Tokoh Tahfiz meninggal dunia

Bekas Pengetua Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah, salah sebuah sekolah rangkaian IKRAM MUSLEH sejak tahun 2000 ini pernah menerima anugerah sebagai Tokoh Hafiz Kebangsaan 2012 dan Tokoh Maal Hijrah 1435H Negeri Sembilan pada 2013.

Almarhum dilahirkan pada 31 Mei 1948 dalam keluarga ulama tersohor Sheikh Hj Mohd Said yang merupakan datuk almarhum. Bapa beliau, Sheikh Hj Ahmad ialah Mufti dan Yang DiPertua Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang pertama. Abang beliau Sheikh Hj Murtadza juga ialah mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Almarhum mendapat pendidikan awal daripada ayahanda bonda beliau sebelum belajar di Sekolah Kebangsaan Rasah serta pendidikan menengah di Sekolah Arab Al-Attas, Johor Bahru dan Sekolah Arab Al-Mashor, Pulau Pinang.

Pada tahun 1966, almarhum merupakan kumpulan pertama pelajar tahfiz seramai lapan orang di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Masjid Negara, yang kini dikenali sebagai Darul Quran JAKIM.

Beliau memperolehi ijazah dalam bidang Syariah dan al-Quran daripada Universiti Al-Azhar di Mesir sebelum memperolehi Sijil Perguruan daripada Maktab Perguruan Islam pada tahun 1981.

Beliau telah berkhidmat dengan pelbagai institusi kerajaan dan swasta sejak tamat pengajian, antaranya sebagai guru di Sekolah Menengah Sains Selangor, Penolong Pendaftar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), guru dan penyelaras Unit Tilawah Al-Quran UIAM dan pensyarah tahfiz di Institut Tahfiz Al Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Brunei Darussalam.

Setelah tamat kontrak di Brunei, almarhum pulang ke Seremban dan menjadi pengasas bersama menubuhkan Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah pada tahun 2000 sekaligus menjadi Mudir (Pengetua) yang pertama.

Almarhum juga terpilih sebagai Jawatankuasa Pentashih al-Quran JAKIM dan turut menerbitkan beberapa buah buku serta puluhan kertas kerja yang dibentangkan dalam pelbagai seminar, antaranya buku Pembudayaan al-Quran Di Usia Emas dan Peranan Guru J-QAF Dalam Membentuk Generasi Budaya Membaca al-Quran di Malaysia.

Sebagai pakar bidang al-Quran dan Tahfiz, almarhum banyak memberikan sumbangan di seluruh negara sehingga dilantik menjadi hakim pertandingan tahfiz peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Jenazah almarhum telah disolatkan di Masjid At-Taqwa, Kampung Paroi dan selamat disemadikan di Makam Tuan Haji Said, Seremban.

Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Dr Parid atas pemergian almarhum.

Dengan sumbangan dan jasa serta kegigihan almarhum Ustaz Hj Mohamad Muhsin dalam membina generasi huffaz masa depan hingga ke akhir hayat, semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan digolongkan dalam kalangan amilin dan solihin di syurga, insya-Allah.

Foto: Almarhum (kanan) ketika menerima anugerah Tokoh Hafiz Kebangsaan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha dalam Multaqa Huffaz Kebangsaan 2012 pada 17 Februari 2012 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia