Tilawah dan Tadabbur Kunci Menghidupkan al-Quran

Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan dengan dibuka ruang seluas-luasnya untuk memperbanyak amal ibadah seperti tilawah dan tadabur al-Quran

Kedua-duanya merupakan bentuk interaksi seorang Muslim dengan al-Quran. Setiap satu mempunyai peranan tersendiri tetapi saling berkaitan dalam usaha memahami dan menghayati firman Allah SWT. 

Tilawah merujuk kepada bacaan al-Quran yang dilakukan dengan tartil iaitu mengikut hukum tajwid dengan sebutan yang jelas dan tertib. Ia bertujuan mendapatkan pahala dan keberkatan daripada Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Bacalah al-Quran dengan tartil.” (Al-Muzzammil: 4).

Sementara itu, tadabur merujuk kepada proses merenungi, memahami dan menghayati makna al-Quran dengan lebih mendalam sehingga ayat-ayat yang dibaca memberi kesan kepada hati dan kehidupan seseorang.

Tadabur bukan sekadar memahami makna tetapi juga menghubungkan maksud ayat dengan realiti kehidupan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apakah mereka tidak mentadabur Al-Quran? Ataukah hati mereka sudah terkunci?” (Muhammad: 24). 

Melalui tadabur seseorang dapat mengambil pengajaran daripada kisah-kisah dalam al-Quran, memahami peringatan Allah SWT dan berusaha mengamalkan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya.

Walaupun tilawah dan tadabur berbeza dalam pendekatan namun kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi tujuan iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tilawah adalah langkah pertama untuk mengenali al-Quran manakala tadabur memastikan ayat-ayat yang dipelajari benar-benar diamalkan dalam kehidupan seharian.

Justeru, seorang Muslim yang ingin menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup perlu menggabungkan kedua-dua aspek ini agar hubungan dengan kitab Allah menjadi lebih bermakna.

Penghayatan al-Quran pada zaman Rasulullah dan para sahabat 

Rasulullah SAW dan para sahabat dapat menghayati makna dan mesej yang disampaikan oleh Allah SWT melalui al-Quran tanpa perlu bergantung kepada terjemahan kerana ayat-ayat al-Quran disampaikan dalam bahasa Arab.

Mereka sangat dekat dengan al-Quran kerana ia mudah difahami dan lebih cepat diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu, apabila ayat-ayat al-Quran turun, mereka segera mengambilnya sebagai pedoman dan melaksanakan perintah Allah SWT tanpa keraguan. 

Bahkan ada dalam kalangan mereka yang menangis atau berubah sikap hanya kerana mendengar satu ayat yang menyentuh hati mereka.

Sebagai contoh, ketika Abdullah ibn Mas’ud r.a. membacakan surah an-Nisa’ ayat 41 di hadapan Rasulullah SAW, baginda menangis terharu kerana merasakan besarnya tanggungjawab sebagai saksi ke atas umat manusia. Maksudnya: 

“Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seorang saksi (Rasul) dari tiap-tiap umat, dan Kami mendatangkan kamu (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap mereka itu?” (Surah An-Nisa’ 4:41)

Ayat ini menggambarkan keadaan dahsyat pada Hari Kiamat apabila setiap umat didatangkan dengan saksi daripada kalangan rasul mereka sendiri dan Rasulullah SAW akan menjadi saksi ke atas seluruh umat manusia.

Hal ini menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab Rasulullah SAW dan menekankan kepentingan mengikuti ajaran baginda dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Kisah Saidina Umar ibn al-Khattab r.a. sebelum memeluk Islam menunjukkan bagaimana pemahaman terhadap al-Quran mampu mengubah hati seseorang.

Ketika beliau mendengar adiknya Fatimah r.a. membaca Surah Taha, ayat-ayat tersebut begitu menyentuh jiwanya hingga hatinya yang keras menjadi lembut, lalu beliau segera menemui Rasulullah SAW untuk memeluk Islam.

Begitu juga Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang sering menangis ketika membaca al-Quran juga membuktikan bahawa mereka bukan sahaja membaca tetapi benar-benar menghayati dan memahami setiap ayat yang diturunkan oleh Allah SWT.

Selain para sahabat, para ulama juga menunjukkan bagaimana pemahaman terhadap al-Quran dapat membentuk keperibadian yang luar biasa. Imam Al-Ghazali, seorang tokoh besar dalam dunia Islam, menekankan kepentingan memahami al-Quran dalam membentuk akhlak dan pemikiran manusia.

Dalam karyanya, Ihya’ Ulumuddin, beliau menekankan bahawa tilawah al-Quran tanpa pemahaman tidak akan memberi kesan yang mendalam kepada hati. Sementara itu, Imam Syafie menghafaz al-Quran sejak kecil dan sering bertadabur dengan ayat-ayatnya.

Beliau pernah berkata bahawa jika seseorang ingin hatinya bercahaya, maka dia perlu memperbanyak tilawah, memahami maknanya dan mengamalkannya. Kefahaman mereka terhadap al-Quran membimbing mereka dalam membuat keputusan dan memberi panduan kepada umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan.

Tilawah dan tadabur masyarakat Muslim Malaysia 

Di Malaysia, terdapat satu fenomena iaitu ramai dalam kalangan masyarakat Islam memberi tumpuan kepada tilawah khusunya mengkhatamkan al-Quran, terutamanya dalam bulan Ramadan.

Mereka kurang berusaha untuk memahami maksud dan mesej yang terkandung di dalamnya. Setiap tahun, masjid-masjid dan surau giat menganjurkan majlis khatam al-Quran dan ramai individu berlumba-lumba menghabiskan bacaan 30 juzuk dalam tempoh yang singkat.

Namun, bagi sebahagian besar mereka, bacaan ini hanya menjadi satu amalan rutin tanpa tadabur yang mendalam. Akibatnya, ayat-ayat yang dibaca tidak benar-benar memberi kesan kepada hati dan tidak diterjemahkan dalam bentuk amal.

Ia berbeza dengan generasi awal Islam yang bukan sahaja membaca tetapi juga memahami, menghafaz dan mengamalkan setiap ayat al-Quran dalam kehidupan seharian. Oleh itu, amat penting bagi masyarakat Islam di Malaysia untuk mengimbangi antara tilawah, pemahaman dan pengamalan al-Quran agar ia benar-benar menjadi cahaya petunjuk dalam kehidupan.

Ramai yang mampu bertilawah al-Quran dengan tajwid yang sempurna malah ada yang menghafaznya, tetapi kurang memahami maksud ayat-ayat yang dihafaz. Ini menyebabkan al-Quran tidak berfungsi sepenuhnya sebagai pedoman hidup, sebaliknya hanya menjadi amalan ibadah yang dilakukan tanpa kesan mendalam terhadap akhlak dan pemikiran. 

Lebih membimbangkan apabila pemahaman terhadap al-Quran lemah, masyarakat cenderung untuk bergantung kepada tafsiran yang tidak sahih atau mudah terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Berbanding sekadar membaca untuk mengkhatamkan al-Quran, umat Islam perlu mengambil inisiatif untuk mendalami makna ayat-ayat yang dibaca.

Program-program pengajian tafsir dan tadabur seharusnya diperbanyak dan dipermudah penyertaannya agar lebih ramai dapat memahami isi kandungan al-Quran secara lebih mendalam.

Dengan memahami al-Quran, seseorang bukan sahaja dapat meningkatkan hubungan rohani dengan Allah SWT tetapi juga mampu mengamalkan ajaran Islam dengan lebih yakin dan berlandaskan ilmu yang benar.

Inilah yang perlu ditekankan agar al-Quran benar-benar menjadi petunjuk hidup dan bukan sekadar bacaan semata-mata.

Kesimpulannya, dengan keseimbangan antara tilawah dan tadabur, umat Islam bukan sahaja dapat menikmati keindahan bacaan al-Quran tetapi juga mampu menjadikannya sebagai pedoman hidup yang sebenar.

Ramadan yang sedang diraikan ini adalah madrasah terbaik untuk kita membaiki hubungan dengan al-Quran, bukan sekadar membaca tetapi juga memahami dan menghayati mesejnya.

Bulan penuh keberkatan ini seharusnya menjadi masa untuk kita berusaha menjadi insan yang lebih baik dengan mengambil al-Quran sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan.

Semoga usaha kita dalam mendekati al-Quran sepanjang Ramadan dapat membentuk peribad yang lebih bertakwa dan terus istiqamah dalam beramal walaupun selepas bulan yang mulia ini berlalu.

Ustazah Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia