Tip tangani stres akibat bekerja dari rumah   

Selari dengan peningkatan kes harian, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diwartakan di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) iaitu larangan merentas negeri dan daerah, serta larangan jamuan raya dan ziarah rumah ke rumah. 

 

Sehingga 18 Mei 2021, seramai 479,421 orang iaitu menghampiri setengah juta kes keseluruhan Covid-19, telah dilaporkan di Malaysia. Peningkatan data statistik ini sangat membimbangkan dan dijangka akan terus meningkat sekiranya masih ramai yang leka dan alpa dalam meningkatkan langkah-langkah pencegahan diri dan keluarga.

 

Pemilik premis, majikan dan pekerja juga haruslah mengikut saranan kerajaan bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

 

Menurut pekeliling perkhidmatan Bilangan 5, Tahun 2020, Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) telah diperkenalkan pada 21 Disember 2020. Prinsip pelaksanaan BDR ini termasuk mendapat arahan daripada kerajaan dan mendapat arahan atau kebenaran daripada Ketua Jabatan. 

 

Realiti BDR dan pengurusan keluarga secara serentak seringkali dilihat sebagai sesuatu yang sukar untuk ibu bapa berkerjaya terutama bagi yang mempunyai anak yang ramai. Mana tidaknya, ibu bapa bekerjaya terpaksa menggabungkan tugas dan peranan sebagai suami atau isteri, ibu atau bapa dan juga pekerja kepada organisasi pekerjaan mereka.

 

Konflik peranan akan timbul disebabkan oleh tuntutan ke atas masa, tenaga dan emosi daripada kedua-dua pihak sama ada keluarga atau majikan yang seringkali bertentangan.

 

Walau bagaimanapun, wanita berkerjaya yang menjalankan kerja dari rumah dan menguruskan keluarga pada masa yang sama dilihat lebih berjaya daripada golongan lelaki yang melakukan hal yang sedemikian. Ramai wanita yang bekerja dari rumah berjaya menguruskan perniagaan dalam talian (online) serta anak-anak di rumah.  

 

Sejurus arahan pelaksanaan BDR oleh pihak kerajaan, kesemua pekerja yang terlibat telah berdepan dengan situasi yang tegang di rumah.

 

Hal ini kerana, mereka terpaksa melakukan aktiviti asuhan anak-anak yang selama ini diberikan kepada pusat asuhan atau penjaga semasa keberadaan mereka di tempat kerja, sekali gus menyiapkan tugasan yang diberikan oleh majikan. Penutupan taska, tadika dan sekolah ini telah memberi peluang kepada anak-anak untuk berada di rumah di bawah pemantauan ibu bapa. 

 

Pelbagai cabaran BDR yang telah dilaksanakan ini mempunyai pro dan kontra dalam kehidupan berumah tangga. Cabaran utamanya ialah aspek pengurusan masa. Sekiranya ibu bapa mempunyai daya tahan fizikal serta kawalan emosi yang tinggi, maka kedua-duanya dapat diseimbangkan dengan baik.

 

Tetapi, bak kata pepatah “ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.” Begitulah, sebaik-baik rancangan yang kita lakukan, akan ada dugaan di tengah-tengah jalan. Mungkin hari ini anak itu demam dan memerlukan layanan penuh daripada ibu atau bapa. Maka aktiviti kerja yang lain terpaksa ditangguhkan ke suatu masa yang lain.

 

Tetapi harus diingat, tuntutan kerja yang diberikan oleh majikan masih lagi perlu diberi keutamaan dan disusun rapi agar tidak hilang keberkatan gaji yang diperoleh serta mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) kerja. 

 

Seperti saya, sebagai seorang pensyarah, saya harus mengikuti jadual pengajaran yang telah ditetapkan pada setiap hari dan pada masa yang sama perlu menjaga anak kecil yang berusia dua tahun di rumah.

 

Sudah tentu, sangat mencabar. Bukan saja perlu memenuhi keperluan sendiri, pelajar malah turut menguruskan keperluan anak seperti menyediakan makan, minum, mandi, bermain dan paling penting ialah menjaga emosi anak sepanjang berada di rumah.

 

Lihat saja gambar yang saya kongsikan, ada saja aktiviti yang dilakukan oleh si dia untuk mendapatkan perhatian dan tidak mahu berenggang jauh, walaupun sudah diberikan kerja atau permainan. 

 

Sekiranya kita masih tekun dengan kerja tanpa mengendahkan ajakan si dia untuk bermain, mulalah segala mainan akan berada di atas komputer riba atau desktop tempat kita bekerja semata-mata untuk mendapatkan perhatian.

 

Justeru saya terpaksa memohon izin dan menghentikan segera segala aktiviti yang sedang dilakukan untuk memberikan tumpuan seketika kepada hasil kreativiti atau imaginasi anak yang sedang bermain, serta memenuhi lain-lain kehendak anak pada ketika itu.

 

Itu baru karenah untuk seorang anak. Lain pula karenah bayi pada usia di bawah dua tahun, kanak-kanak lain dalam lingkungan usia dua hingga 12 tahun dan remaja antara 12 hingga 18 tahun. 

 

Maka, ibu bapa haruslah bijak menguruskan masa dan tekanan yang dihadapi untuk lebih produktif melakukan kerja semasa dalam tempoh BDR.

 

Situasi mencabar ini sebenarnya memerlukan daya tindak yang cekap daripada orang dewasa atau ibu bapa untuk mengatasi tekanan. Stres yang sedikit atau sederhana adalah baik dan boleh menjadi faktor pendorong untuk meningkatkan produktiviti.

 

Lain pula bagi stres yang berlebihan. Sekiranya stres itu berterusan untuk jangka masa panjang, ia akan dapat memberikan kesan negatif dan memudaratkan kesihatan. Oleh itu, sokongan ahli keluarga, rakan-rakan dan majikan amatlah perlu semasa menjalani tempoh BDR. 

 

Di sini saya kongsikan tip untuk mengawal stres dengan segera:

 

1. Bertenang pada peringkat awal stres mampu mengurangkan kitaran stres negatif seperti meredakan kemarahan.  

 

2. Bernafas dengan dalam berulang kali dapat meningkatkan kadar pertukaran oksigen dan karbon dioksida dalam tubuh badan. Lakukan teknik pernafasan yang betul iaitu tarik nafas melalui hidung dan hembus nafas melalui mulut secara perlahan-lahan bagi mengeluarkan udara sebanyak yang boleh. 

 

3. Mohonlah keringanan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dengan beribadat mengikut kepercayaan agama masing-masing misalnya berzikir, sembahyang dan membaca al-Quran.  

 

4. Meluahkan perasaan pada seseorang yang dipercayai untuk mendengar keluhan dan meringankan beban yang ditanggung.

 

5. Berfikiran positif dan bersangka baik agar sesuatu yang terjadi mempunyai hikmah tertentu. 

 

6. Berehat sebentar daripada melakukan apa-apa kerja bagi memberi ruang kepada tubuh badan dan minda untuk menyegarkan diri semula. Selain itu, dapatkan tidur yang mencukupi.  

 

7. Beriadah dengan melakukan aktiviti santai di luar atau di dalam rumah, terutamanya melakukan aktiviti atau hobi yang disukai.

 

8. Bersenam seperti melakukan regangan dan senaman aerobik, berjalan dan berjoging.

 

Nur Sakinah Baharudin
Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan
UiTM Cawangan Pulau Pinang

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI