Penghargaan ini termasuklah kepada penganjur, Biro Penyelidikan IKRAM Pusat, semua ahli panel dan moderator, pihak USIM serta semua yang hadir, sekitar 500 orang, juga pihak media yang telah mengadakan siaran langsung (live streaming) dan rakaman. Mengikut rekod, puluhan ribu telah menonton siaran langsung dan rakaman wacana ini. Alhamdulillah.
Kami juga mengalu-alukan komentar dan ulasan pasca wacana ini daripada pelbagai pihak dan sudut. Walau bagaimanapun, kami berpandangan bahawa bagi berlaku adil kepada wacana ini, ia harus ditonton secara keseluruhan dan tidak dikutip atau dipetik bahagian-bahagian tertentu sahaja lalu membuat kesimpulan. Rakaman keseluruhan wacana ini dapat ditonton pada pautan berikut:
https://www.youtube.com/watch?v=PvGGPfYew1c&feature=youtu.be
Kejayaan Wacana ini membuktikan bahawa masyarakat kita telah bersedia untuk berbincang dan berwacana secara ilmiah dan matang dalam sesuatu isu yang terdapat banyak kekhilafan. Ia juga membuktikan bahawa perbezaan pandangan yang berlaku dapat ditangani dengan baik melalui kaedah bersemuka (engagement) dan berhujah secara profesional dan ilmiah sambil memelihara adab-adab dalam berkhilaf.
Tindakan para ahli panel bertukar-tukar kad nama (name card) dalam bilik VIP selepas wacana berakhir dengan komitmen untuk meneruskan hubungan dan komunikasi adalah juga satu perkembangan yang amat menggembirakan pihak penganjur.
Kepada yang ingin mendalami lebih lanjut tentang perkara yang berkaitan dengan hubungan orang Islam dengan orang kafir, kami ingin sarankan untuk menonton rakaman ceramah oleh Sheikh Prof Dr Ali al-Qaradaghi, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama’ Sedunia. Pengerusi kepada Kesatuan Ulama’ Sedunia ialah Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi.
Ceramah ini disampaikan oleh Dr Ali Qaradaghi semasa kunjungan beliau ke Ibu Pejabat IKRAM pada 5 November 2015. Tajuk ceramah beliau adalah “Maqasid Syariah Memandu Kehidupan Harmoni Dengan Masyarakat Belum Islam”. Ceramah tersebut boleh diikuti pada pautan berikut:
https://www.youtube.com/watch?v=7HFRtV4lfDY
Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa agar lebih banyak wacana ilmiah seperti ini dapat dianjurkan pada masa hadapan dalam rangka bagi mendidik masyarakat dan ummah dan pembinaan negara rahmah, insya-Allah.
Akhukum fillah,
Hj Nahar Md Nor
Setiausaha Agung IKRAM
18 Julai 2016