Trend ‘S-Line’: Normalisasi Dosa Rosakkan Masyarakat

Dunia digital hari ini membuka ruang kepada kreativiti dan ekspresi diri, namun apabila sesuatu trend menjurus kepada kelalaian, pelanggaran akhlak dan pendedahan aib, ia bukan lagi kebebasan tetapi keruntuhan nilai.
Salah satu trend yang membimbangkan kini ialah fenomena “S-Line” yang tular di aplikasi TikTok. Trend ini diinspirasikan daripada sebuah drama Korea adaptasi Webtoon, yang menampilkan garisan merah di atas kepala sebagai simbol kepada sejarah hubungan seksual seseorang.

Walaupun ia hanya satu elemen fiksyen dalam dunia hiburan, trend ini kini direalisasikan dalam dunia sebenar apabila ramai anak muda, termasuk mereka yang bertudung, memuat naik gambar atau video dengan garisan merah di kepala masing-masing.

Mesejnya jelas, mereka seolah-olah meraikan dan menormalisasi sisi gelap kehidupan, termasuk hubungan luar nikah. Apakah yang sedang berlaku kepada generasi kita?

Dalam artikel ini, kita akan menelusuri kesan buruk fenomena ini, hujah agama yang mengharamkan pendedahan aib, implikasi kepada masyarakat serta jalan penyelesaian berpandukan pendekatan Asas Islam Rahmah (AISAR) oleh Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM.

Kita perlu mendidik bukan menghukum, namun tetap tegas memelihara kemuliaan maruah insan.

Asal-usul trend S-Line
Drama Korea bertajuk S-Line, adaptasi daripada Webtoon popular, memaparkan watak utama, seorang pelajar sekolah menengah yang memiliki kebolehan melihat “garisan merah” di atas kepala manusia, menandakan sejarah hubungan seksual mereka. Garisan ini menjadi lambang dosa yang tidak terlihat, tetapi diketahui oleh individu tertentu.

Walaupun ia hanya rekaan semata-mata, segelintir pengguna Tik Tok menjadikan elemen ini sebagai trend. Mereka secara sukarela meletakkan garisan merah di atas kepalanya melalui suntingan video, sambil menjadikan ia kandungan hiburan. Lebih membimbangkan, ada yang mengakuinya sebagai “badge of honour”, tanda “pengalaman” atau “kebebasan seksual”

Trend ini telah menormalisasi satu bentuk “pendedahan aib diri” secara terbuka di khalayak ramai. Ia bukan sekadar tidak sopan, tetapi jelas bertentangan dengan nilai Islam dan adab ketimuran yang selama ini memuliakan maruah diri.

Haram mendedahkan aib diri dan orang lain
Dalam Islam, maruah insan adalah sesuatu yang suci. Membuka aib diri, apatah lagi dengan niat untuk tontonan umum, adalah satu dosa besar. Nabi Muhammad SAW menegaskan larangan mendedahkan maksiat secara terang-terangan:
“Setiap umatku akan diampuni kecuali mereka yang menzahirkan (dosa).

Termasuk menzahirkan adalah seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, lalu di pagi harinya dia berkata, ‘Wahai Fulan! Malam tadi aku telah melakukan itu dan ini.’

Padahal Allah telah menutupinya, tetapi dia membuka sendiri penutup Allah itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Ayat ini menunjukkan bahawa dosa yang dilakukan secara sembunyi, jika tidak dizahirkan, masih dalam ruang keampunan Allah SWT. Tetapi apabila seseorang mula “berbangga” dengan maksiat dan mendedahkannya, maka ia menjadi bentuk dosa yang lebih besar.

Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka agar (berita) perbuatan yang keji itu tersebar dalam kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (Surah an-Nur, 24:19)

Hakikatnya, pendedahan kandungan seperti trend S-Line ini termasuk dalam maksud ayat yang menyebarkan budaya keji, walaupun atas nama hiburan. Ia menggalakkan orang lain meniru, lalu mengakar dalam budaya masyarakat.

Implikasi sosial jika trend ini tidak dibendung
Trend ini menjadikan zina satu perkara biasa, malah dilihat sebagai suatu “pengalaman hidup” yang tidak menjengkelkan. Ia melunturkan sensitiviti terhadap perbuatan dosa. Akhirnya, masyarakat tidak lagi melihat zina sebagai perkara yang memalukan tetapi sekadar “hak individu”.

Selain itu, ia akan menjadikan nilai maruah dan perasaan malu rosak serosak-rosaknya. Rasa malu adalah perisai iman. Sabda Nabi SAW:
“Malu itu sebahagian daripada iman.” (HR Bukhari & Muslim)Apabila rasa malu hilang, manusia bebas melakukan apa sahaja tanpa peduli pandangan Allah. Trend ini mengikis nilai malu dalam kalangan remaja dan wanita khususnya.

Trend ini juga akan menyebabkan tekanan dalam kalangan remaja yang “tidak memiliki garisan merah”. Mereka mungkin berasa tercicir atau terpaksa berpura-pura demi memenuhi trend. Situasi ini menambah risiko kemurungan, gangguan emosi dan hilang arah hidup.

Selain itu, akan berlakunya kerosakan minda dan identiti. Apabila kandungan seperti ini menjadi tontonan harian, ia membentuk pemikiran.
Apa yang ditonton akan mempengaruhi emosi dan akhirnya kelakuan. Lebih ramai anak muda akan terjebak dalam pergaulan bebas dan sukar dibendung jika ia sudah menjadi normalisasi dalam kalangan masyarakat.

Pandangan ulama tentang perlakuan menyebarkan dosa Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyebut bahawa seseorang yang mendedahkan dosanya secara terbuka ibarat orang yang mencemarkan air bersih dengan najis di hadapan khalayak. Ia bukan sahaja berdosa, malah menyebarkan kerosakan. Ibnu Qayyim pula menyatakan bahawa:

“Antara bentuk dosa paling besar ialah apabila seseorang mendedahkan maksiatnya kepada orang ramai dengan perasaan bangga, seolah-olah mencabar hukum Allah.

”Trend seperti ini bukan sahaja menzahirkan dosa, tetapi turut mengajak orang lain menyertainya. Ia adalah bentuk ghuluw (melampau) yang amat berbahaya dalam agama.

Pendekatan AISAR dalam menangani trend S-Line Bagi menangani isu seperti ini, pendekatan menghukum semata-mata tidak memadai. Perlu ada pendekatan rahmah iaitu mendidik, membimbing dan memulihkan.

Di sinilah datangnya konsep AISAR yang dipelopori oleh Jabatan Pendidikan Masyarakat (JPM) IKRAM.

Remaja yang terbabit dengan trend ini perlu dibimbing semula kepada asas keimanan yang benar, bahawa Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Mereka perlu faham bahawa dosa bukan sekadar urusan sosial, tetapi urusan dengan Tuhan.

Wajar juga disentuh mengenai kualiti solat dan ibadah yang perlu diperbaiki. Program pemulihan iman dan penghayatan ibadah dapat membantu golongan muda kembali kepada landasan sebenar.

Jika diteliti, trend ini berpunca daripada krisis identiti. Maka pembinaan peribadi dan jati diri Islam perlu diberi fokus dengan bimbingan mentor, suasana soleh dan sokongan rakan sebaya yang positif.

Budaya “berbangga dengan dosa” jelas bertentangan dengan akhlak Islam. Pendidikan akhlak dalam bentuk kisah-kisah taubat dan perjuangan para sahabat yang berubah daripada kelam kepada cahaya perlu diketengahkan serta disebar luaskan.

Apa yang pasti, trend ini perlu dilawan dengan ilmu, bukan hanya emosi. Forum, bengkel dan wacana perlu dijalankan dengan fakta, data dan dalil. Media sosial perlu dipenuhi dengan konten ilmiah yang menarik dan menyentuh hati.
Apa yang kita boleh buat?

Anak-anak muda harus diberi ilmu literasi media sosial yang digabung dengan nilai Islam. Contohnya, modul khas “Muslim dan Media” yang menekankan etika, hukum dan tanggungjawab digital.

Tidak terkecuali, ibu bapa perlu menjadi rakan kepada anak-anak, bukan sekadar pengawal. Guru pula bukan sekadar pendidik akademik, tetapi contoh teladan dalam berinteraksi secara digital.

Aktivis dakwah dan “content creator” yang Islamik perlu menghasilkan konten yang menyentuh emosi, menarik dan penuh mesej keinsafan. Ia bukan hanya ceramah panjang berjela. Gunakan gaya pendek, visual yang menyentuh, kisah benar dan kesan audio-visual.
Remaja yang terlibat dalam trend ini tidak perlu dikecam secara terbuka.

Mereka perlu dirangkul dan dibimbing dengan rahmah. Islam tidak menghukum tanpa membuka jalan kembali, bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah.

Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa.” (Surah Az-Zumar, 39:53)
Kembali kepada maruah dan rahmah
Fenomena S-Line bukan sekadar trend media sosial. Ia adalah cerminan krisis nilai dan kehilangan arah dalam kalangan generasi muda.

Masyarakat tidak boleh mendiamkan diri melihat maruah Islam dicemari atas nama hiburan. Namun kita juga tidak boleh bertindak melulu menghukum tanpa mendidik.

Konsep AISAR yang berteraskan rahmah memberi jalan tengah yang menyelamatkan, bukan sahaja individu, tetapi juga masyarakat.

Kita diajar untuk menutup aib, bukan mendedahkannya. Kita diseru untuk berbangga dengan taubat, bukan berbuat maksiat.

Marilah kita bersama-sama tanamkan semula rasa malu, hormat dan cinta kepada kesucian diri. Media sosial bukan pentas dosa, tetapi jadikanlah ia sebagai medan dakwah.

Gunakanlah ia untuk menyeru kepada kebaikan, bukan menormalisasi kemungkaran.

Ayuh!

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat (JPM)
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia