Transformasi Pendidikan Tinggi Pacu Bakat Holistik Digital

digital

RPTM 2026-2035 memperkenalkan pembelajaran lebih fleksibel, termasuk pengajian merentas universiti dan kerjasama industri, membolehkan pelajar mengikuti kursus di beberapa institusi serta menjalani latihan berasaskan keperluan industri,”  tegas Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.

Petikan ini menekankan transformasi pendidikan tinggi Malaysia. Fokus utamanya ialah membekalkan graduan dengan kemahiran relevan untuk ekonomi digital dan berasaskan pengetahuan.

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menjadi landasan strategik bagi menghadapi cabaran abad ke-21, termasuk disrupsi teknologi, ketidaktentuan global dan fenomena pascanormal yang dicirikan oleh perubahan pantas dan kompleks.

Selain kemahiran teknikal, RPTM menekankan pembangunan bakat holistik. Graduan yang dibentuk bukan sekadar kompeten dalam bidang profesional masing-masing, tetapi juga adaptif, tangkas dan berdaya tahan, mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, automasi dan kecerdasan buatan yang membentuk landskap pekerjaan masa depan.

Seperti peribahasa Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya,” pembinaan nilai dan kemahiran perlu digarap secara terancang sejak awal proses pendidikan tinggi. Teori Pembelajaran Holistik (Holistic Learning Theory) menegaskan bahawa pendidikan berkesan bukan sahaja membentuk kecemerlangan intelektual, tetapi juga rohani, emosi dan sosial pelajar.

Dalam konteks ini, pembangunan bakat seiring dengan agenda TVET negara, yang merangkumi penajaan biasiswa, khidmat kepakaran industri, serta penglibatan aktif institusi sebagai rakan strategik.

Pembangunan bakat dalam RPTM menuntut keseimbangan antara kecemerlangan intelektual dan kekuatan nilai. Graduan perlu berpegang kepada prinsip etika dan moral dalam setiap tindakan supaya kemajuan teknologi tidak meminggirkan pertimbangan kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

Aspirasi ini turut menekankan pembentukan graduan sebagai pembina negara, dengan semangat patriotisme, kesedaran sivik, dan komitmen terhadap perpaduan nasional.

Dalam era ketidaktentuan global, pembinaan bangsa memerlukan gabungan kecemerlangan ilmu, keteguhan etika dan komitmen terhadap kesejahteraan bersama.

Dalam landskap digital, pembinaan jati diri berhadapan cabaran baharu: ledakan maklumat, berita palsu dan polarisasi wacana menuntut literasi digital, pemikiran kritis, etika komunikasi dan tanggungjawab sivik. Tanpa asas nilai yang kukuh, kecanggihan teknologi berpotensi mempercepat fragmentasi sosial.

Universiti bukan hanya pusat penyelidikan dan penghasilan tenaga mahir, tetapi juga institusi sosial yang membentuk nilai, pemikiran dan identiti kebangsaan. Akademia termasuk ahli akademik, penyelidik dan pendidik memainkan peranan penting dalam menentukan arah pendidikan negara.

Justeru, RPTM bukan sekadar pelan transformasi institusi, tetapi agenda besar pembinaan bangsa berteraskan ilmu dan nilai. 

Dalam konteks kerangka Malaysia MADANI, enam teras utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan menyediakan asas moral pembangunan negara.

Universiti berperanan menterjemahkan prinsip ini melalui kurikulum, penyelidikan dan penglibatan masyarakat. Nilai kemampanan menuntut universiti menjadi peneraju pembangunan lestari, teknologi hijau dan penyelidikan berimpak sosial.

Daya cipta menggesa ekosistem inovasi yang menghubungkan universiti, industri dan masyarakat. Ihsan dan hormat pula menekankan pembentukan insan berempati, berintegriti dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan kolektif.

Nilai yang diangkat oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia iaitu ihsan, amanah, keadilan, rahmah dan profesionalisme selari dengan etika akademik. Amanah, misalnya, menekankan integriti penyelidikan, ketelusan tadbir urus dan tanggungjawab ilmuwan terhadap masyarakat.

Dalam era persaingan global dan tekanan penerbitan, penghayatan amanah menjadi benteng terhadap salah laku akademik dan kecenderungan mengejar kuantiti berbanding kualiti. Pendidikan tinggi bukan sekadar menghasilkan tenaga kerja mahir, tetapi juga membentuk warganegara yang seimbang dan beridentiti nasional.

Agenda AISAR (Asas Islam Rahmah) atau mesej Islam yang Rahmatan lil ‘Alamin ditekankan lebih menyeluruh. Contohnya, keseimbangan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu konsep Rahmatan lil ‘Alamin menekankan kesejahteraan untuk semua tanpa mengira kaum atau agama.

Ini tercermin dalam FPK yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, dan Intelek (JERI). Pendidikan bukan sekadar akademik. Ia adalah tentang membentuk karakter yang membawa manfaat kepada masyarakat (rahmat), bukan sekadar mengejar gred semata-mata.

Malaysia Logistics Consortium (MLC) iaitu sebuah inisiatif yang diterajui Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menyatukan 16 institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk politeknik, kolej komuniti dan institusi swasta bagi memperkukuh kolaborasi antara akademia, industri dan kerajaan.

Ia merupakan gabungan pendidikan berasaskan nilai, penguasaan kemahiran digital dan program industri dengan PKT Logistics Group Sdn Bhd yang bertindak selaku penaja utama. 

Program berasaskan keperluan industri (industry-driven) dibangunkan mengikut standard profesional, diiktiraf oleh Malaysia Board of Technologists (MBOT), dan menawarkan pelbagai pengiktirafan termasuk Sijil Kompetensi MBOT, Sijil Kompetensi Industri oleh PKT Logistics Group Sdn. Bhd, Pensijilan Internet of Things (IoT) oleh Bosch Rexroth dan Kelayakan Tauliah Qualified Technician (Tc.) oleh MBOT.

Model ini menunjukkan bagaimana pendidikan tinggi dapat menghasilkan graduan yang bersedia menghadapi industri digital, sambil menyumbang kepada pembinaan bangsa yang dinamik melalui penglibatan mahasiswa dalam realiti sosial dan pembangunan kemahiran berasaskan nilai. 

RPTM 2026-2035 menekankan kesiapsiagaan graduan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Pembuatan Termaju dan Aeroangkasa kerana masa depan tidak menunggu kita bersedia, kitalah yang perlu bersedia mendahului masa depan.

Dalam konteks ini, Malaysia Robotics, AI and Automation Association (MYRAS) memainkan peranan penting sebagai platform kolaborasi antara universiti, industri dan penyelidik. MYRAS memacu pembangunan penyelidikan berimpak tinggi, inovasi berorientasikan industri dan latihan bakat berkemahiran tinggi, selaras dengan aspirasi RPTM.

Inisiatif seperti MYRAS membolehkan pelajar memperoleh pengalaman langsung dalam aplikasi digital dan kemahiran STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics) sesuai untuk ekonomi berasaskan pengetahuan, projek berteknologi tinggi, membina kemahiran praktikal serta inovatif dan memperkukuh kebolehpasaran mereka di peringkat global. 

Keseimbangan antara pembangunan material dan spiritual menjadi prinsip asas Malaysia MADANI. Pendidikan tinggi tidak boleh menilai kejayaan semata-mata melalui kebolehpasaran graduan dan sumbangan ekonomi. Universiti perlu melahirkan warganegara berkesedaran moral, empati sosial dan komitmen terhadap perpaduan nasional.

Akhirnya, akademia memikul amanah besar untuk membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang secara intelektual dan profesional, tetapi juga berjiwa manusiawi, berintegriti serta kukuh nilai dan jati diri.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Ahli Majlis Bahasa Negara

Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MYRAS

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia