lawatan pada Rabu 4 Februari, rombongan mengikuti taklimat mengenai IKRAM oleh Penolong Setiausaha Agungnya, Hj Mohamad Yaakub Idris dan seterusnya menziarahi Naib Ketua Wanita IKRAM yang juga mantan Ketua Wanita, Ustazah Maznah Daud di kediamannya di Shah Alam untuk sesi perkongsian dan suai kenal.
Taklimat IKRAM, taaruf di kediaman Ustazah Maznah dan taklimat HCF
Keesokannya pada Khamis, mereka mengikuti taklimat daripada agensi kemanusiaan IKRAM iaitu Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hj Ibrahim Mohamad dan taklimat aktiviti institusi kemanusiaan wanita di bawah MyCARE, Rose2Rose oleh Roha Hassan.
Rombongan seterusnya bergerak ke Taman Melawati untuk mendengar taklimat agensi dakwah IKRAM iaitu Hidayah Centre Foundation (HCF) oleh Pengurus Besar, Hj Abdul Rahman Kassim dan Pengurus, Hj Muhammad Fakharuddin Abdul Kudos.
Pada Jumaat, rombongan ini dibawa salah satu tadika di bawah IKRAM, iaitu Tadika Khalifah Bestari di Sungai Tangkas, Kajang dan diberi penerangan mengenai pengurusan dan silibus yang digunakan tadika tersebut.
Lawatan di Tadika Khalifah Bestari, Hospital Pakar An Nur dan slot bersama Ketua Wanita IKRAM
Rombongan aktivis wanita NGO Filipina ini juga berkunjung ke Hospital Pakar An Nur, iaitu hospital di bawah institusi kesihatan IKRAM iaitu IKRAMHealth. Mereka dibawa untuk melawat beberapa wad dan kawasan di hospital tersebut. Mereka menyatakan minat tentang aspek ‘kit ibadah’ untuk pesakit Muslim dan ingin diaplikasikan di hospital-hospital di Filipina.
Pada malamnya, rombongan mengikuti slot bersama Wanita IKRAM. Ketua Wanita, Datin Paduka Hajjah Che Asmah Ibrahim turut membentangkan pengenalan secara ringkas mengenai Wanita IKRAM. Pelbagai isu turut sama dibincangkan dan dikongsikan dalam pertemuan tersebut antaranya isu wanita, syariah, keluarga, perkahwinan dan pendidikan.
Salah seorang peserta rombongan, Hajjah Zainab@Watamama yang juga mewakili Muslim Women Professional Group of Phillippines memuji dan merakamkan penghargaan kepada IKRAM atas lawatan yang telah diaturkan untuk mereka.
Menurutnya, banyak perkara yang mereka perolehi dan belajar daripada pelbagai institusi dan agensi IKRAM yang telah mereka lawati dan mereka akan cuba mengaplikasikan apa yang telah dipelajari semampu yang boleh sebaik sahaja mereka sampai ke tanah air mereka.
Semoga lawatan ini mencapai objektifnya di samping dapat memberi manfaat untuk memperkasakan lagi aktiviti-aktiviti NGO Islam di Filipina untuk kepentingan umat Islam dan masyarakat di sana, insya-Allah.
Â
Foto lawatan: http://on.fb.me/1EXpELU