Wanita Imbangi Tanggungjawab Kerjaya dan Keluarga

Wanita Imbangi Tanggungjawab Kerjaya dan Keluarga | IKRAM

PUTRAJAYA – Karnival Wanita MADANI 2025 telah dirasmikan oleh Pengerusi KASIH Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam. 

Dengan tema “Wanita MADANI: Tonggak Keunggulan Keluarga dan Pencetus Generasi Gemilang,” karnival ini bertujuan memperkasa wanita Malaysia dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan. Matlamatnya adalah untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan progresif sejajar dengan prinsip MADANI yang menekankan keadilan, kesaksamaan dan kesejahteraan.

Karnival ini dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan KASIH Malaysia.

Wan Azizah dalam ucaptamanya bertajuk “Peranan Wanita Berkerjaya Dalam Keluarga: Mengimbangi Tanggungjawab Kerjaya dan Kehidupan Berkeluarga,” menegaskan kepentingan keluarga sebagai institusi asas dalam masyarakat.

“Keluarga adalah benteng pertama dalam pembangunan insan. Kita perlu memastikan kesejahteraan keluarga sentiasa menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi dalam era moden yang penuh cabaran,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa dengan perkembangan teknologi dan media sosial, masyarakat perlu lebih cakna dalam mendidik anak-anak serta memastikan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan berkeluarga.

“Wanita hari ini bukan sahaja ibu dan isteri, tetapi juga pemimpin di tempat kerja dan masyarakat. Kita berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mengimbangi peranan ini. Namun, kita harus berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam yang menjadi panduan dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Beliau juga menekankan kepentingan kesihatan mental dalam kalangan wanita muda. Selain itu, beliau turut mengingatkan tentang peranan ibu dalam membentuk tokoh-tokoh besar Islam, seperti ibu kepada Imam Syafie yang menjadi inspirasi dalam mendidik anak-anak menjadi cemerlang.

“Lihatlah kisah Puteri Balqis dalam al-Quran. Dia menggunakan kebijaksanaan dan syura dalam membuat keputusan penting. Ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu dan kebijaksanaan dalam menguruskan kehidupan, baik dalam keluarga mahupun masyarakat,” ujarnya.

“Institusi perkahwinan dan konsep mawaddah wa rahmah harus terus dihayati dalam kehidupan berumah tangga. Namun, saya bimbang dengan trend masyarakat moden yang semakin ramai memilih untuk tidak berkahwin atau tidak mahu memiliki anak. Ini bertentangan dengan fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru wanita agar memperkasakan diri dengan ilmu, akhlak yang mulia dan keimanan yang kukuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam ucapan aluan-aluannya menegaskan bahawa agensi-agensi di bawah Hal Ehwal Agama memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan wanita dalam masyarakat.

“Kita ingin melihat wanita bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga mampu memainkan peranan sebagai tunjang utama dalam membentuk institusi keluarga dan masyarakat yang harmoni,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa YADIM, menerusi Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM), telah menggerakkan banyak inisiatif pemerkasaan wanita melalui strategi dan pendekatan yang pelbagai. 

“Komitmen agensi-agensi hal ehwal agama ini dalam memperkasakan wanita adalah selaras dengan konsep MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” tambahnya.

Majlis ini turut disertai oleh ahli MAWIM daripada Wanita IKRAM iaitu Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh (Ketua Wanita IKRAM), Prof Madya Dr. Shamsuriani Md Jamal (Ahli Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat) dan Dr. Zilal Saari.

Sehubungan itu, Dr Harlina Halizah Hj Siraj telah dijemput sebagai panelis bagi bual bicara bertajuk “Wanita Sejahtera: Sihat Luar dan Dalam Pemacu Keluarga Bahagia.” Perbincangan ini memberi penekanan kepada kesejahteraan wanita secara menyeluruh sebagai pemacu kepada kebahagiaan keluarga.

Karnival Wanita MADANI 2025 membuktikan komitmen kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasakan wanita Malaysia serta memastikan peranan mereka terus berkembang dalam pembangunan negara.

Liima Teras Deklarasi Wanita MADANI yang dibacakan semalam adalah:

  1. Menjunjung nilai keagamaan dan keinsanan berteraskan keadilan dan akhlak mulia demi keharmonian masyarakat.
  2. Memperkukuh peranan keluarga dan komuniti untuk membina keluarga sejahtera demi perpaduan masyarakat.
  3. Memacu pembangunan ekonomi dan keusahawanan melalui inovasi dan daya usaha demi pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
  4. Memperkasa pendidikan dan kepimpinan wanita melalui pembelajaran sepanjang hayat.
  5. Memperkukuh kolaborasi dan perpaduan bertunjangkan kerjasama strategik demi Malaysia MADANI yang makmur dan progresif.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia