Kes penipuan wang dalam talian (scam) setiap hari semakin membimbangkan dan meresahkan masyarakat.
Apa tidaknya, ia membabitkan sejumlah wang yang barangkali telah sekian lama disimpan atau dikumpul, hilang sekelip mata dan adakalanya tanpa diketahui jejak ‘pencurinya.’
Mungkin ia sesuai dikaitkan dengan peribahasa, ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ bagi mereka yang ‘gelap mata’ dengan tawaran yang membabitkan wang yang banyak. Maka, segala yang dimiliki lesap begitu saja.
Boleh jadi isu seperti itu pernah terjadi pada diri sendiri atau lingkungan kita. Tentunya ia menjadi sesuatu mimpi buruk yang tidak berkesudahan, apalagi wang yang dikumpul itu adalah disebabkan untuk membeli atau mendapatkan sesuatu.
Setelah sekian lama usaha keras itu dilakukan, tanpa rasa simpati apalagi belas ihsan, wujud ‘makhluk perosak’ bernama ‘scammer’ yang sanggup melakukan penipuan terancang bagi mengaut segala hasil (wang) yang telah disimpan seseorang itu.
Laporan media perdana pada 20 Februari yang bertajuk ‘Malaysia antara lubuk scammer teramai di dunia’ menyatakan, data pengguna Malaysia antara yang paling banyak dicerobohi di dunia.
Laporan tersebut menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-11 negara paling ramai data penggunanya telah dicerobohi pada suku kedua tahun 2022.
“Kedudukan negara itu berdasarkan mengikut kajian terbaharu oleh syarikat keselamatan siber Surfshark,” kata pakar undang-undang siber daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Abu Bakar Munir.
Beliau berkata, menurut laporan-laporan di Singapura, kebanyakan punca berlakunya kebocoran data adalah sistem organisasi yang kurang memuaskan.
“Bagi saya, kita mempunyai teknikal yang kurang bagus dan sistem organisasi yang tidak diperhatikan.”
Taktik Scammer Menipu
Pakar dalam keselamatan maklumat dan pengaturcara di Kaspersky, Dmitry Galov memberi amaran tentang beberapa kaedah teknikal yang telah digunakan untuk menipu orang ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara kaedah yang terkenal menurut pakar tersebut adalah penipu menghubungi mangsanya dan menyamar sebagai pekerja bank yang sasarannya untuk berurusan.
Scammer itu memintanya untuk maklumat berkaitan kad bank dengan alasan untuk menghentikan transaksi kewangan yang mencurigakan. Selepas penipu memperoleh data kad, ia mengeksploitasinya untuk mencuri dan memindahkan wang ke akaunnya.
“Kaedah penipuan ini merebak secara meluas di beberapa negara dan ia telah muncul semula dengan jelas sepanjang pandemik. Si penipu mempunyai banyak data perbankan mangsa, dan mereka telah belajar untuk mengeksploitasi data itu lebih hebat daripada sebelumnya.”
Menurutnya, bagi kaedah lain iaitu penipuan melalui Internet, mangsa menerima mesej yang mengandungi pautan elektronik yang berniat jahat, iaitu teks mesej tersebut meminta mangsa mengklik pautan tersebut untuk mengakses laman web tertentu atau untuk mengundi pada sesuatu isu.
Dan apabila mangsa mengklik pada pautan, si scammer boleh menggodam peranti mangsa dan mengakses datanya serta mengeksploitasinya untuk tujuan jahat.
“Tidak terkecuali, terdapat kaedah yang digunakan oleh beberapa penipu, dengan menghantar mesej tertentu kepada mangsa mereka bagi meminta untuk memindahkan sejumlah kecil wang sebagai yuran penyertaan dalam cabutan untuk hadiah bernilai yang besar.”
“Dan tanpa disedari mangsa memindahkan wang kepada penipu atas kehendaknya sendiri kerana terbeliak mata dengan tawaran yang dihamparkan.”
Mangsa Penipuan
“Scammer di Malaysia menggunakan pelbagai cara untuk memanipulasi mangsa dengan menawarkan pulangan yang luar biasa tinggi, jaminan keselamatan dan takut terlepas kapal atau fear-of-missing-out (FOMO),” kata CEO FA Advisory, sebuah syarikat penasihat perancang kewangan, Bryan Zeng.
Tahun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, terdapat 71,833 kes penipuan yang dicatatkan dari tahun 2020 sehingga Mei 2022, dengan kerugian sebanyak RM5.2 bilion.
Antara contoh-contoh penipuan yang terkenal di Malaysia adalah penyamaran bank/ kerajaan, pinjaman haram, keldai wang/akaun/ATM, penyewaan kad, scam pelaburan, scam e-dagang, scam percintaan.
“Statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun 2022 mendapati, setakat dua tahun kebelakangan ini menunjukkan mangsa penipuan membabitkan pelbagai jenayah dalam talian melibatkan kaum wanita lebih tinggi berbanding lelaki,” menurut Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai.
Beliau berkata, purata umur paling tinggi menjadi mangsa ialah antara 17 hingga 40 tahun memandangkan golongan itu paling banyak menggunakan media sosial di negara ini.
“Antara kes yang paling banyak melibatkan penipuan membabitkan pembelian dalam talian, Macau Scam yang cenderung kepada penipuan atau ugutan seperti panggilan penyamaran dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya, ‘Love Scam’, penipuan pinjaman yang tidak wujud dan juga penipuan pelaburan.”
Menurutnya lagi, statistik untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini menunjukkan lebih 45 peratus daripada mangsa penipuan adalah membabitkan lelaki dan 55 peratus adalah daripada kalangan kaum wanita.
“Golongan itu lebih terdedah dengan risiko penipuan tersebut jika mereka tidak berhati-hati ketika menggunakan sosial media,” tegas Eng Lai.
Rekod semasa Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) juga jelasnya, menunjukkan kadar jenayah penipuan dalam talian yang mensasarkan rakyat di negara ini kian meningkat saban tahun.
Berikutan itu, PDRM sentiasa berharap orang ramai lebih berhati-hati dan berwaspada apabila menggunakan sosial media dan telefon pintar agar tidak menjadi mangsa kepada sebarang jenayah membabitkan penipuan dalam talian.
Obsesi Dalam Talian?
Selain itu, menerusi laporan yang dikongsikan oleh Kapersky, Malaysia kini mempunyai sejumlah 195,032 laporan aktiviti phishing (pancingan data) menerusi sistem pembayaran dalam separuh tahun pertama 2022.
Berbanding dengan negara Asia Tenggara yang lain, jumlah itu menjadikan negara Malaysia sebagai antara negara yang tertinggi dalam isu penipuan kewangan.
Sedarkah kita, golongan usia 17 hingga 40 tahun itu banyak menjadi mangsa penipuan kerana golongan berkenaan banyak menggunakan telefon bimbit dan melayari sosial media tanpa had?
Mereka dikatakan terlampau obsesi untuk berurusan menerusi e-dagang dengan membeli barangan dalam talian terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum akhirnya menjadi mangsa penipuan.
Manakala sebanyak 23 peratus adalah golongan berusia 41 hingga 60 tahun menjadi mangsa penipuan, yang mana kajian mendapati mereka kurang pengetahuan mengenai penipuan scammer kerana tidak membaca surat khabar dan Internet.
Sebagaimana dilaporkan, mereka yang ditipu ini datang daripada pelbagai latar belakang seperti pekerja swasta khususnya golongan jurutera dan akauntan paling tinggi terjerat dalam penipuan scammer, diikuti kakitangan kerajaan dan ahli perniagaan.
Jika kita lihat pada tahun 2020, sebanyak 47 kes penipuan dalam talian dilaporkan setiap hari. Jumlah itu meningkat kepada 57 kes sehari pada 2021, manakala kes yang dilaporkan pada tahun ini sejak Januari lalu hingga Mei pula berjumlah 72 kes setiap hari.
Statistik kes yang dilaporkan juga menunjukkan lebih 40 peratus mangsa penipuan membabitkan bangsa Melayu, Cina 30 peratus dan India 19 peratus, manakala bangsa-bangsa lain 11 peratus.
Bagi kategori profesion pula, pekerja di sektor swasta berada di kedudukan teratas paling tinggi setakat ini menjadi mangsa penipuan diikuti penjawat awam dan ahli perniagaan.
Sinergi Bersepadu
Realitinya, kebanyakan kes yang melibatkan penipuan dalam talian adalah berkait rapat dengan sikap individu yang mudah mendedahkan diri mereka kepada risiko.
Sewajarnya pihak kerajaan meningkatkan lagi kempen kesedaran dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat menyedari risiko dan bahaya taktik penipuan dalam talian yang semakin licik dan berleluasa ketika ini.
Selain itu, undang-undang berkaitan akta perlu diwujudkan bagi melindungi pengguna (rakyat) dalam hal-hal seperti ini, di samping mengenakan hukuman yang tegas dan keras kepada si pelaku scammer itu.
Sinergi bersepadu pihak berkuasa terlibat seperti PDRM, Bank Negara (BNM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), badan perundangan dan kesedaran masyarakat diharap mampu membendung jenayah penipuan dalam talian ini.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.