Tema Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini “Hari Saya, Hak Saya” kedengaran mudah, namun membawa maksud yang jauh lebih dalam. Dua kali ia diulang, seolah-olah satu jeritan halus dari hati kecil yang sudah lama menunggu untuk didengari.
“Ini hari saya…dan ini hak saya.”
Tema yang dilaungkan ini bukan sekadar ungkapan manis, bukan juga slogan sambutan tahunan. Ia merupakan suara yang meminta semua orang dewasa di dunia ini berhenti sejenak, berpaling dan benar-benar mendengar.
Tetapi persoalannya, apakah hak yang sedang mereka laungkan? Dan lebih penting lagi, adakah mereka sendiri sedar apakah hak itu, sebelum kita terlalu cepat mengabaikannya?
Sebelum kita bercakap soal hak, kita harus menerima satu kenyataan bahawa tiada hak yang wujud tanpa seseorang yang menunaikan tanggungjawab, dan dalam kehidupan seorang anak, penanggung pertama amanah itu ialah ibu dan bapa.
Namun di tengah-tengah dunia moden yang penuh hiruk-pikuk ini, banyak hak anak yang kita terlepas pandang bukan kerana kejahilan, tetapi kerana kesibukan, keletihan dan ketidakcukupan sistem yang sepatutnya menyokong kedua-dua ibu dan bapa.
Dalam kesibukan mengejar kelangsungan hidup, jiwa kecil ini menanti sesuatu yang jauh lebih penting daripada mainan, gajet atau kemewahan. Mereka menanti hak-hak yang dapat membentuk mereka menjadi seorang manusia yang berakhlak mulia.
Dan antara hak-hak itu, ada tiga perkara yang paling sering dilupakan tetapi paling penting dalam menentukan masa depan mereka.
Hak untuk dibangunkan secara spiritual
Kita selalu memberi perhatian kepada akademik, kesihatan fizikal dan emosi anak. Namun satu hak yang lebih asas tetapi sering dilupakan ialah hak spiritual.
Hak spiritual bermaksud hak anak untuk dibimbing dan dibentuk dari segi kerohanian supaya mereka membesar dengan hati yang tenang, mempunyai kompas moral yang jelas dan hubungan yang sihat dengan Tuhannya.
Dalam Islam, hak spiritual ini merangkumi tiga perkara penting:
- Hak untuk dikenalkan kepada Allah
Anak perlu dibimbing mengenal siapa Tuhannya, sifat-sifat Allah, kasih sayang-Nya dan tujuan hidup yang lebih besar daripada sekadar dunia. Pengenalan awal inilah yang menjadi asas kekuatan jiwa mereka.
- Hak untuk mempelajari agama dengan betul
Hak ini termasuk mempelajari al-Quran, solat, doa, asas halal haram dan hikmah di sebalik syariat. Ilmu-ilmu ini menjadi “kompas hidup” apabila anak dewasa nanti.
- Hak untuk melihat teladan yang baik di rumah
Ibu bapa tidak perlu sempurna, tetapi anak belajar melalui apa yang mereka lihat; cara solat, cara bercakap, cara mengawal kemarahan dan cara menghadapi kesusahan. Teladan inilah yang membentuk jiwa anak lebih kuat daripada sebarang nasihat.
Kisah seorang bapa yang mengadu tentang “anak derhaka” kepada Umar bin al-Khattab r.a.1 menggambarkan hakikat ini. Si anak mendedahkan bahawa bapanya sendiri gagal menunaikan hak-hak spiritualnya dengan tidak memilih ibu yang baik, memberi nama buruk dan tidak mengajarnya al-Quran. Umar menegurnya:
“Engkau telah derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepadamu.”
Hak spiritual ialah pintu kepada ketenangan seumur hidup dan ibu bapalah penjaga kuncinya.
Hak untuk dididik dengan akhlak dan adab
Anak tidak dilahirkan terus dengan akhlak mulia, tetapi ia harus dibentuk melalui contoh dan bukan arahan. Hal ini selari dengan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara kita.
Anak berhak membesar dalam suasana yang mengajar mereka untuk menghormati orang lain, menjaga tutur kata dan mengutamakan kebaikan. Akhlak terbentuk daripada apa yang mereka lihat setiap hari:
Jika bapa bercakap dengan lembut, anak akan belajar tentang nilai kelembutan.
Jika ibu menghormati orang lain, anak juga akan belajar nilai menghormati.
Jika anak melihat kedua-dua ibu dan bapa menyelesaikan konflik dengan tenang, mereka akan belajar berjiwa besar.
Akhlak anak adalah cerminan rumahnya. Rumah yang mendidik akan menghasilkan anak yang mulia; rumah yang mengabaikan akan menyebabkan anak mudah mencari contoh di luar dan keadaan itu berbahaya.
Hak untuk perlindungan menyeluruh menurut maqasid syariah
Dalam Islam, anak-anak adalah amanah yang mesti dijaga dari semua sudut. Mereka berhak dilindungi melalui lima keperluan asas maqasid syariah:
- Agama – asas spiritual yang membimbing jiwa
- Nyawa – keselamatan fizikal, emosi dan mental
- Akal – akses kepada pendidikan yang baik
- Keturunan – keluarga yang stabil dan penuh kasih sayang
- Harta – nafkah yang adil dan keperluan hidup yang mencukupi
Perlindungan ini bukan hanya bermaksud “jangan dera”, tetapi memastikan semua sistem sekeliling anak; keluarga, komuniti, sekolah malah kerajaan memainkan peranan masing-masing.
Ibu bapa mendidik dan membimbing, komuniti membantu mengawasi dan menegur manakala kerajaan pula menggubal dasar yang berkesan, selamat dan berpaksikan kepentingan kanak-kanak.
Apabila setiap pihak menjalankan tanggungjawabnya, kanak-kanak akan membesar dengan lebih yakin, tenang dan sejahtera. Tetapi apabila mana-mana aspek ini terabai, kesannya boleh terbawa hingga dewasa.
Penutup: Hak anak bermula dengan kita
Tema “Hari Saya, Hak Saya” mengingatkan kita bahawa hak anak bukan sekadar slogan atau kempen tahunan. Ia adalah amanah yang mesti dipikul bersama.
Setiap kali hak mereka untuk disayangi, dibimbing, diperdengarkan suara dan dilindungi tidak dipenuhi, ia tanda ada tanggungjawab orang dewasa yang terabai.
Ibu bapa tidak boleh memikul amanah ini bersendirian. Komuniti perlu bersama, menyokong, menasihati dan berani menegur apabila perlu.
Sekolah terlibat dalam membentuk akal dan kemahiran sosial, manakala kerajaan menyediakan dasar serta sistem perlindungan yang memastikan setiap anak dapat membesar dalam suasana yang selamat dan sejahtera. Masyarakat pula memulihkan adab, nilai dan budaya hormat yang membentuk karakter sebuah generasi.
Ingatlah, membesarkan anak bukan tugas satu pihak. Ia adalah usaha seluruh ekosistem manusia.
Sebelum mereka menjadi pelajar, pekerja atau pemimpin, mereka adalah anak kita dan hak mereka bermula dengan kita.
Semoga Allah memelihara anak-anak kita dan mengurniakan mereka masa depan yang aman dan berakhlak. Semoga kita semua ibu bapa, pendidik, komuniti dan pemimpin diberikan kekuatan dan hikmah untuk menunaikan amanah ini dengan sebaiknya.
Pn. Nurhakimah Mohamud
Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Rujukan:1 www.mkn.gov.my/web/ms/2022/03/23/perkongsian-ilmiah-ibu-bapa-derhaka-ada-ke/




