Wanita IKRAM Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan mendalam terhadap laporan kes rogol yang melibatkan empat pelaku tingkatan lima terhadap seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah.
Walaupun difahamkan bahawa keempat-empat pelaku telah dibuang sekolah, tindakan tatatertib ini hanyalah langkah awal dan bukan penyelesaian menyeluruh kepada isu yang jauh lebih besar: krisis nilai, kehilangan batas moral dan kegagalan sistem pendidikan membentuk sahsiah pelajar secara tuntas.
Apabila pelajar sekolah sendiri menjadi pelaku jenayah seksual, ia menandakan bahawa ruang yang sepatutnya mendidik dan melindungi kini terdedah kepada bahaya baharu; bahaya yang menjejaskan keselamatan fizikal, emosi dan masa depan pelajar lain.
Wanita IKRAM Malaysia menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan segera dan menyeluruh dalam memastikan sekolah kembali berperanan sebagai tempat yang selamat, mendidik dan membentuk generasi berakhlak.
Isu ini tidak boleh dilihat sebagai insiden terasing, sebaliknya sebagai cerminan kepada kelemahan sistem pendidikan, kepincangan moral remaja dan kurangnya pengawasan digital yang semakin membarah. Justeru, langkah pembaikan mesti dilaksanakan secara menyeluruh bukan hanya kepada pelaku, tetapi juga sistem dan budaya sekolah yang membentuk mereka.
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman kerja lapangan, Wanita IKRAM menggariskan lima keutamaan utama yang wajar diberi perhatian segera oleh pihak kementerian, sekolah serta ibu bapa:
1. Sekolah sebagai ruang perlindungan dan pembentukan sahsiah
Sekolah bukan sekadar tempat menuntut ilmu akademik, tetapi medan pembinaan akhlak dan jati diri. Disiplin pelajar perlu diperkukuh bagi memastikan moral dan sahsiah berkembang seiring dengan pencapaian akademik.
Pihak sekolah wajar menilai semula tatacara pencegahan dan pelaporan kes gangguan serta jenayah seksual dengan menyediakan SOP yang jelas, mesra mangsa dan telus. Saluran aduan sulit, bimbingan psikologi segera dan tindakan susulan yang menyeluruh perlu menjadi sebahagian daripada budaya sekolah.
Selain tindakan tatatertib, pelaku juga wajar diberikan bimbingan pemulihan moral dan kaunseling berterusan agar mereka diberi peluang memperbetul diri dan tidak terus hanyut dalam kitaran kesalahan yang sama.
2. Mengukuhkan hubungan sekolah dan ibu bapa
Pembentukan akhlak anak tidak boleh dipisahkan daripada rumah. Hubungan yang erat dan komunikasi terbuka antara guru dan ibu bapa amat penting untuk membentuk nilai yang konsisten.
Ibu bapa disaran untuk lebih cakna terhadap perubahan tingkah laku anak, mengenali rakan mereka dan terlibat aktif dalam aktiviti sekolah. Nilai yang diterapkan di rumah mesti selari dengan yang ditekankan di sekolah. Hanya dengan itu, anak-anak dapat membina asas moral yang kukuh dan tahu membezakan yang betul dan yang salah.
3. Pendidikan seksual berteraskan nilai dan kawalan diri
Kes ini menunjukkan betapa perlunya pendidikan seksual diberikan dengan pendekatan berteraskan nilai dan agama. Ia bukan sekadar tentang biologi, tetapi tentang maruah, tanggungjawab dan pengurusan diri.
Remaja perlu difahami sebagai individu yang sedang berkembang dari segi fizikal dan emosi. Justeru, mereka harus dibimbing untuk menyelenggara fitrah dan nafsu dengan panduan nilai yang benar agar tidak terjerumus ke dalam tingkah laku berisiko seperti seks bebas atau penderaan terhadap rakan sebaya.
4. Pengaruh gajet dan normalisasi seksual di media sosial
Pendedahan kepada kandungan tidak bermoral di media sosial semakin meresap ke dalam minda remaja. Budaya hiburan masa kini yang menormalisasikan sentuhan bebas, pakaian menjolok mata dan jenaka seksual menjadikan mereka hilang sensitiviti terhadap kehormatan diri.
KPM disaran mempertimbangkan dasar “phone-free school” iaitu pelajar tidak dibenarkan menggunakan telefon di sekolah dan guru kembali memaksimumkan interaksi sosial bersemuka. Langkah ini bukan sahaja mengawal gangguan digital, tetapi membantu pelajar memulihkan kemahiran empati dan komunikasi manusiawi yang semakin pudar.
Dalam masa yang sama, kempen kesedaran digital nasional perlu dilancarkan bagi mendidik ibu bapa dan remaja tentang bahaya pendedahan awal terhadap kandungan seksual dan keganasan dalam talian.
Tambahan pula, beberapa negara maju seperti Australia dan Denmark akan mula melaksanakan sekatan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah umur. Australia menetapkan had umur bawah 16 tahun, manakala Denmark mencadangkan larangan bagi kanak-kanak di bawah 15 tahun, sebagai salah satu langkah menangani peningkatan masalah kegelisahan, kemurungan dan gangguan kesihatan mental akibat penggunaan media sosial.
Malaysia juga perlu meneliti langkah-langkah berani sebegini bukan sekadar melalui kempen kesedaran, tetapi melalui pendekatan dasar yang tegas dan agresif bagi mengehadkan pendedahan awal terhadap media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
5. Seruan tindakan menyeluruh dan bersepadu
Kes ini tidak boleh dilihat sebagai kes terasing, tetapi sebagai cerminan krisis nilai yang sedang menular dalam kalangan remaja. Tindakan segera dan bersepadu antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan amat diperlukan bagi membina semula ekosistem pendidikan yang benar-benar selamat dan berperikemanusiaan.
Pendekatan yang diambil mesti bersifat dua hala: mencegah dan memulih. Mangsa perlu dilindungi dan dibantu secara menyeluruh dari segi rawatan trauma, perlindungan dan pemulihan emosi, sementara pelaku pula perlu melalui proses pemulihan nilai dan akhlak yang tegas tetapi berperikemanusiaan.
Kes ini seharusnya menjadi amaran dan peluang untuk berubah, agar kita tidak terus membiarkan sistem pendidikan kehilangan roh kemanusiaannya. Hanya dengan tindakan berasaskan nilai, empati dan tanggungjawab bersama, kita dapat melindungi anak-anak sebagai warisan dan masa depan negara.
Wanita IKRAM Malaysia menegaskan bahawa isu rogol yang melibatkan pelajar sekolah ini mesti dipandang sebagai tanda amaran terhadap rapuhnya sahsiah generasi muda kita. Pembinaan akhlak tidak boleh diserahkan hanya kepada sekolah, tetapi perlu menjadi tanggungjawab bersama antara keluarga, masyarakat dan pihak berautoriti.
Kami berharap agar KPM segera memperkukuh sistem pendidikan berasaskan nilai dan empati demi memastikan setiap sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak belajar dan membesar menjadi insan yang berakhlak mulia.
Dikeluarkan oleh:
Pn. Nurhakimah Mohamud
Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia
JK Advokasi Kanak-kanak