Vape: KJ akui bahaya, tidak iktiraf Harm Reduction

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin dilaporkan mengakui bahawa rokok elektronik atau vape itu berbahaya, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama sekali tidak akan mengiktirafnya sebagai strategi Pengurangan Risiko Tembakau (Tobacco Harm Reduction).

 

Beliau menyatakan demikian dalam satu sesi libat urus berkaitan isu kawalan produk merokok bersama 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam advokasi dan kesedaran bahaya tabiat merokok di Kuala Lumpur pada Khamis.

 

Dalam sesi itu juga, Khairy telah menjelaskan kepada wakil-wakil NGO akan keputusan kerajaan berkaitan penjualan rokok elektronik dan vape bernikotin. Beliau walau bagaimanapun menekankan bahawa kerajaan masih komited dengan pelan Tobacco EndGame 2040 negara.

 

“Ya, YB Menteri sendiri akui yang vape itu berbahaya dan menegaskan KKM tetap menolak konsep Harm Reduction yang dicanang-canang oleh sesetengah pihak,” kata Dr Mohd Afiq Mohd Nor, Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Malaysia (IKRAM Health).

 

Menurut Dr Afiq lagi, walaupun ada beberapa perkara positif yang diutarakan oleh menteri dalam perbincangan berkaitan akta baru kawalan merokok yang akan dibentangkan nanti, seluruh NGO yang hadir tetap menolak cadangan kerajaan yang ingin membenarkan penjualan rokok elektronik dan vape bernikotin.

 

Untuk rekod, akta baru berkaitan kawalan tembakau dan merokok ini telah lama tertangguh untuk dibentang. Pada mulanya ia dikhabarkan akan dibentangkan pada sidang parlimen kali ini namun, ia terpaksa ditangguhkan kerana ada keperluan untuk memperhalusi lagi akta ini.

 

“Tiada bukti nikotin dalam rokok elektronik selamat digunakan. Berapa kepekatan nikotin dalam cecair vape yang akan dibenarkan nanti? Apakah asas yang digunakan YB Menteri dalam menetapkan sukatan tertentu?,” soal Profesor Dr Mohamad Haniki yang mewakili Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH) pula.

 

Prof Dr Haniki juga mempersoalkan usaha menghalalkan penjualan cecair vape bernikotin sebagai satu keputusan bertentangan dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada hari yang sama.

 

Dalam pertemuan itu juga, Khairy menjelaskan yang kementerian sedang berusaha dengan pelbagai cara untuk memastikan tabiat merokok dan vaping ini dapat dikurangkan sehingga mencapai prevalen kurang daripada 5 peratus penduduk, selaras dengan hasrat negara dalam menuju pelan Tobacco EndGame 2040.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI