PUTRAJAYA – Forum Masyarakat Madani semalam telah mencapai lima resolusi penting untuk masyarakat bagi menolak ketaasuban, mengangkat hikmah dan memartabatkan Islam sebagai rahmat untuk semua.
Forum bertajuk “Menolak Ketaasuban, Mempromosi Hikmah melalui Asas Islam Rahmah (AISAR)” anjuran Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) diadakan di Kompleks Nasyrul Quran di sini.
Ia membariskan tiga ahli panel iaitu Timbalan Presiden ABIM, Ustaz Mohamad Saifuddin Abdul Latiff; Timbalan Presiden WADAH, Ustaz Hasri Harun dan Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Dr. Solehudin Shuib, manakala Ahli JKP IKRAM, Ustaz Nu’man Hani Jamal bertindak sebagai moderator.
Resolusi Forum Masyarakat Madani ini digariskan untuk dilaksanakan oleh HIKAM termasuk NGO Islam yang lain, institusi pendidikan seperti masjid, sekolah dan universiti, serta pemimpin masyarakat, pempengaruh dan masyarakat.
Lima resolusi yang dicapai dalam forum tersebut ialah:
- Hikmah sebagai Prinsip Utama – Menjadikan rahmah, adab dan hikmah sebagai asas dakwah, kepimpinan dan komunikasi – bukan menghukum atau melabel.
- Didik Adab Berbeza Pandangan – Memperkukuh kefahaman wasatiyyah, maqasid dan adab al-ikhtilaf dalam masjid, NGO, komuniti dan kalangan belia.
- Etika Media Sosial Rahmah – Menolak budaya kecaman dan provokasi; mengamalkan tabayyun, bahasa beradab dan naratif yang menyatukan.
- Masjid & Komuniti sebagai Pusat Islah – Menghidupkan masjid sebagai ruang dialog awam, penyatuan dan penyelesaian masalah sosial, bukan medan perpecahan.
- Budaya Muhasabah & Rendah Diri – Membina keberanian menerima teguran, mengaku salah dan mendahulukan keadilan daripada ego atau kelompok.
Dihadiri kira-kira 200 orang peserta, Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin yang menyampaikan ucaptama khas dalam forum itu berkata, realitinya masalah utama umat Islam kini bukan kekurangan dalil.

“Dalil jelas dan tampak saja, ayat al-Quran dipetik setiap hari, hadis disebut di mana-mana. Tetapi yang semakin hilang ialah adab memahami dalil, hikmah menyampaikan kebenaran dan rahmah dalam berbeza pandangan.”
“Kita terlalu cepat memfatwakan, terlalu ghairah melabel, terlalu mudah menghalalkan kecaman, seolah-olah Islam itu datang untuk memenangkan kelompok, bukan menyelamatkan manusia,” tegas beliau.
Jelas Badlishah Sham, Islam datang bukan dengan kekerasan, bukan dengan fanatisme sempit, tetapi dengan rahmah serta kasih sayang yang merangkumi seluruh manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit atau latar belakang.
Menurut beliau, sifat taasub telah menutup pintu dialog, menafikan kepelbagaian pandangan, dan akhirnya merosakkan ukhuwah, sedangkan Islam mengajar kita bahawa perbezaan adalah rahmat, dan hikmah adalah jalan untuk menyatukan hati.

Baginya, di sinilah Asas Islam Rahmah (AISAR) perlu difahami, bukan sebagai slogan, tetapi sebagai asas pembaikan tamadun dan pembinaan jiwa manusiawi. Ia bukan pendekatan longgar terhadap prinsip, dan bukan juga kompromi terhadap kebenaran.
“AISAR ialah kerangka memahami, menyampaikan dan mengamalkan Islam dengan berpaksikan rahmah, hikmah, keadilan dan kemanusiaan.”
“AISAR mengingatkan bahawa Islam bukan sekadar apa yang kita perjuangkan, tetapi bagaimana kita memperjuangkannya. Islam bukan hanya tentang siapa yang benar, tetapi bagaimana kebenaran itu sampai kepada hati-hati manusia,” ujar beliau.
Lebih istimewa, Forum Masyarakat Madani ini diserikan lagi dengan hiburan mendidik jiwa oleh Hud dan Danial Basri, serta persembahan kumpulan popular, Fetya yang mendendangkan beberapa buah nasyid iaitu Balaklava, Taufan Al-Aqsa dan Akhir Zaman.

Uniknya forum ini, lima peserta telah terpilih dalam sesi kuiz interaktif semasa forum dan memenangi hadiah-hadiah menarik yang disediakan pihak penganjur, di samping hadirin turut disediakan sarapan pagi dan makan tengah hari.
Semoga Forum Masyarakat Madani yang menarik dan bermanfaat ini dapat mencapai objektif agar masyarakat menolak sikap taasub dan mengamalkan hikmah dan rahmah dalam mengukuhkan lagi keharmonian masyarakat.
Tonton Video 1: Perasmian
Tonton Video 2: Forum




