Mengatakan terima kasih sambil menguntumkan senyuman sebelum berlalu pergi. Mungkin bagi sesetengah individu, ia hanya ungkapan remeh yang tidak mempunyai makna. Bahkan, ada yang merasakan darjat menjadi hina jika sembarangan melafazkannya.
Namun, ucapan yang dikatakan biasa ini sudah semakin jarang didengari waima dalam urusan tidak rasmi. Oleh itu, apakah pengertian atau keperluan di sebalik kata terima kasih yang semakin berat untuk dilazimi oleh masyarakat hari ini?
Berdasarkan maksud yang dihuraikan oleh Kamus Dewan (2000), ‘terima kasih’ membawa maksud “perkataan yang diucapkan atau ditulis sebagai tanda bersyukur atau sebagai tanda terhutang budi. Selain itu, ia sebagai tanda penghargaan atas pemberian dan pertolongan yang telah diperoleh.”
Dari sudut pandang agama Islam, ucapan terima kasih adalah salah satu kaedah untuk menjaga hubungan sesama manusia dan mengekalkan silaturahim tanpa membataskan darjat antara dua pihak. Nabi Muhammad SAW ada menyebut perkara ini dalam hadisnya:
“Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), maka hendaklah dia menyambungkan tali silaturahim.” (Hadis Riwayat Bukhari, 2067 dan Muslim, 2557)
Ucapan terima kasih kepada suami atau isteri yang seharian menghadap renyah kehidupan pastinya akan menghadirkan rasa difahami.
Mungkin ada yang beranggapan tidak mengapa, ucapan tersebut tidak mendatangkan makna, kerana mereka merasakan ia sekadar hanya bicara kosong.
Tapi ucapan yang kedengaran biasa inilah yang menjadi pengubat apabila hati sedang penat dan mengeluh lelah dengan tugasan yang tidak mahu memunculkan noktah.
Sungguh, penghargaan tidak perlu selalu diiringi harta dan hadiah mewah, kadang cukup sekadar kata-kata sebagai pendukung untuk memadamkan lelah walau hanya seketika.
Berterima kasihlah kepada anak kerana berusaha memahami pembelajaran yang sukar. Walaupun keputusan yang diperolehi kadang kurang memuaskan, tapi usaha yang ditunjukkan perlu dihargai dan tetap terus diberikan sokongan.
Ucapan terima kasih tidak akan merendahkan taraf ibu bapa di hadapan anak, bahkan menambah inspirasi. Sungguh, anak-anak rindukan usaha mereka dipuji dan diberikan dorongan.
Ibarat menabur garam pada luka yang berdarah, anak-anak tidak perlu dibandingkan, kerana ia menjadi punca luka. Luka yang sentiasa berdarah dalam hati sudah tentu akan mengundang perbuatan yang tidak menyenangkan.
Seterusnya, ucapan terima kasih pekerja kepada majikan dan sebaliknya pasti akan menzahirkan harmoni dalam organisasi. Menjadi lumrah jika ada kesalahan dilakukan, maka teguran akan diberikan agar kesilapan yang sama tidak lagi berulang.
Namun begitu, tindakan yang menunjukan tanda penghargaan juga haruslah seiring. Walaupun ia hanya sekadar dalam bentuk ucapan terima kasih dan juga perkongsian harapan agar usaha yang ditunjukkan sentiasa berterusan pada masa hadapan, perbuatan tersebut pasti akan membangkitkan rasa semangat untuk sentiasa memberikan hasil yang terbaik.
Menunaikan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab merupakan kewajipan, namun bonus yang diberikan melalui ucapan penghargaan pastinya menggembirakan, dan sudah tentu dapat menghasilkan hasil akhir yang memberikan impak positif seperti pekerja yang berdedikasi dan setia kepada organisasi.
Berdasarkan situasi di atas, maka dengan ini jelaslah bahawa ucapan terima kasih mempengaruhi impak sosial masyarakat. Dengan melazimkan kata-kata tersebut, hati yang sarat dengan ego, perlahan-lahan akan mula merendah ke bumi.
Ia sebagai tanda bahawa kita sedar dengan usaha dan kesungguhan yang dilakukan oleh individu lain tanpa memperlekeh mereka. Sesungguhnya ucapan terima kasih merupakan simbolik insan berbudi bahasa.
Di samping itu, kata-kata tersebut juga adalah manifestasi syukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SAW, yang dizahirkan melalui pertolongan manusia.
Oleh itu, tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa ucapan terima kasih adalah salah satu kaedah menyatakan kesyukuran kepada Allah Taala, kerana menghadirkan insan yang melakukan kebaikan.
Seperti yang dinyatakan dalam hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 4811 dan Tirmidzi, 1954)
Oleh yang demikian, bermula hari ini, ucapkanlah terima kasih kepada mereka yang sentiasa menghulurkan bantuan. Sesungguhnya kata-kata yang baik mampu mengubat kecewa, mengeratkan ukhuwah dan menyinar bahagia.
Oleh itu, pilihlah yang terbaik, sama ada kata-kata yang ringkas tapi menambah bahagia, atau diam yang tidak membawa apa-apa.
Noor Azrina Yahya