Tangani Kesihatan Mental, Bina Masyarakat Penyayang

Tangani Kesihatan Mental, Bina Masyarakat Penyayang | IKRAM

BANDAR TUN RAZAK – Dalam tempoh empat tahun, jumlah rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang berdepan kemurungan melonjak daripada 500,000 pada 2019 kepada hampir 1 juta orang pada 2023.

Lebih membimbangkan, 1 daripada 6 kanak-kanak berusia 5 hingga 15 tahun turut terkesan dengan masalah kesihatan mental, merujuk Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Inilah realiti yang cuba ditangani menerusi Program Kesedaran Kesihatan Mental bertema “Suka Dalam Duka” yang berlangsung di Dewan Serbaguna Alam Damai, Cheras semalam. Program ini telah menghimpunkan lebih 150 peserta B40 termasuk ibu tunggal, pelajar sekolah dan mualaf bagi mendapatkan saringan serta sokongan kaunseling.

“Kesihatan mental bukan isu sampingan dan ia adalah syarat utama untuk membina masyarakat yang produktif, penyayang dan seimbang,” tegas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Pengerusi KASIH Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dalam ucapan perasmiannya, yang mengingatkan bahawa masyarakat tidak lagi boleh memandang ringan isu ini.

Beliau menyeru agar setiap lapisan masyarakat berganding bahu melalui pendekatan whole-of-society

“Malaysia perlu maju bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga kukuh dari segi kesejahteraan mental dan spiritual,” katanya lagi.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, kesihatan mental adalah amanah dalam kerangka Maqasid Syariah.

“Setiap duka pasti ada suka yang menyusul. Inisiatif ini adalah wajah rahmat Islam dalam membina masyarakat penyayang, berdaya tahan dan optimis menghadapi cabaran hidup,” jelas beliau.

Beliau menekankan bahawa mencari bantuan bukan tanda kelemahan, tetapi keberanian.

 “Carilah sokongan daripada kaunselor, ahli psikologi atau talian sokongan kerana itulah langkah pertama menuju pemulihan,” tambahnya.

Melihat kepada pentingnya kesedaran terhadap kesihatan mental, ujar beliau, Projek Intervensi Kaunseling untuk masyarakat di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya dilaksanakan dengan tajaan melalui Projek Pendanaan MAIWP.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Haji Badlishah Sham Baharin menekankan perlunya komuniti membuang stigma terhadap bantuan psikologi.

“Stigma mesti dipecahkan dan keberanian memohon bantuan mesti diraikan. Kita hadir bukan mengadili, tetapi untuk mendengar, memahami dan membantu,” katanya.

Beliau menitipkan tiga seruan iaitu berani memulakan langkah saringan, menjadi pendengar yang rahmah dan membina komuniti penyokong di peringkat lokaliti seperti surau dan NGO setempat.

Selain ceramah kesihatan mental oleh Pengerusi Psikospiritual IKRAM (PSI), Dr. Alizi Alias, para peserta turut menjalani saringan serta ditawarkan sesi intervensi kaunseling lanjutan.

Program ini merupakan penganjuran kali ketujuh daripada lapan sesi yang dirancang, meliputi kawasan Setiawangsa, Lembah Pantai, Putrajaya dan Bandar Tun Razak, inisiatif yang digerakkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama IKRAM melalui Wanita IKRAM Pusat.

Bagi sesi kali ini di Bandar Tun Razak, penganjuran bersama dilaksanakan dengan IKRAM Bandar Tun Razak, Parlimen Bandar Tun Razak serta Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH).

Program ini turut diperkukuh dengan sokongan rakan kerjasama iaitu Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jawatankuasa komuniti, klinik kesihatan, kaunselor bertauliah serta para sukarelawan yang tidak jemu menggerakkan usaha di lapangan.

Usaha ini diharapkan mampu membina sistem sokongan mental yang inklusif, berasaskan rawatan, empati, pendidikan dan budaya penyayang.

Dalam setiap duka yang ditempuhi, pasti terselit hikmah dan ruang untuk bangkit semula. Daripada sinilah lahirnya masyarakat yang bukan sahaja prihatin, tetapi juga bersedia menjadi bahu untuk sesiapa yang sedang menanggung duka. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia