Pemergian mendiang Karpal Singh, seorang tokoh politik dan undang-Undang tanah air baru-baru ini telah menarik perhatian IKRAM Siswa untuk menyeru semua lapisan umat Islam untuk sama-sama insaf serta terus menggiatkan aktiviti dakwah kepada yang belum Islam dengan lebih intensif dan efektif.
Peristiwa seperti ini sepatutnya menjadi muhasabah bahawa umat Islam di Malaysia masih belum mampu menarik minat masyarakat belum Islam untuk mendekati dan menghayati Islam sebagai sebuah tatacara hidup yang paling sempurna.
IKRAM Siswa berpandangan bahawa masyarakat tidak perlu diheret panjang tentang persoalan destinasi pengakhiran beliau di akhirat kelak. Biarlah ia diserahkan sepenuhnya kepada Allah selaku Tuhan yang Maha Adil dan Bijaksana kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui perkara yang manusia tidak ketahui.
Dalam kesempatan ini, IKRAM Siswa juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Wallahu a’lam
Marwan bin Abdullah
Presiden
IKRAM Siswa Nasional