BANDAR SERI PUTRA – Lebih 400 peserta mengikuti Forum Masyarakat MADANI bertajuk “Menolak Ketaasuban, Mempromosi Hikmah melalui Asas Islam Rahmah (AISAR)” di Masjid Bandar Seri Putra (BSP) pada Ahad, 2 November lalu.
Berhimpun dalam suasana tenang dan penuh makna, forum ini menjadi wadah memperkukuh kefahaman Islam berasaskan hikmah dan rahmah, di samping menyeru masyarakat agar menolak budaya taasub yang sering menjadi punca perpecahan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Nazir Masjid BSP, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat, yang menekankan bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga pusat pembinaan peradaban dan penyemaian kasih sesama insan.
Program ini dirasmikan oleh Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj. Badlishah Sham Baharin, yang menyeru masyarakat agar kembali kepada wajah Islam yang menenangkan, bukan menakutkan.
“Kita perlu menolak budaya taasub dan membina semula masyarakat Islam yang mendamaikan. Dakwah mesti disampaikan dengan kasih, bukan kemarahan,” ujar beliau.

Sesi diteruskan dengan slot khas MADANI yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Selangor, En. Ahmad Shukri Hj. Adnan, yang menjelaskan konsep Malaysia MADANI sebagai kerangka membina masyarakat berilmu, berakhlak dan berpaksikan nilai rahmah.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan MADANI menuntut setiap individu memainkan peranan dalam menyuburkan nilai ilmu, integriti dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.
Kemuncak program ialah Forum Masyarakat MADANI yang menampilkan barisan ahli panel berwibawa iaitu Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan, Ustaz Zainal Abidin Abdul Rahim dan Ustaz Dr. Syazalie Hirman Ahmad Najib, dengan Ustaz Nu’man Jamal Hani sebagai moderator.

Dalam sesi tersebut, Ustaz Dr. Syazalie Hirman mengingatkan bahawa Allah membenci manusia yang suka bertekak dan bermegah dengan pendapat sendiri.
“Tidak akan masuk syurga orang yang memiliki sifat sombong walau sebesar zarah,” tegas beliau sambil menjelaskan bahawa ketaasuban lahir apabila seseorang menolak kebenaran dan memperlekeh pandangan orang lain.
Sementara itu, Imam Muda Asyraf menegaskan bahawa banyak kesesatan bermula daripada sifat taasub – sama ada kepada tokoh, kumpulan mahupun fahaman tertentu.
Beliau mengingatkan agar umat Islam sentiasa menjaga rasa hormat walaupun berbeza pandangan. Menurutnya, ketaasuban kepada parti, tokoh, mazhab atau kumpulan boleh membunuh roh rahmah dalam beragama.
Secara umumnya, para ahli panel bersependapat bahawa Islam yang sejati ialah Islam yang mendamaikan, bukan memecahbelahkan. Mereka menegaskan bahawa dakwah yang berkesan harus berpaksikan kebijaksanaan, seiring dengan firman Allah SWT:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.” (Surah An-Nahl: 125)
Selain forum, pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan untuk seisi keluarga. IKRAM Putra Mahkota mengendalikan aktiviti khas untuk kanak-kanak, manakala para peserta dewasa turut berpeluang memenangi 15 hadiah cabutan bertuah termasuk televisyen, telefon pintar, ketuhar gelombang mikro, fon kepala, kad hadiah Decathlon dan set cadar.

Dalam masa yang sama, sebanyak 11 gerai pameran turut memeriahkan forum ini, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma oleh Health Lane Family Pharmacy (Bandar Seri Putra Bangi), gerai promosi Open University Malaysia (OUM), jualan buku AISAR oleh Jabatan Pendidikan Masyarakat (JPM) IKRAM, serta gerai penerangan oleh Hidayah Centre Foundation.
Program yang bertemakan AISAR kali ini membuktikan bahawa dakwah dan perpaduan masyarakat tidak lahir daripada kemarahan, tetapi daripada hikmah dan kasih sayang.
Semoga semangat ini terus subur, membimbing masyarakat ke arah pemikiran yang matang, hati yang lembut dan jiwa yang bersatu dalam kasih.




