Pernahkah anda merasa terhimpit masalah sehingga sukar untuk menemui jalan keluar? Anda buntu dan hanya mampu menumpahkan air mata. Semestinya hal ini adalah lumrah terjadi kepada kita sebagai insan biasa.
Tidak mungkin Allah menciptakan tangisan dengan sia-sia tanpa ada tujuan. Betapa menakjubkan bukan, selepas kita puas menjuraikan air mata, kita berasa begitu lega, seolah kita mendapat kekuatan semula setelah rebah seketika.
Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. juga pernah bergenang air mata. Akan tetapi, kesedihan yang mereka alami lebih cenderung ke arah kebaikan, iaitu demi akhirat.
Jikalau pun mereka berduka kerana dunia, itu cumalah sekejap masa. Maksudnya, mereka tidak berlama-lama diselubungi kedukaan. Mereka menangis sekadarnya sahaja.
Nabi Muhammad SAW pernah menitiskan air mata kerana kehilangan anak lelaki tercintanya semasa anak itu pada usia masih sangat kecil. Baginda juga pernah menangis kerana kematian sahabat yang beliau kasihi.
Rasulullah SAW pernah menuturkan, “..kedua-dua mata boleh mencucurkan air mata, hati boleh bersedih, hanya kami tidaklah menyatakan kecuali apa yang diredai oleh Rab kami..” (HR Bukhari, No. 1303)
Sememangnya Allah takkan murka andai kita dilanda kesedihan, tapi Allah tidak menyukai hamba-Nya yang terus-menerus berada dalam keadaan yang lemah, tidak berusaha bangkit daripada keterperukan.
Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah rahimahullah mengatakan bahawa tidak ada sesuatu yang paling disukai oleh syaitan, melainkan melihat seorang mukmin yang berhati murung.
Ini kerana, apabila seseorang Muslim atau Muslimah itu terlalu hanyut dalam lautan nestapa, maka syaitan akan mudah memperdaya mereka. Dan ini sangat berbahaya bagi keimanan kita. Ia akan menghakis sedikit demi sedikit landasan agama yang kita pegang selama ini.
Oleh kerana itu, pastikan air mata kita tumpah untuk hal-hal yang bermakna dan berharga, air mata yang dapat menghantarkan kita ke syurga-Nya.
Sebagai contoh, sewaktu kita mengerjakan solat tahajud atau solat taubat, maka kita menangis mengenang dosa-dosa silam dan berharap agar Allah mengampuni dan menghapus kesalahan itu dan digantikan oleh-Nya dengan pahala.
Diakui, adakalanya dugaan yang kita hadapi terlalu besar ombaknya sehingga menjatuhkan air mata. Tidak mengapa, tapi pastikan hiba yang dirasai itu membuat kita kembali kepada Allah dan menjadikan hubungan kita dengan Allah semakin dekat.
Carilah Allah dalam setiap permasalahan yang menerpa kehidupan kita. Rasulullah SAW ada mengajarkan kita sebuah doa sekiranya ditimpa kesedihan, musibah, bencana atau apa pun yang bikin hati resah gelisah.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, sifat lemah dan malas, sikap pengecut dan bakhil, cengkaman hutang dan penindasan orang.” (HR Bukhari, No. 6369)
Amalkanlah doa ini setiap hari disusuli dengan zikir pagi dan petang. Ikhlaskan hati dan redakan diri, insya-Allah Rab kita yang Maha Pengasih akan menurunkan ketenangan dalam sanubari kita.
Seperkara lagi, kesedihan yang berlanjutan tanpa mahu merawatnya akan merampas tenaga, semangat dan wawasan kita. Kesannya akan menjadikan diri kita letih, penat dari segi mental bahkan menjalar sampai ke fizikal kita.
Ini merupakan hal yang tidak elok untuk kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan kita. Apabila zahir dan batin sakit, maka ibadah kita pun akan terjejas, penyakit pula senang hinggap.
Menyedari hakikat di atas, maka berada dalam keadaan hiba biarlah untuk seketika, jangan terlalu lama disemat dalam hati.
Nikmatilah peluang kehidupan yang masih Allah beri kepada kita. Pergunakan ia untuk manfaat kepada diri sendiri, juga orang lain.