Tragedi Tanah Runtuh Beri Kesan Mendalam Buat Anggota SAR

Tragedi Tanah Runtuh Beri Kesan Mendalam Buat Anggota SAR

BATANG KALI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini yang berakhir pada Ahad, meninggalkan kesan mendalam kepada anggota-anggota penyelamat.

Ketua Zon Hulu Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ahmadi Muhamad Hasan berkata, selain fizikal, emosi anggota juga terkesan sepanjang sembilan hari operasi SAR berlangsung.

Mengimbas kembali usaha mengesan mangsa tragedi itu, beliau berkata, faktor tanah lembut dan cuaca hujan menyukarkan pergerakan dan menuntut kudrat anggota penyelamat.

“Tidak dapat dinafikan emosi pasukan di ground zero juga kadangkala terjejas terutamanya apabila gagal menemukan mangsa atau petunjuk baharu keberadaan mangsa di bawah runtuhan tanah,” katanya kepada Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian di sini.

Ahmadi berkata, pasukan penyelamat diberikan terapi minda dan kata-kata semangat bertujuan memulihkan kembali motivasi bagi meneruskan kerja-kerja pencarian mangsa.

Meskipun dengan penemuan mayat empat sekeluarga yang merupakan korban ke-27, ke-28, ke-29 dan ke-30 pada hari ketujuh pencarian, beliau berkata operasi SAR terus berdepan kesukaran.

“Hendak mencari hanya seorang lagi mangsa dalam kawasan yang sangat luas iaitu hampir 15 ekar (6.07 hektar) sangat sukar,” katanya.

Ahmadi berkata, selain kerja pengorekan dan penggalian melibatkan jengkaut, anggota penyelamat bersama anjing pengesan perlu membuat pencarian di kawasan sama berkali-kali bagi mengesan mangsa.

“Syukur Alhamdulillah akhirnya sekitar 4.50 petang semalam (Sabtu), kita berjaya menemukan mayat terakhir. Sebagai pasukan penyelamat, apabila jumpa mangsa, itulah ubat paling mujarab untuk hilangkan segala kepenatan kami,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani secara rasmi menamatkan operasi SAR mangsa tragedi tanah runtuh itu 12 tengah hari Ahad, setelah pihaknya mengesahkan tiada lagi mangsa yang terlibat atau hilang dalam kejadian itu.

Dalam kejadian awal pagi 16 Disember lepas, seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban. Daripada angka korban itu, 18 ialah individu dewasa dan 13 kanak-kanak termasuk seorang bayi berumur setahun.

Secara keseluruhan, 20 mayat ditemukan di sektor A (hill view), satu di sektor B (farm view) dan 10 lagi di sektor C (river side).

Sumber: Bernama

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia