IKRAM menyokong titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong membina kepimpinan berintegriti

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menjunjung kasih titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahualaihiwassalam (SAW) Peringkat Kebangsaan pada 12 Rabiulawal 1443H bersamaan 18 Oktober 2021.

 

Sempena memperingati Nabi Muhammad SAW, Kebawah DYMM menyentuh perihal hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan Baginda yang telah berjaya membina tamadun agung dan mengangkat ummah mencapai persada kegemilangan.

 

Kebawah DYMM bertitah berhubung hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan Baginda SAW yang wajib diambil iktibar dan dijadikan panduan terutama dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan tanggungjawab kepimpinan, khususnya para ulama dan umara.

 

IKRAM mengajak semua pihak melaksanakan pesanan Kebawah DYMM berkenaan kepimpinan Baginda SAW yang berteraskan niat yang ikhlas dan pengorbanan yang jujur dalam melaksanakan amar makruf dan mencegah kemungkaran melalui akhlak mulia dan tindakan yang luhur dalam menegakkan kebenaran.

 

Kepimpinan Baginda SAW yang berpegang kepada hukum, gigih dan tegas menegur kesalahan telah berjaya membawa kesejahteraan kepada ummah. Kebawah DYMM menekankan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak bertolak ansur dengan rasuah dan telah membawa hadis berikut:

 

“Barang siapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selain itu, adalah ghulul (iaitu pengkhianatan dan curi).” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

 

Di akhir titah, Kebawah DYMM berdoa agar Allah SWT mengamanahkan kepimpinan dan pengurusan negara kepada orang-orang yang amanah, jujur dan ikhlas, berani menegakkan kebenaran serta tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum; orang-orang yang menghayati, menjiwai dan mengamalkan sifat-sifat kepimpinan Rasulullah SAW.

 

IKRAM menjunjung kasih titah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong atas perutusan yang amat bermakna sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

 

Sesungguhnya perutusan titah berkenaan amat relevan dalam menghadapi suasana, realiti dan cabaran yang menghadapi negara pada masa ini.

 

IKRAM berpegang teguh dengan keperluan untuk negara kita mempunyai kepimpinan yang berintegriti dan berwibawa yang mencontohi ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda.

 

Dalam usaha untuk mencegah rasuah khususnya dalam kalangan pemimpin negara, IKRAM menyokong penuh dan terlibat dalam gerakan Rasuah Busters yang telah dicetuskan oleh Pengerusi Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub bersama tokoh-tokoh masyarakat yang lain.

 

Rasuah Busters meletakkan visi untuk “Membangun sistem nilai dalam legasi Malaysia yang sifar toleransi rasuah dan bebas dari penyalahgunaan kuasa.”

 

Dalam konteks yang lebih luas, IKRAM berhasrat untuk menjadi rakan kongsi strategik untuk membina Malaysia menjadi sebuah negara rahmah.

 

Negara rahmah bermaksud negara yang aman, makmur, sejahtera di mana kebebasan, kebenaran dan keadilan ditegakkan dengan erti kata yang sebenarnya.

 

Demi membawa negara ke tahap yang gemilang dan rahmah, IKRAM terus komited menyokong dan melaksanakan usaha-usaha untuk membangunkan negara, seiring dengan mesej-mesej yang diketengahkan oleh DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong melalui perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat kebangsaan pada tahun ini.

 

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia