Mencontohi Kepimpinan Umar al-Khattab RA
Sebelum kupasan YB Dato’ Seri Ahmad Husni semalam, Hj Nahar Md Nor (Setiausaha Agung IKRAM) merangkap moderator, membuka majlis dengan satu hadis iaitu “Orang yang paling sakit siksaan dihari kiamat adalah pemimpin yang zalim dan curang.” (HR Tabrani daripada Abdullah bin Mas’ud RA).
Beliau turut berkongsi sebuah kisah tentang Umar al-Khattab RA yang mana berlaku selepas peperangan dengan kerajaan Parsi. Umar membahagikan harta rampasan perang iaitu kain kepada rakyatnya. Keesokan harinya masing-masing memakai baju daripada kain yang dibahagikan termasuk Umar al-Khattab RA.
Tiba-tiba bangun seorang sahabat dan membantah, “Kami tidak mahu mendengar dan taat pada tuan”. Lalu Umar bertanya, “Mengapa kamu berkata begitu?”. Kemudian dia membalas, “Dari mana kamu mengambil baju yang kamu pakai ini sedangkan jika ikut pembahagian semalam, kain yang kamu dapat tidak cukup untuk tubuh kamu”. Maka Umar menyuruh anaknya Abdullah bangun untuk menjelaskan. Maka kata Abdullah bin Umar RA menjelaskan bahawa “Saya beri bahagian saya kepada ayah saya”.
Inilah contoh terbaik dari seorang pemimpin. Membenarkan rakyat bertanya seperti Saidina Umar RA yang terbuka kepada muhasabah dan mempraktikkan ketelusan dalam pemerintahan.
Kegelisahan Rakyat Marhaen
Rakyat Malaysia pada hari ini semakin gelisah dengan situasi ekonomi negara. Rakyat merasakan ditipu oleh pemimpin yang menyalahgunakan kuasa. Selain itu, tekanan dan kesempitan hidup dirasai sehingga hari ini seperti mana semalam kita dikhabarkan dengan kenaikan harga minyak dan secara tidak langsung akan membawa kepada kenaikan barang dan sebagainya.
Cukuplah tragedi yang menimpa Allahyarham Mohd Shukri Saad sebagai pengajaran, kerana tekanan dan kesempitan hidup. Ya, kita tahu peristiwa itu bukanlah cara terbaik untuk keluar daripada kepompong kesusahan dan kesulitan, tetapi ia menggambarkan bagaimana sistem menghimpit rakyat marhaen daripada terus mendapatkan hak mereka, sebaliknya kroni-kroni dan penguasa terus bebas untuk ‘merompak’.
Kata YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa dalam kenyataannya berhubung kes ini, “Pemimpin kerajaan hari ini belum menjawab skandal 1MDB, 2.6 bilion, skandal angkara kelompok elitis politik dan sebagainya. Rakyat di bawah hidup susah, jurang ketidaksamaan semakin meluas. Allahyarham Shukri adalah sebahagian mangsa kefasadan politik dan rasuah yang membengkak”.
Tadbir Urus Yang Baik
‘Good Governance’ atau Tadbir Urus yang baik wajar dijadikan tunjang dalam pengurusan negara, tidak kira pengurusan kewangan, pendidikan, politik dan sebagainya demi menjamin sebuah negara yang rahmah dan sejahtera.
Masa depan negara yang baik adalah negara yang menuju ke arah menjamin kesejahteraan rakyat. Di Malaysia hari ini, kita dapat lihat berlakunya jurang kemiskinan yang jauh antara yang berpendapatan tinggi dan rendah di negara kita dengan kadar 46.2% dan dicatatkan antara yang tertinggi di dunia. Ini cukup membimbangkan.
YB Dato’ Seri Ahmad Husni menyebut, tiga perkara perlu menjadi asas kepimpinan negara iaitu “Dignity, Integrity dan Good Governance”. “Setiap sen yang kerajaan terima, mesti digunakan untuk kemaslahatan rakyat,” tambahnya.
“Kita juga harus mengambil pengajaran daripada negara Korea Selatan yang membina kapasiti bangsa mereka. Mereka muncul dengan sekolah terbaik, kapasiti dibina untuk masyarakat, membentuk patriotisme dan membina kekuatan generasi baru,” jelas Dato’ Seri Ahmad Husni.
Pada akhir sesi ceramah beliau sebelum sesi soal jawab, beliau menjelaskan “Kita mengharapkan pimpinan negara yang mempunyai mindset bagaimana untuk membangunkan rakyat, kerana pimpinan negara dibayar gaji oleh rakyat, tetapi sampai bila rakyat mahu menangis dan menangis dek kesempitan hidup?”
Tulisan oleh:
Nik Fatma Amirah Nik Muhamad
Calon Parlimen Belia Malaysia Negeri Kelantan (KEL008)
Ahli Biro Penyelidikan IKRAM