Dalam dunia yang semakin saling memerlukan dan kompleks, dasar ekonomi bukan lagi berfungsi secara neutral atau semata-mata soal teknikal.
Sebaliknya, ia telah menjadi senjata dalam pertarungan kuasa apabila digunakan oleh kuasa-kuasa besar untuk mengukuhkan dominasi dan melemahkan pihak lawan.
Salah satu contoh yang paling jelas ialah apabila Amerika Syarikat (AS) di bawah pemerintahan Presiden Donald Trump menggunakan tarif (cukai ke atas barang import) sebagai senjata untuk menekan negara lain dalam persaingan ekonomi.
Di sebalik retorik “America First” dan usaha “Make America Great Again” (MAGA), pendekatan tarif yang dilaksanakan sebenarnya mencerminkan perubahan besar dalam cara kuasa global bertindak di arena antarabangsa.
Ini secara tak langsung menunjukkan AS makin kurang berminat untuk bekerjasama secara multilateralisme, sebaliknya lebih suka bertindak sendiri walaupun dengan cara yang boleh menimbulkan ketegangan atau konfrontasi.
Dari GATT ke Protectionist: Paradoks AS
AS selama ini digambarkan sebagai pelopor sistem perdagangan bebas dunia. Melalui penubuhan General Agreement on Tariffs and Trade (GATT) pada tahun 1947 dan kemudian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), AS memainkan peranan utama dalam membentuk sistem perdagangan berasaskan peraturan.
Tujuan asalnya adalah untuk mengelakkan pengulangan krisis ekonomi seperti era 1930-an dan merangsang pertumbuhan ekonomi global yang stabil selepas Perang Dunia Kedua.
The Great Depression yang berlaku pada tahun 1929 hingga sekitar awal 1940-an telah memperlihatkan perang tarif yang akhirnya mengakibatkan perdagangan dunia merosot dengan mendadak.
Kini, dasar tarif yang dikenakan AS ke atas China, Kesatuan Eropah dan beberapa negara lain membuktikan AS tidak lagi komited terhadap prinsip-prinsip tersebut. Sebaliknya, pentadbiran AS menggunakan tarif sebagai alat politik iaitu memaksa, menekan dan mengawal arah aliran ekonomi demi melindungi kepentingan nasionalnya sendiri.
Pada hakikatnya, tarif yang dikenakan oleh AS bukan sekadar reaksi terhadap ketidakseimbangan dagangan atau perlindungan terhadap industri tempatan. Ia adalah alat geopolitik.
Tindakan ini melemahkan prinsip asas sistem perdagangan antarabangsa yang digubal bersama selepas perang iaitu keterangkuman, kerjasama dan keadilan ekonomi global. Dalam masa yang sama, ia mencetuskan kebimbangan besar terhadap keselamatan ekonomi global
Dunia yang semakin terpecah: Blok-blok kuasa baharu
Kesan langsung daripada tindakan AS telah mencetuskan pengasingan ekonomi dan pembentukan blok-blok kuasa yang bersaing. Negara-negara lain mula mencari alternatif untuk tidak terlalu bergantung kepada AS.
China memperkukuh inisiatif Belt and Road, Kesatuan Eropah mencari rakan dagang baharu di Asia manakala negara-negara selatan sedang giat memperluas kerjasama Selatan-Selatan.
Persaingan antara blok kuasa ini mencetuskan ketegangan geopolitik. Apabila ekonomi dijadikan senjata, setiap perjanjian dagangan menjadi pertaruhan strategik.
Negara-negara mula memperkasakan keupayaan ketenteraan dan teknologi untuk memastikan mereka tidak dikalahkan dalam pertarungan kuasa yang semakin agresif.
Akibatnya, ruang untuk diplomasi semakin sempit. Dunia tidak lagi berpaksikan kerjasama sejagat, sebaliknya beralih ke arah persaingan yang tidak menentu dan membimbangkan.
Negara membangun: Antara mangsa dan harapan baharu
Negara-negara membangun, terutamanya di Asia, Afrika dan Amerika Latin, menjadi antara mangsa utama dasar ekonomi bersifat hegemonik ini.
Mereka sangat bergantung kepada eksport ke negara maju, terutamanya AS. Apabila dikenakan tarif, syarikat-syarikat tempatan terjejas, pelaburan merosot dan kadar pengangguran boleh meningkat.
Dalam jangka panjang, tekanan ini membawa kepada keresahan sosial, ketidakstabilan politik dan kemerosotan keyakinan terhadap sistem antarabangsa yang dianggap tidak adil.
Krisis ekonomi yang berpanjangan boleh membawa kepada kepincangan kerajaan, kebangkitan pemberontakan dan konflik dalaman yang melimpah ke sempadan negara lain.
Maka, jelaslah bahawa ketidakadilan ekonomi bukan hanya masalah perdagangan tetapi boleh menjadi ancaman terhadap keamanan global.
Namun begitu, tekanan ini juga membuka ruang kepada kebangkitan baharu. Negara-negara membangun kini mula menyedari bahawa mereka perlu berdikari dan membina sistem alternatif yang lebih adil dan lestari.
Memperkasa kerjasama serantau
Dalam menghadapi cabaran ini, negara-negara membangun perlu memperkukuh kerjasama serantau seperti ASEAN yang menjurus kepada integrasi ekonomi dan solidariti politik.
Malaysia, sebagai negara membangun yang sederhana, telah memainkan peranan dalam mempromosikan idea dunia multipolar yang adil dan seimbang.
Di pentas antarabangsa, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah beberapa kali menekankan perlunya reformasi institusi global dan mewujudkan sistem antarabangsa yang lebih demokratik.
Dalam jangka masa panjang, dunia memerlukan sistem perdagangan baharu yang berasaskan keadilan, keterangkuman dan tanggungjawab bersama. Hal ini termasuk merombak perjanjian perdagangan supaya tidak hanya memfokuskan pertumbuhan KDNK semata-mata, tetapi turut mengambil kira impak sosial dan ekologi.
Negara-negara kecil perlu diberikan suara setara dalam merundingkan perjanjian antarabangsa. Mekanisme sedia ada yang berat sebelah kepada negara maju mesti digantikan dengan sistem yang lebih telus dan seimbang.
Keamanan dan kemakmuran dunia hanya boleh dicapai melalui multilateralisme iaitu pendekatan yang menekankan kerjasama antara negara secara saksama.
Membina tata dunia baharu
Penggunaan tarif oleh AS sebagai alat hegemoni telah mengubah landskap ekonomi dan politik global. Ia bukan sahaja menjejaskan perdagangan, malah mengancam kestabilan dan keamanan dunia.
Negara-negara membangun mesti bangkit, bersatu dan menyuarakan kepentingan bersama demi membina sistem antarabangsa yang lebih saksama.
Dunia tidak boleh dibiarkan terus dikawal oleh logik kuasa. Ia mesti dipimpin oleh prinsip keadilan, saling menghormati dan solidariti global. Hanya dengan itu, kita mampu membina masa depan yang lebih damai dan bermaruah untuk semua bangsa manusia.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia