Tahun Baharu 2025: Tip Perkasa Diri Dalam Era Digital

Perjalanan menuju ke tahun 2025 ini telah menghamparkan banyak pengajaran, terutamanya selepas mengharungi cabaran Pandemik Covid-19 yang mengubah landskap kehidupan global.

Krisis kesihatan mental, tekanan ekonomi, pemanasan global dan perubahan mendadak dalam cara hidup telah menguji ketahanan psikologi serta spiritual umat Islam. Namun, ujian ini telah mengajar manusia erti kesabaran, nilai kesyukuran dan kepentingan hubungan dengan Allah SWT sebagai tunjang kekuatan dalaman.

Kini, pastinya terdapat pelbagai rancangan, persiapan dan aktiviti daripada pelbagai lapisan dan peringkat masyarakat. 

Lihat sahaja syarikat telekomunikasi seperti CelcomDigi, Maxis kini berlumba-lumba menawarkan pakej data “istimewa,” perkhidmatan penstriman seperti Astro GO, Netflix dan iQIYI pula menawarkan pakej dengan langganan serta tayangan eksklusif, pusat “beli-belah” dalam talian pula giat dengan promosi istimewa dan pelbagai lagi aktiviti hibrid yang menggabungkan pengalaman maya serta fizikal yang dianggap sebagai “tanda menyambut tahun baharu.” Begitulah antara penangan sambutan tahun baharu di seluruh dunia dalam era digital ini.

Islam mengutamakan kesederhanaan 

Bagi umat Islam pula, kita telah menyambut tahun baharu Maal Hijrah 1446 yang diraikan beberapa bulan lepas. Namun, kemeriahannya tidaklah “sehebat” tahun baharu Masihi dan bersesuaianlah dengan agama Islam itu sendiri yang mengutamakan kesederhanaan.

Walau apa pun sambutan yang diadakan, ketibaan tahun baharu menunjukkan peralihan masa dan zaman yang menjadikan peristiwa semalam sebagai sejarah dan kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Sebagai umat Islam, apa yang lebih penting kepada kita ialah seiring peningkatan umur, kita mesti memperkasakan akidah, meningkatkan amal dan mendekatkan diri kepada Pencipta.

Tidak salah untuk menyambut dan meraikan tahun baharu, namun bagaimana kita menterjemah definisi tahun baharu tersebut dalam konteks hari ini? Islam memberi panduan kepada umatnya untuk menyambut tahun baharu.

Kita disunatkan membaca doa akhir tahun dan awal tahun sebagai permulaan, diikuti membaca Surah Yasin dan menunaikan solat hajat. Sebagai tambahan, umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat taubat untuk membersihkan diri daripada dosa yang lepas sama ada yang kecil atau besar seumpama menukar pakaian yang lama kepada pakaian baharu.

Paksi kesejahteraan hidup 

Pada era digital ini, sambutan yang membawa kepada kelalaian seperti berlebihan dalam media sosial, ketagihan permainan dalam talian dan aktiviti-aktiviti yang menjatuhkan ketakwaan perlu dielakkan.

Sebagai individu Muslim pada zaman kontemporari ini, kita perlu memahami bahawa kesihatan jiwa dan rohani merupakan paksi kepada kesejahteraan hidup. Pengalaman mengharungi cabaran pascapandemik telah mengajar kita bahawa kekuatan dalaman (quwwah ruhiyyah) adalah benteng utama dalam menghadapi apa jua dugaan.

Amalan seperti zikir, muhasabah diri, pembacaan dan penghayatan maksud al-Quran dapat membina ketahanan psikospiritual yang membolehkan kita sentiasa berfikiran positif dan maju ke hadapan dalam melakukan apa sahaja perkara yang baik, sama ada dalam dunia fizikal mahupun digital.

Kita digesa sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki amalan dalam kehidupan ini kerana individu yang baik merupakan mereka yang sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Di sebalik peralihan tahun baharu, kita perlu mempunyai visi yang seimbang antara dunia fizikal dan digital. Apakah visi tersebut?

Pertama, visi akidah dan kedua, syariah (matlamat). Setiap matlamat mesti dimulakan dengan niat. Perlu diingat bahawa niat ini melihat kepada individu itu sendiri kerana setiap individu mempunyai niat dan sasaran yang berbeza.

Sebagai contoh, individu A mungkin menyasarkan keseimbangan penggunaan teknologi dengan kehidupan beragama, manakala individu B mungkin fokus kepada pembangunan kemahiran digital sambil mengekalkan nilai-nilai Islam.

Apa yang perlu dilakukan ialah menutup buku lama dan membuka buku baharu dengan niat yang telah ditanamkan dalam hati. Justeru, niat ini perlu melihat ke dalam diri sendiri, apakah kekuatan dan kelemahan diri sendiri dalam menghadapi cabaran era digital ini.

Kekuatan rohani 

Seterusnya apakah langkah yang perlu dilakukan? Pelaksanaan yang sistematik dan bersungguh-sungguh perlu diseimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Pengalaman mengharungi krisis global telah membuktikan bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi. Perkara ini perlu diimbangi dengan kekuatan rohani.

Pembangunan diri perlu mengambil kira tiga aspek utama: fizikal (jasadiyah), mental (aqliyah) dan spiritual (ruhiyah). Terdapat dua belas bulan dalam setahun. Bahagikan dua belas bulan tersebut kepada tiga atau empat sasaran yang boleh diraikan sama ada sasaran jangka panjang atau sasaran jangka pendek. Bagaimana?

Pelbagaikan strategi sasaran iaitu untuk diri, keluarga, kerjaya serta sumbangan kepada agama dan masyarakat dalam konteks moden. Manfaatkan aplikasi perancangan dan pengurusan masa digital, namun jangan sesekali lupa bahawa sasaran yang paling tinggi ialah mencapai ketakwaan untuk hari akhirat.

Namun sering kali juga manusia terlupa dengan visi dan matlamat yang disasarkan pada awal tahun atau beberapa hari sebelum menjelangnya tahun baharu. Dalam erti kata lain, azam tahun baharunya hanyalah “hangat-hangat tahi ayam” hingga sering terlupa bagaimana untuk melaksanakan sasaran tersebut.

Justeru, carilah individu yang dipercayai untuk berkongsi matlamat, sama ada secara bersemuka atau melalui komuniti dalam talian yang positif. Carilah juga persekitaran yang kondusif kerana strategi dan matlamat kita perlukan sistem sokongan juga motivasi untuk terus bergerak ke hadapan.

Motivasi

Apa yang penting ialah istiqamah, kita perlu ikut apa yang dirancang, tanamkan sikap yang positif, berlapang dada, menerima pandangan orang lain, kreatif, bermotivasi, mempunyai azam yang tinggi dan sentiasa bersyukur serta berdoa untuk mendapat keredaan daripada-Nya.

Sebagai manusia, kita tidak mampu menolak qadak dan qadar kerana manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan dan kita harus yakin Allah merupakan sebaik-baik perancang.

Tahun Baharu 2025 perlu diraikan secara positif dan perlu diiringi dengan azam baharu serta sentiasa berusaha menjaga diri dengan membersihkan dan menyucikan jiwa. Kerana  jiwa yang suci dan bersih mampu menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang keji.

Dengan ini kita akan sentiasa memperbaiki diri dan memahami tujuan manusia sebagai hamba-Nya, walaupun hidup dalam era digital yang mencabar. Tetapkanlah niat dan matlamat, rancanglah strategi dan laksanakanlah strategi tersebut dengan bijak.

Renungi pepatah berikut: “Barang siapa hari ini lebih baik daripada semalam, maka dia merupakan orang yang beruntung, sesiapa yang sama seperti hari semalam, maka dia orang yang rugi dan jika hari ini lebih buruk dari semalam, maka dia orang yang binasa.”

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia