Tragedi Kepala Air Kemaman Yang Menyayat Hati

Tragedi Kepala Air Kemaman Yang Menyayat Hati | IKRAM

[DIKEMAS KINI] Baru-baru ini negara dikejutkan dengan tragedi kepala air yang menyayat hati di Jeram Mawar, Kampung Air Putih di Kemaman, Terengganu hingga mengorbankan banyak nyawa.

Kepala air atau juga disebut sebagai sumber sungai ialah kejadian gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya, ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai.

Berikutan kejadian itu, dilaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya adalah sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di jeram tersebut pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras itu.

Rentetan itu, pada Ahad lalu, seorang lelaki dan seorang wanita telah ditemui lemas selepas dipercayai dihanyutkan kepala air.

“Dua korban pertama telah ditemukan masing-masing pada jam 12.45 tengah hari pada Ahad,” kata Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintenden Ahmad Syukri Yusoff.

Kedua-dua mangsa tersebut ialah Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, berusia 11 tahun.

Didapati kenderaan yang digunakan mangsa yang turut terjejas dipercayai dihanyutkan kepala air.

“Mayat pertama iaitu seorang wanita ditemui orang ramai di tebing sungai berhampiran Kubur Kampung Laut, Pasir Gajah, Kemaman, manakala mayat kedua iaitu seorang lelaki ditemui di atas kayu di tebing sungai menuju ke Tasik Hutan Sungai Air Putih.”

Tambahnya lagi, pemantauan di lokasi kejadian menemui sebuah kereta jenis Proton Gen 2 bernombor pendaftaran JHY 5517 dan sebuah motosikal jenis SYM dengan nombor pendaftaran CER 5753 lebih kurang dua kilometer dari lokasi penemuan mayat kedua.

Hasil siasatan awal pada kedua-dua mayat tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau kesan perlakuan jenayah.

Kepala air mungkin berulang

Namun, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang hilang terpaksa dihentikan lebih awal petang Ahad berikutan dikhuatiri kepala air mungkin berulang.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, operasi hari pertama terpaksa ditamatkan pada 6 petang berikutan hujan lebat di lokasi SAR.

Seramai 37 anggota termasuk pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, BBP Kemaman, BBP Cheneh, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikerah untuk operasi SAR tersebut.

Pada kesempatan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti di lokasi yang berisiko berlaku fenomena kepala air dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, pada Ahad malam.

Identiti dikenal pasti

Dalam pada itu, lapan individu lagi, termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang pada Ahad dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Hanyan berkata, pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih di sini, mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.

“Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya.

Keluarga mangsa terkejut

Dalam perkembangan lain, keluarga mangsa masih berasa terkejut dan seakan tidak percaya dengan kejadian yang berlaku ini selepas mengetahui kejadian menimpa keluarga Allahyarham Azizah Eiyi.

“Saya diberitahu polis datang ke rumah ibu dan ayah saya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan untuk mengesan ahli keluarga. Kebetulan juga saya ternampak berita tular di Facebook berserta nombor plat kereta yang dinaiki kakak saya sekeluarga,” kata Syawalluddin Eiyi.

Menurut Syawalluddin, tujuh anak saudaranya termasuk paling kecil berusia lima tahun turut terlibat dalam tragedi itu.

“Kakak saya bersama suaminya pergi bermalam untuk berkelah ke situ bersama anak dan seorang lagi bakal menantu keluarga kami,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebelum ini mereka memang pernah bermalam di kawasan itu memandangkan abang iparnya bekerja di sana (Terengganu) dan kali terakhir dirinya bertemu kakak dan abang iparnya ialah pada Jumaat lalu.

“Tak sangka pula kali ini tragedi tak diingini berlaku kepada mereka sekeluarga. Saya berharap sangat dan berdoa agar masih ada yang terselamat,” luahnya.

Sembilan mangsa ditemui

Setakat pagi Selasa, tujuh mayat telah ditemukan dan dikenal pasti identitinya iaitu Karim, Azizah, Muhammad Zulqarnain Haikal, Putri Nurerina Natasya, Muhammad Haziq Ziqree, Putri Aryana Umaira Karim dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman.

Operasi hari ketiga SAR bagi mencari tiga lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air diteruskan melibatkan 170 anggota dari pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) selain turut dibantu orang awam.

Pencarian yang dilakukan masih di radius yang sama melibatkan tiga zon seluas kira-kira 35 kilometer persegi dan sebanyak enam unit anjing pengesan K9 JBPM dan PDRM digunakan dalam operasi tersebut.

Pada hari yang sama kira-kira jam 3 petang, mayat kelapan, Putri Alleya Maisarah Karim dijumpai di sektor A tidak jauh dari mayat kedua yang ditemui pada Ahad.

Setakat ini, lapan mayat mangsa sekeluarga yang ditemui selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Pahang pada Selasa dan Rabu (4 dan 5 Julai).

Selepas dua hari tiada sebarang petunjuk baharu dalam operasi SAR, mayat mangsa kesembilan, Muhammad Fikri, berjaya ditemukan pada pagi Jumaat, 7 Julai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa yang masih hilang ialah Putri Nor Fatin, dan usaha mengesannya masih diteruskan dengan penumpuan kawasan pencarian di sektor A dan B.

Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias, setakat ini pihaknya tidak menerima petunjuk baharu berhubung pencarian mangsa terakhir berkenaan, kecuali penemuan sebuah beg dipercayai milik Karim, yang mengandungi antaranya beg sandang hitam dengan tanda nama ‘Fatin’ dipercayai milik mangsa itu.

Bukan aktiviti pembalakan?

Berikutan kejadian tersebut, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan bahawa tragedi itu dipercayai bukan berpunca akibat penerokaan pembalakan baharu di kawasan itu. 

“Pembalakan yang berlaku di kawasan tersebut adalah aktiviti lama yang dijalankan sebelum ini. Insya-Allah, kita akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh bukan hanya risiko fenomena kepala air di daerah in, malah melibatkan kawasan lain.

Justeru, beliau akan melihat kembali keberkesanan notis ditampalkan di sekitar kawasan perkelahan kerana kebiasaan kawasan berkenaan mempunyai papan tanda.

Beliau turut memberitahu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menanggung kos penghantaran jenazah mangsa pulang ke kampung halaman.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia