SERI KEMBANGAN – Khalifah Umar Abdul Aziz berjaya membina sistem tadbir urus yang baik dan membawa kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat, sehingga digambarkan tiada lagi penerima zakat ketika itu, menurut Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hj Badlishah Sham Baharin.
Beliau menegaskan kepentingan memacu agenda “Islah Hukumah” (reformasi kerajaan) sebagai asas pembaharuan pentadbiran negara ke arah sistem yang lebih adil, telus dan berintegriti.
Tambahnya, kisah kepimpinan khalifah itu dijadikan inspirasi agar setiap usaha membawa perubahan dasar berlandaskan kepada cita-cita yang tinggi dan sentiasa berusaha mencapai yang lebih baik, serta mencapai keredaan Allah SWT dengan matlamat akhir meraih syurga-Nya.
Hj Badlishah Sham berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Advokasi 2026 pada 11-12 Julai lalu anjuran JK Agenda Nasional IKRAM, sebagai usaha memperkukuh keupayaan organisasi dalam mempengaruhi dasar awam bagi menangani pelbagai isu masyarakat.
Bengkel ini disertai seramai 40 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Kluster Agenda Nasional, JK Wanita dan IKRAM Muda, termasuk JK Advokasi Negeri dan wakil-wakil institusi.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen IKRAM dalam memperkukuh budaya advokasi berasaskan bukti (evidence-based advocacy) sebagai pendekatan utama dalam menyumbang kepada pembentukan dasar awam yang lebih responsif terhadap keperluan rakyat.
Bengkel yang dikendalikan oleh Koordinator Program, En. Mohammad Abdul Hamid dan dibantu oleh Ahli-ahli JKP Agenda Nasional ini memberi penekanan kepada kefahaman tentang advokasi.

Menurutnya, advokasi merupakan satu proses yang tersusun untuk mempengaruhi pendirian dan tindakan kerajaan serta pihak berkepentingan melalui cadangan yang berasaskan fakta, bukti dan penyelidikan dalam menyelesaikan isu-isu strategik masyarakat.
Peserta turut didedahkan kepada kepentingan membina jaringan strategik dan melaksanakan libat urus secara sistematik oleh Naib Presiden IKRAM, Dr Sabariah Baharun. Jaringan berfungsi membina hubungan dengan pihak berkepentingan, manakala libat urus menggerakkan hubungan tersebut bagi menghasilkan perubahan yang memberi impak kepada dasar awam.

Pengisian turut diperkaya dengan perkongsian pengalaman daripada beberapa pengamal advokasi. En. Amin Mubarak membincangkan strategi advokasi di Parlimen Malaysia sebagai saluran penting dalam mempengaruhi pembentukan dasar di peringkat Persekutuan.
En. Amar Masuri pula berkongsi kejayaan projek MYSaveFood sebagai contoh bagaimana kerjasama strategik antara kerajaan, NGO dan komuniti mampu mengurangkan pembaziran makanan melalui pendekatan advokasi yang berkesan.
Dalam bengkel itu juga, Pn. Faridah Maludin membentangkan usaha advokasi dekriminalisasi dadah yang menekankan pendekatan lebih rahmah dan berorientasikan pemulihan dalam usaha memutuskan rantaian penyalahgunaan dadah.
Sementara itu, Pn. Farah Nabilah mengupas potensi kerjaya sebagai usahawan dasar (policy entrepreneur) yang semakin signifikan dalam landskap pembangunan dasar masa kini.
Bagi memperkukuh aspek penyelidikan, Kajian Dasar IKRAM (KADRI) diketengahkan sebagai rakan strategik yang menyediakan sokongan berasaskan bukti, yang sehingga kini telah melaksanakan lebih 50 kajian.
Topik kajian yang dijalankan merangkumi pelbagai bidang termasuk Indeks Malaysia Negara Rahmah, Model Solusi Memperkasa Komuniti Miskin Bandar serta pembangunan dokumentasi dan keberkesanan modul berasaskan penyelidikan.
Dengan pendekatan “Research to Action” oleh KADRI, hasil penyelidikan diterjemahkan kepada cadangan dasar yang praktikal bagi menyokong usaha advokasi secara lebih berkesan.
Melalui penganjuran Bengkel Advokasi 2026, IKRAM berharap lebih ramai penggerak perubahan di setiap peringkat dapat dilahirkan bagi mempengaruhi dasar awam secara berfakta, strategik dan beretika.
Dengan gabungan penyelidikan, libat urus, intervensi serta kerjasama pelbagai pihak, usaha ini diharap dapat menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang lebih adil, telus dan sejahtera menjelang 2035.




