Tragedi Bas Sekolah Kluang: Wajibkan Teknologi Kamera 360 Darjah

Tragedi Bas Sekolah Kluang: Wajibkan Teknologi Kamera 360 Darjah

Wanita IKRAM Malaysia menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam kepada keluarga mangsa susulan tragedi menyayat hati yang mengorbankan seorang murid berusia tujuh tahun di Taman Sri Lalang, Kluang, baru-baru ini. 

Insiden anak kecil yang maut akibat cedera parah selepas dilanggar bas sekolahnya sendiri sejurus diturunkan ini tidak boleh dilihat sebagai satu lagi statistik kemalangan jalan raya. Ia adalah tamparan hebat yang mendedahkan kegagalan sistemik kita dalam melindungi ruang selamat kanak-kanak.

Siasatan awal pihak polis menunjukkan mangsa dilanggar ketika bas tersebut mahu membelok. Tragedi ini meletakkan titik fokus pada dua isu kritikal yang sering kali diabaikan: kekangan titik buta (blind spot) kenderaan berat yang gagal melihat dari ‘aras mata’ seorang anak kecil, serta keperluan mendesak untuk menguatkuasakan had laju maksimum 30 km/j di kawasan kejiranan.

Atas dasar perlindungan fizikal kanak-kanak, JK Advokasi Kanak-kanak Wanita IKRAM Malaysia tampil mengemukakan ulasan dasar dan tuntutan tegas berikut:

1. Atasi titik buta: Wajibkan pemasangan kamera 360 darjah (AVM)

Hakikatnya, struktur kenderaan berat mempunyai titik buta yang mustahil dilihat dengan mata kasar, tanpa mengira tahap kecermatan pemandu. Dengan purata ketinggian kanak-kanak berusia tujuh tahun yang hanya sekitar 115 cm, mereka dengan mudah terlindung daripada pandangan langsung pemandu.

Perkara ini diakui secara antarabangsa menerusi evolusi piawaian keselamatan persekutuan Amerika Syarikat (FMVSS 111) yang beralih mewajibkan teknologi kamera bagi mengatasi kegagalan cermin fizikal biasa [1].

Oleh itu, JK Advokasi Kanak-kanak Wanita IKRAM Malaysia mendesak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mewajibkan pemasangan sistem kamera 360 darjah (Around View Monitor) serta sensor perimeter pada semua bas sekolah tanpa kompromi.

Teknologi komersial siri ini bersifat stand-alone (berdiri sendiri) dan mudah dipasang pada mana-mana bas sekolah model lama sekalipun untuk memberi pandangan atas secara menyeluruh (bird’s-eye view). Pihak kerajaan wajar menyediakan subsidi atau geran khas bagi membantu pengusaha bas kecil-kecilan melengkapkan pemasangan ini dengan segera.

2. Keterbatasan biologi kanak-kanak dan risiko tinggi di Zon Naik Turun bas 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. Walau bagaimanapun, daripada perspektif perlindungan kanak-kanak, kita wajib mengakui keterbatasan biologi yang dialami oleh mangsa. Murid tahun satu belum mempunyai tahap penglihatan sisi (periphery vision) dan keupayaan menilai kelajuan kenderaan yang sempurna seperti orang dewasa.

Kajian membuktikan kanak-kanak berusia tujuh dan lapan tahun lebih cenderung bergantung kepada isyarat jarak berbanding kelajuan kenderaan apabila menilai masa melintas [2]. Selepas diturunkan dari bas, fokus mereka mudah teralih dan sering menganggap persekitaran perumahan mereka sudah selamat.

Realiti ini dibuktikan melalui data kajian jangka panjang oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA), Amerika Syarikat (2000-2014).

Statistik mereka mendedahkan bahawa ancaman terbesar terhadap nyawa kanak-kanak bukanlah ketika bas sedang bergerak di jalan raya (sekitar 7,000 kes), sebaliknya bahaya melonjak mendadak di Zon Naik dan Turun Bas (Boarding/Alighting) yang merekodkan lebih 84,000 kes kecederaan.

Beban keselamatan ini sama sekali tidak boleh diletakkan di atas bahu mangsa yang baru berumur tujuh tahun; sebaliknya, ekosistem persekitaran yang wajib mengalah demi melindungi mereka.

3. Justifikasi had laju maksimum 30 km/j di kawasan kejiranan

JK Advokasi Kanak-kanak Wanita IKRAM Malaysia menegaskan, had laju maksimum 30 km/j atau lebih rendah, wajib menjadi budaya pemanduan mutlak di dalam mana-mana radius perimeter operasi bas sekolah dan zon perumahan.

Kelajuan yang sangat rendah memberikan pemandu masa tindak balas (reaction time) yang mencukupi sekiranya berlaku kecemasan atau perubahan objek di titik buta, sekali gus mampu merendahkan risiko kecederaan parah atau kematian sehingga 90% sekiranya berlaku implikasi pelanggaran, berdasarkan standard keselamatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) [3].

Penetapan had laju 30 km/j ini telah pun diputuskan secara rasmi oleh Jawatankuasa Kabinet sejak Julai 2024 [4]. Namun, kelewatan pelaksanaan akibat birokrasi terus meletakkan purata 67 nyawa anak-anak dalam pertaruhan di zon sekolah setiap tahun [3].

Nyawa seorang anak kecil telah hilang dalam sekelip mata akibat kegagalan kolektif kita menyediakan ekosistem persekitaran yang selamat. JK Advokasi Kanak-kanak Wanita IKRAM Malaysia mendesak agar pengajaran pahit daripada tragedi Kluang ini tidak sesekali disia-siakan.

Ia wajib diterjemahkan serta-merta kepada penguatkuasaan tindakan undang-undang, pemodenan standard armada bas sekolah, serta reformasi menyeluruh terhadap polisi perlindungan fizikal kanak-kanak di seluruh negara.

Dr Safiya Amaran
Jawatankuasa Advokasi Kanak-Kanak
Wanita IKRAM Malaysia

Rujukan: 

[1] Federal Motor Vehicle Safety Standards (FMVSS 111), School Transportation News. 
[2] Schwebel, D. C., et al. (2024). Traffic Injury Prevention
[3] World Health Organization (WHO) (2007). Managing Speed
[4] Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJRL). Kenyataan Rasmi Penetapan Had Laju 30 km/j, 15 Julai 2024.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia