Sambil memetik mafhum sebuah hadis, “Tinggalkan sesuatu yang kabur lagi mengaburkan”, beliau menegaskan bahawa sepatutnya seruan yang disampaikan mestilah jelas kepada Allah dan untuk kepentingan serta manfaat penduduk bumi.
“(Serulah kepada) Islam yang adil, Islam yang memberi kebebasan, Islam yang pandai berkongsi, Islam yang berkebajikan dan Islam yang bermanfaat,” ujarnya.
“Kini dunia berubah, hukum berubah, kebijaksanaan turut berubah. Slogan “Ketuanan Melayu” (mungkin) sesuai pada zaman datuk kita, (tetapi kini ia boleh) menyuburkan kebencian dan rasa tidak puas hati (dalam kalangan bangsa lain).”
Ustaz Hasanuddin (gambar) adalah Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan sangat aktif dalam kempen kemanusiaan khususnya dalam membantu perjuangan rakyat Palestin.
Beliau mengulas tulisan timbalan ketua pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan, dalam kolumnya, Cuit yang mencadangkan UMNO melancarkan gelombang perpaduan bangsa, “1 Melayu, 1 Bumi” bagi menyatukan orang Melayu.
“Tiada makna adanya 1Malaysia, jika orang Melayu sendiri pun berpecah,” tulis Zaini.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut mengumumkan gerakan “1Melayu, 1Bumi” akan menjadi sebahagian daripada ”Perhimpunan Melayu” yang akan diadakan pada 30 April ini (esok) di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
Idea tersebut bagaimanapun tidak dipersetujui banyak pihak termasuk mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya harap ia tidak berlaku… Jika kita laksanakan juga, akan terdapat sistem dua parti dalam politik… jika satu dikuasai oleh Melayu dan satu lagi oleh Cina, ia akan membawa malapetaka kepada negara,” kata Mahathir.
Bagi Ustaz Hasanuddin, bahaya ini seolah-olah penjajah sengaja meninggalkan bom jangka panjang sebelum meninggalkan tanah air. Oleh yang demikian, setiap warga Malaysia harus memastikan bom itu tidak meletup. Seruan kepada Islam serta keindahannya adalah usaha terbaik bagi mengekalkan keharmonian negara.
“Saya memahami dan mengagumi tulisan Datuk Zaini itu. Memang usaha menyatukan Melayu sangat penting, tetapi pada pendapat saya, ia perlu dilakukan dengan hikmah dan kita tidak perlu melukakan orang lain,” katanya lagi.
Sumber asal: http://www.malaysiaharmoni.com