Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa sebagai salah satu pengeluar minyak dan gas utama melalui syarikat milik negara, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Sejak penubuhannya pada tahun 1974, PETRONAS telah menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara. Pada tahun 2022 sahaja, PETRONAS menyumbang sebanyak RM50 bilion kepada kerajaan dalam bentuk dividen, cukai dan royalti.
Angka ini membuktikan betapa pentingnya syarikat milik negara itu dalam menjana hasil untuk pembangunan negara.
Kini, Malaysia berdepan dengan peluang baru dalam bentuk sumber bumi yang tidak kurang strategiknya – unsur nadir bumi (rare earth elements, REE).
Unsur nadir bumi merupakan bahan penting dalam pelbagai teknologi moden seperti telefon pintar, kenderaan elektrik, turbin angin serta peralatan ketenteraan. Dalam dunia yang sedang bergerak ke arah ekonomi hijau dan digital, permintaan terhadap REE semakin meningkat dan dijangka melonjak dalam dekad-dekad akan datang.
Malaysia dilaporkan memiliki potensi REE yang tinggi, terutama jenis bukan radioaktif seperti lantanid yang terkandung dalam bentuk monazit dan xenotime.
Kajian awal oleh Jabatan Mineral dan Geosains menunjukkan kawasan seperti Kedah, Perak, Johor dan Pahang mengandungi deposit REE yang bernilai berbilion ringgit.
Oleh itu, REE perlu dilihat sebagai “Petronas kedua” – satu aset strategik negara yang perlu dimiliki dan dikawal oleh kerajaan, bukan diserahkan kepada pihak swasta atau syarikat asing.
Mengapa REE perlu dimiliki negara?
Pertama, dari sudut kedaulatan ekonomi, pemilikan negara ke atas REE akan memastikan hasilnya kembali kepada rakyat.
Sekiranya sumber ini diswastakan, kerajaan berisiko kehilangan kawalan ke atas satu lagi sumber bernilai tinggi – lantas mengulangi kesilapan masa lalu apabila banyak kekayaan semula jadi negara diserahkan kepada konglomerat swasta.
Kedua, dari aspek kemampanan dan kelestarian alam, aktiviti perlombongan REE memerlukan kawalan ketat kerana ia melibatkan impak alam sekitar yang besar jika tidak diuruskan secara teliti.
Dengan pemilikan kerajaan, pengawalan terhadap piawaian alam sekitar dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi melindungi komuniti setempat dan ekosistem.
Ketiga, dari perspektif strategik dan geopolitik, negara-negara besar seperti China, Amerika Syarikat dan Australia sedang bersaing hebat dalam mengawal rantaian bekalan REE global.
Jika Malaysia gagal membina penguasaan domestik terhadap industri ini, kita akan terus menjadi pembekal bahan mentah kepada negara maju tanpa nilai tambah tempatan yang signifikan.
Malaysia pemain utama REE
Kerajaan perlu menubuhkan satu entiti khusus di bawah kerajaan, seperti “REE Nasional Berhad” yang berfungsi seperti PETRONAS.
Entiti ini akan diberi hak eksklusif untuk menguruskan pengeluaran, pemprosesan serta pemasaran REE dan boleh bekerjasama dengan syarikat swasta dalam bentuk usaha sama (JV), dengan syarat kawalan majoriti kekal di tangan negara.
Setiap hasil daripada REE juga boleh disalurkan ke dalam dana khas seperti Dana Kekayaan Negara bagi membiayai pendidikan, penyelidikan teknologi hijau dan pembangunan luar bandar – sama seperti bagaimana PETRONAS menyokong pelbagai agenda pembangunan nasional.
Masih belum terlambat
Menjadikan REE sebagai “PETRONAS kedua” bukan sahaja satu strategi ekonomi yang bijak, tetapi juga lambang kedaulatan negara. Sumber ini milik bumi Malaysia, dan seharusnya dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia, bukan dimonopoli oleh segelintir syarikat elit.
Malaysia tidak boleh sekali lagi melepaskan peluang keemasan ini – untuk membina masa depan yang berdikari, lestari dan berdaulat.
Abdullah Fikri Bariman
Timbalan Yang Dipetua
IKRAM Kawasan Batu Pahat