Travelog A2G13-ER: Jabalia, Hospital Ar-Rantisi dan Khansa’ Palestin

Orphan Centre of Jabalia

Tempat pertama kami lawati ialah bangunan aktiviti anak yatim empat tingkat yang sedang dibina, Jabalia Orphan Centre  bernilai USD1.56 juta. Aqsa Syarif menyumbang sebanyak USD300,000 untuk kelengkapan perabot dan komputer di bangunan ini.

Dianggarkan 70% bangunan hampir siap dan tinggal hanya alatan serta kelengkapan dalaman yang perlu dimasukkan. Pusat aktiviti untuk 3,500 anak yatim sekitar Jabalia menempatkan pejabat, dewan, kafeteria, makmal, perpustakaan, kelas dan asrama dengan sumbangan utama sebuah NGO Turki, GENCU.

Ladang oren di Jabalia

Ladang oren milik Abu Aiman ini dibom jet Zionis dua kali. Bom jenis DIME (Dense Innert Mental Explosive) berkemampuan dalam radius 100 meter untuk membunuh, 200 meter untuk memecahkan cermin, 300 meter untuk memberikan kesan trauma kepada kanak-kanak trauma serta turut memberi kesan kepada bangunan sekeliling yang mungkin runtuh selepas 3 bulan.

Menurut Abdel Rahim, dianggarkan jumlah kawasan pertanian dibom di seluruh Gaza ialah 1 juta meter persegi. Setiap bom mampu memusnahkan kawasan 10,000 meter persegi. Anggota misi sempat menikmati buah limau dan jus limau hasil daripada ladang tersebut.

Malaysian-Palestinian Industrial Village (MyPIV) di Jabalia

Tidak jauh dari ladang oren, kami melawat kawasan MyPIV, projek kerjasama Aqsa Syarif dan ISJ yang dilancarkan Mei tahun lalu telah dibom Zionis semasa perang 8 hari pada 14-20 November 2012, yang diberi nama oleh penduduk Gaza sebagai perang Hijaratus Sijjil (batu neraka) ke atas tentera Zionis.

Kos projek industri yang bernilai USD1.15 juta (RM3.5 juta) telah dimulakan dengan kerja-kerja meratakan tanah dan membina bangunan dengan bantuan awal RM100,000. MoU projek ini telah ditandatangani pada 23 Mei 2012 semasa misi A2G4 yang ditandatangani oleh BoT Aqsa Syarif, Dr Tahir yang turut menjadi ketua misi kali ini.


Syahdu melihat Dr Tahir memerhatikan serpihan batu asas projek yang dibom yang mana beliau sendiri yang menandatangani projek tersebut. Anggota misi seterusnya mencantumkan batu asas tersebut sebagai kenangan untuk misi kali ini. Tekad Dr Tahir, projek tersebut akan tetap diteruskan.

Gudang Islamic Society of Jabalia (ISJ)

Gudang utama Islamic Society of Jabalia (ISJ) ini menempatkan pelbagai barang keperluan sumbangan rakyat Malaysia melalui Aqsa Syarif untuk mangsa serangan Hijaratus Sijjil (Emergency Relief) seperti bungkusan pelbagai makanan termasuk roti (keluaran kilang roti Aqsa Syarif) untuk dua minggu, selimut tebal, tilam dan pakaian musim sejuk.


Semasa anggota misi tiba, barang-barang tersebut sedang dipunggah ke dalam lori untuk diedarkan di Jabalia. Turut kelihatan lori Islamic Society of Khan Younis untuk mengedarkan bantuan di sana. Edaran barangan bantuan masih diteruskan meskipun serangan telah berlalu dua bulan, kerana masih ada lebihan sumbangan rakyat Malaysia.

Kedai nasi Arab, ladang lembu tenusu dan kolam ikan tajaan Aqsa Syarif

Anggota misi juga sempat melawat tiga lagi projek kerjasama Aqsa Syarif dan ISJ di Jabalia iaitu kedai nasi Arab, ladang lembu tenusu dan kolam ikan. Di kedai nasi Arab yang bernama Matbakh at-Taqwa, anggota misi mencuba untuk membungkus nasi dan merasai nasi tersebut. Kedai ini turut mengedarkan makanan kepada mangsa yang musnah rumahnya semasa serangan Zionis.


Di ladang lembu tenusu, sebanyak 26 daripada 72 ekor lembu ditaja oleh Aqsa Syarif. Lembu-lembu yang diimport daripada Belanda ini mampu menghasilkan isipada susu dua hingga tiga kali ganda daripada biasa dengan sekali perahan. Ya, hanya di Gaza susu ini berganda.


Di kolam ikan berhampiran hotel penginapan kami, mengandungi ikan air tawar seperti talapia tetapi dapat hidup dengan air masin menggunakan teknologi Israel. Anggota misi sempat menikmati makan tengahari berupa nasi Arab bersama ikan bakar daripada kolam ikan tersebut.

Kebanyakan projek di Jabalia sangat bermanfaat dan bersifat serampang dua mata; hasil projek diberikan kepada keluarga miskin dengan percuma secara berkala, dan hasil projek juga dijual dan beroleh keuntungan untuk belanja pengurusan projek secara berterusan.

Hospital Kanak-kanak Ar-Rantisi di Gaza City

Hospital ini khusus untuk kanak-kanak yang mendapat penyakit kronik. Walaupun begitu, hospital sangat kekurangan ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan serta hanya mampu memberikan rawatan asas dan sokongan.

Pesakit kanak-kanak di sini hanya mampu terlantar akibat kekurangan tersebut. Kes kritikal seperti leukemia akan dirujuk ke hospital di Jerusalem untuk diagnosis dan rawatan kemoterapi. Menurut pegawai hospital tersebut, setiap kali serangan Zionis secara besar-besaran, jumlah pesakit ke hospital tersebut meningkat dua kali ganda.


Anggota misi berkesempatan menghadiahkan patung permainan kanak-kanak dan beberapa alatan lain kepada para pesakit sebagai sokongan moral untuk mereka dan ibu bapa mereka yang menjaga mereka. Anggota misi sangat simpati dengan keadaan pesakit terlantar tanpa rawatan yang khusus untuk mereka kerana kos rawatan yang tinggi dan kekurangan peralatan perubatan yang sukar diperolehi.

Anggota misi turut melihat mesin UPS (Uninterrupted Power Supply) sumbangan Aqsa Syarif yang bernilai RM50,000 di hospital tersebut. Mesin ini digunakan untuk membekal bekalan elektrik sementara untuk peralatan hospital ketika keputusan bekalan elektrik seluruh hospital. Aqsa Syarif turut meneliti beberapa keperluan hospital untuk disumbangkan pada masa akan datang.

Lawatan ke rumah Ummu Nidhal di Gaza City

“Bumi Gaza, tanah Gaza, langit Gaza, rakyat Gaza sangat gembira dengan kedatangan kamu,” sambut Ummu Nidhal dengan madah pengenalan yang menggetarkan jiwa kepada anggota misi.

Digelar Khansa’ Palestin, Maryam Muhammad Yusuf Farhaat atau Ummu Nidhal menjadi obor kesyahidan tiga anaknya dalam Briged Izzuddin al-Qassam; Nidhal Farhat, Fathi Farhat dan Rawad Farhat. Seorang lagi anaknya yang juga anggota al-Qassam, Wesam Farhat kini berada di penjara Israel.

Sebahagian anggota misi mengucapkan takbir, sementara sebahagian lagi tidak tertahan menitiskan air mata mendengar setiap bait pesanan beliau yang dirasakan mempunyai roh dan sangat menyentuh sanubari kerana setiap kata Ummu Nidhal bukan hanya berdasarkan teori, bahkan berdasarkan pengalamannya yang mendidik anak-anaknya hingga menjadi syuhada’.

Beliau menyeru pemuda Islam supaya menggunakan segala pancaindera yang ada untuk projek besar membebaskan al-Aqsa. Tegasnya, sebagai Islam, kita perlu memenuhi intipati doa iftitah dalam kehidupan dan perjuangan kita iaitu:

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah, Tuhan sekelian alam.”

Beliau juga berpesan supaya kita menjadikan Islam sebagai sumber kekuatan untuk ummah dan bekerja keras untuk meningkatkan iman, lebih dan lebih lagi sepanjang masa.

Antara pesanan bermakna beliau untuk ibubapa mendidik anak-anak ialah:

“Anak saya telah syahid. Dia yang akan menolong saya dengan kesyahidannya. Sesiapa yang menyayangi anak-anaknya, berikanlah sesuatu yang paling berharga semampunya. Dan perkara paling berharga yang boleh diberikan ialah SYURGA.”

Rumah beliau sudah 3 kali runtuh diserang tentera Zionis kerana menyembunyikan tentera al-Qassam, namun Allah melindunginya dan rumahnya dibina semula buat kali ke-4.

 

Catatan pengalaman:

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti

Pegawai Eksekutif IKRAMedia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia