Program Ziarah & Qurban Kasih Ummah (QKU) 1435H ke Filipina bermula dari 3 hingga 6 Oktober 2014 lalu untuk ziarah dan memantau pelaksanaan ibadah qurban di sana serta menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Berikut adalah catatan kembara ke Filipina oleh Saudara Abdul Hafidz Hashim, Pengurus Operasi QKU 1435H.
3 Oktober 2014 : Tiba di Manila
Setibanya di Manila kami terus di bawa ke lokasi penginapan iaitu di Muslim Town, Quiapo. Kami menginap di Hotel 99, hotel terbaik (gambar kanan) di sini tetapi hanya boleh saya letakkan taraf paling tinggi dua bintang buat masa ini kerana masih dalam proses pengubahsuaian dan pembesaran.
Pada malamnya kami sempat berkunjung ke SM Mall, gedung membeli-belah terbesar di Manila. Saya sempat membeli sedikit cenderahati di kedai ini. Tetapi, untuk perbandingan mereka yang membaca, barangan di kedai ini agak mahal walaupun selepas diskaun. Pepatah baru yang saya pelajari: “Kalau membeli di tempat seperti KLCC, harganya pun seperti di KLCC!”
4 Oktober 2014 : Solat Eiduladha di Rizal Park
Di Quiapo, terdapat dua buah masjid. Yang menjadi kunjungan pelawat ialah “Golden Mosque” ini. Alhamdulillah, sempat solat subuh di masjid ini. Seperti kebanyakan negara lain di Asia Tenggara, walaupun bermazhab Syafie, mereka tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh. Kelihatan dua buah pedicab (seakan beca), yang merupakan salah satu pengangkutan utama di Filipina.
Muslim Town, Rizal Park & Golden Mosque
Filipina menyambut Eiduladha sehari awal dari Malaysia. Antara lokasi untuk solat Eiduladha di Manila ialah di Rizal Park, sebuah padang awam di tengah bandar. Kami solat tepat jam 7.00 pagi waktu Filipina. Disebabkan hujan lebat pada sebelah malamnya, sebahagian padang agak basah dan berlopak tetapi ia tidak menghalang ribuan untuk hadir solat berjamaah.
Malacanang Palace, Intramuros dan Fort Santiago
Sepatutnya selepas solat Eiduladha kami perlu terus ke airport untuk ke Cotabato. Tetapi kami menerima makluman penerbangan ditangguhkan ke pukul 1.00 tengahari. Kami mengambil peluang untuk melawat tempat bersejarah.
Lokasi pertama ialah Malacanang Palace – kami tidak dibenarkan mengambil gambar. Lokasi kedua ialah peninggalan Intramuros. Kubu ini masih utuh binaannya dan masih terdapat banyak meriam di sini. Tentera Islam yang dipanggil Moro pernah bertempur menentang tentera Sepanyol yang berkubu di sini.
Intramuros & Fort Santiago
Lokasi ketiga yang dilawat ialah Fort Santiago. Bayaran masuk sebanyak P75 dikenakan. Kompleks ini lebih besar dan asalnya ia bersambung dengan Intramuros. Di sini juga terletaknya kubur Jose Rizal, figura yang tidak dapat dipastikan samada beliau Islam atau Kristian.
Untuk yang ingin membeli cenderahati, di luar kompleks ini ada kedai yang menjual dengan harga yang lebih murah dari Kedai Kultura di SM Mall. Atau anda boleh juga tawar menawar dengan penjaja yang berkeliaran. Keychain boleh ditawar sehingga tujuh untuk P100.
Cotabato City: Markaz Al-Amir, IMT dan Kompleks Al-Nor
Inilah hotel tempat kami menginap di Cotabato. Hotel dimiliki oleh pasangan beragama Islam. Kawasan ini dibina untuk menjadi one stop centre. Yang telah siap ialah stesen minyak, hotel dan bengkel. Sedang disiapkan adalah deretan kedai termasuk kedai makan.
Hotel Em Manor & Markaz Al-Amir
Lokasi ziarah pertama kami di Cotabato City ialah rumah anak yatim, Markaz Al-Amir. Melalui sumbangan dermawan dari Malaysia, kami meraikan anak-anak ini dengan jamuan makan malam yang agak istimewa berbanding juadah harian mereka. Kelihatan anak-anak perempuan sedang menyenduk makanan. Ini pula anak-anak lelaki rumah anak yatim Markaz Al-Amir. Yang peliknya, mereka makan secara berdiri. Rupanya ia satu kebiasaan di Cotabato.
Lokasi kedua kami ialah ke pejabat International Monitoring Team (IMT). Ia ialah satu badan yang ditubuhkan untuk memantau proses pembentukan kerajaan autonomi di Mindanao. Kami diundang untuk makan malam bersama mereka. Asalnya ada enam negara yang terlibat, kini hanya lima negara sahaja yang masih terlibat. Pasukan ini diketuai oleh tentera Malaysia. Kelihatan Kapten Azhar (TLDM) sedang memberi penerangan tentang peranan IMT.
IMT & Kompleks Al-Nor
Selepas dari pejabat IMT, kami berkunjung ke Kompleks Al-Nor. Kompleks ini satu-satunya pusat perniagaan dan hotel milik orang Islam di sini. Pemilik tempat ini juga memiliki hotel Em Manor yang kami duduki, terletak tidak jauh dari Kompleks Al-Nor. Di sini, kami bertemu dengan satu lagi rombongan ziarah dari Malaysia dan aktivis kebajikan IHH dari Turki. Mereka menginap di Hotel Al-Nor. Kami sempat minum Boku Juice di sini.
5 Oktober 2014 : Grand Mosque
Pada hari kedua di Cotabato City, lokasi pertama yang dituju ialah “Grand Mosque” atau Masjid Sultan Hassanah Bolkiah. Masjid ini adalah yang terbesar di Filipina dan kos pembinaannya disumbangkan oleh Sultan Brunei, terletak di sebelah Sungai Tamontaka dan berhampiran dengan laut. Bagaimanapun ia hanya dimanfaatkan untuk Solat Jumaat, Solat Eidulfitri dan Eiduladha sahaja kerana terletak jauh dari penempatan.
Golden Mosque & peserta ziarah menaiki pedicab
Dalam perjalanan balik dari Grand Mosque, peserta diberi peluang untuk menaiki “pedicab”. Pedicab dalam gambar ini lebih simple berbanding yang biasa digunakan dalam bandar. Cuma payung besar menjadi pelindung dari panas atau hujan.
Kampung Darapanan
Destinasi kami yang kedua pada hari kedua ialah Kampung Darapanan. Penduduk kampung telah berkumpul untuk menyambut kami. Acara sambut ringkas dibuat untuk kami dan kami juga dijamu dengan makanan tradisional.
Pemimpin mereka berbicara dalam bahasa Arab, dan kebanyakan mereka boleh berbahasa Arab hasil didikan di madrasah yang ada walaupun serba dhaif. Kelihatan dalam gambar, Pengarah Qurban Kasih Ummah (QKU), Tuan Yaacob Tuan Sof, sedang menyampaikan ucapan.
Pelaksanaan qurban di Cotabato adalah dengan kerjasama ACT Philippines. Saya telah diminta untuk melakukan penyembelihan pertama di sini. Lihat rumah yang di belakang gambar. Dinding rumah dari buluh ini banyak terdapat di kampung saya ketika masih kecil pada tahun 1970-an. Masih jauh untuk mereka mencapai tahap pembangunan seperti di negara kita.
Kelihatan juga peserta ziarah wanita bergambar dengan beberapa orang wanita Kampung Darapanan. Lihatlah kerusi yang digunakan, semuanya dibuat sendiri. Dewan yang ada pun cukup dhaif, berdinding blok bata tanpa diratakan dengan simen. Tingkapnya pula menggunakan bilah papan, bukannya kaca.
Kampung Bario
Ini pula gambar di Bario, lokasi kami seterusnya. Ia terletak di Daerah Sultan Mastura dan merupakan satu perkampungan Islam berhampiran pantai. Qurban untuk empat orang peserta ziarah dilaksanakan di sini. Kelihatan peserta qurban bergambar bersama lembu qurban dan senarai nama mereka.
Saya menolak untuk melakukan penyembelihan di sini, sebaliknya hanya menjadi saksi sahaja. Perkampungan ini juga pernah menerima sumbangan dari warga Malaysia. Yang terkini yang disampaikan semasa bulan Ramadhan baru-baru ini, iaitu sistem solar untuk bekalan eletrik.
Kerja-kerja menimbang dibuat sebelum daging qurban diagihkan, agar agihan boleh dibuat dengan lebih adil. Hampir seluruh penduduk kampung turun untuk bersama melaksanakan ibadah qurban ini. Pengarah QKU turut menyampaikan agihan daging qurban pertama kepada penduduk kampung. Kemudian, kami bergambar beramai-ramai dengan kanak-kanak dan beberapa orang penduduk kampung. Kelihatan di tengah bumbung masjid, hujung panel solar yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia untuk masjid ini.
Pantai Semui
Selepas menyaksikan ibadah qurban, kami berjalan kaki ke pantai dan berehat sebentar di pondok yang ada disediakan. Uniknya, pasir di pantai ini berwarna hitam. Mungkin disebabkan pengaruh gunung berapi. Jika di Langkawi hanya kawasan kecil sahaja pasirnya berwarna hitam, tetapi di sini saujana mata memandang. Pantai Semui Seashore ini juga terdapat banyak kepah. Dalam masa yang singkat beberapa orang daripada kami telah berjaya mengumpulkan sebanyak ini.
Saya bertemu dengan anak-anak ini yang sedang menangkap ketam, bukan untuk dimakan tetapi dijadikan mainan. Warna ketam itu juga sangat menarik. Jumlah yang ditangkap agak banyak. Kami juga dihidangkan makan tengahari yang ringkas tapi cukup menyelerakan. Makan tengahari disudahi dengan hidangan segar Buko Juice, iaitu air kelapa. Setiap seorang diberikan sebiji buah kelapa.
Sungai Rio Grande, Gua Kutawato & City Central Arcade
Kami melewati satu perkampungan di tebing sungai Rio Grande. Sungguh dhaif keadaan mereka. Kami bercadang untuk melaksanakan qurban di sini pada tahun hadapan. Kami berhenti di jambatan ini untuk mengambil gambar gelagat anak-anak yang sedang bermain ini. Mereka melompat dari jambatan, yang ketinggiannya lebih kurang bangunan tiga tingkat, tanpa rasa takut dan tanpa rasa malu.
Setelah beredar dari Bario, kami melawat tempat yang menarik di sekitar Cotabato City. Antara lokasi lawatan kami ialah ibu pejabat kerajaan autonomi Mindanao.
Kami juga melawat Gua Kutawato yang dikatakan pernah menjadi tempat persembunyian kaum wanita dari tentera Jepun. Oleh kerana tiada lampu di dalam, kami tidak boleh masuk jauh. Khabarnya panjangnya lebih kurang 400 meter. Kami juga mengunjungi City Central Arcade yang merupakan pasar basah. Sempat kami membeli nenas Del Monte yang terkenal dengan rasanya yang manis.
Markaz An-Nahdah, Durian dan Wagik
Markaz An-Nahdah ini merupakan madrasah yang pertama ditubuhkan di Cotabato City. Setelah melalui peredaran zaman, kini bangunannya ialah dari batu-bata dan konkrit. Dalam perjalanan balik ke hotel, sempat singgah di gerai yang menjual durian. Durian di Filipina kebanyakannya berasal dari Davao. Oleh kerana ianya dipetik, masak diperam, rasanya seakan-akan durian siam.
Pada malam harinya, para penggerak ACT Mindanao meraikan kami di rumah Ustaz Abdul Kadir. Kami dihidangkan dengan menu tempatan termasuk ikan haruan bakar. Pencuci mulut pula ialah Wagik, yang bukan seperti wajik kita. Sebaliknya bubur pulut hitam yang dikacau sehingga kering.
6 Oktober 2014 : Ocean Park & Markaz Ash-Shabab
Pagi hari ketiga di Cotabato, kami bertolak dari hotel ke lapangan terbang pada pukul 6.00 pagi. Kami balik ke Malaysia pada hari ini. Dari Cotabato, kami perlu ke Manila dahulu. Perjalanan ke airport menaiki jeepney, yang hanya boleh didapati di Filipina. Selain pedicab, jeepney juga merupakan kenderaan awam utama di sini. Bas pula hampir tiada.
Di Manila, kami disediakan sarapan berat dan “berkelah” di Rizal Park, lokasi kami solat Eiduladha tempohari. Oleh kerana hari ini adalah cuti umum Eiduladha yang dibawa ke depan, maka ramai orang yang mengambil peluang melakukan riadah di sini. Oh ya, kerajaan Filipina menetapkan Eiduladha dan Eidulfitri sebagai cuti umum nasional.
Pemandangan biasa di Manila dan bandar-bandar besar lain di Filipina. Ribuan anak tidak berbapa merempat di merata tempat. Begitu juga warga gelandangan, cukup ramai. Kami sempat menghulurkan air mineral dan beberapa paket nasi yang tidak kami jamah untuk seorang anak dan adik-beradiknya.
Lokasi lawatan kami seterusnya ialah Ocean Park. Kami mengambil pakej yang paling pendek kerana kesuntukan masa. Penerbangan pulang kami adalah pada pukul 4.20 petang. Pakej termurah berharga P600 dan membolehkan kami masuk ke Oceanarium, Rumah Salji dan Akuarium Jellyfish. Terowong kaca ini lebih besar daripada yang terdapat di Langkawi.
Antara yang boleh dilihat di Oceanarium, kuda laut ini. Di Akuarium Jellyfish, menempatkan pelbagai jenis obor-obor. Siapa yang berkunjung ke Manila, boleh membeli cenderamata di luar rumah obor-obor ini. Ada pelbagai jenis cenderamata menarik termasuk bahan silap mata.
Kami juga berkunjung ke pejabat Markaz Ash-Shabab, rakan NGO kami yang melaksanakan qurban bagi pihak QKU di Manila dan Marawi. Kami juga menumpang solat jamak Zuhur dan Asar di sini. Pengarah QKU, Tuan Yaacob turut menyampaikan wang untuk membeli haiwan qurban kepada Bro Omar, wakil Markaz Ash-Shabab.
Di Markaz Ash-Shabab dan ketibaan di KLIA2
Petugas QKU di Malaysia, datang bertugas pada hari tasyriq yang pertama lagi untuk memastikan tiada penyertaan qurban yang tertinggal dan untuk meraikan penyertaan last minute. Kemudian mereka memaklumkan kami jumlah qurban last minute ini. Turut disumbangkan ialah bantuan awal untuk penambahbaikan sebuah madrasah di kampung Bro Omar, lebih kurang tiga jam perjalanan dari Manila.
Kembalinya kami ke KLIA2, bermakna tamatlah program Ziarah Qurban Kasih Ummah ke Filipina untuk tahun ini. Moga ada peluang lagi untuk menyampaikan sumbangan dan berbakti untuk mereka yang memerlukan, insyaa-Allah.
Lagi foto ziarah: http://on.fb.me/1tYJjAZ