Syarat kejayaan aturan Maha Pencipta

Dan pihak manakah yang berhak menentukan sama ada kita menang atau kalah? Siapakah yang berhak menentukan kita berjaya atau gagal? Tentulah pihak penganjur pertandingan atau ujian yang kita masuki, bukan?

 

Itulah perbandingan hidup kita di dunia ini. Sebenarnya kita sedang menjalani ujian yang diatur oleh Pencipta kita Yang Maha Agung. Dia telah berfirman di dalam kitab suci-Nya bermaksud:

 

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk: 2)

 

Maka, oleh kerana Dia yang menganjurkan ujian ini, Dialah yang menentukan syarat untuk mencapai kejayaan dan kemenangan. Maka siapakah orang yang berjaya menurut ukuran-Nya? Dia telah menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

 

“Tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya.

“Allah telah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 88-89)

 

Orang yang berjaya dan beroleh kemenangan yang besar adalah Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman bersamanya. Mereka berjihad dengan harta dan jiwa. Itulah syarat kemenangan: beriman, bersama Rasulullah SAW dan berjihad dengan harta dan jiwa.

 

Mari kita semak iman kita!

 

Iman adalah percaya dengan penuh yakin kepada Allah SWT dan segala yang diperintahkan agar kita mempercayainya yang terangkum dalam firman-Nya yang bermaksud:

 

“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasul-Nya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali.” (Al-Baqarah: 285)

 

Iman tidak cukup dengan kepercayaan dan keyakinan dalam hati semata-mata, sebaliknya ia mesti dibuktikan dengan amalan. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menjelaskan keadaan orang yang beriman.

 

Contohnya mereka tidak ragu dan teragak-agak dalam mematuhi semua perintang Allah dan Rasul seperti dinyatakan dalam ayat berikut:

 

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (An-Nuur: 51)

 

Mengikuti Rasulullah SAW dan bersama dengannya dalam menegakkan Islam juga merupakan tuntutan iman yang paling asas. Terlalu banyak ayat-ayat yang menegaskan bahawa tidak sempurna iman jika tidak mentaati perintah Rasulullah SAW. Allah berfirman maksudnya:

 

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan daripada apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (An-Nisaa’ 4:65)

 

Mengikuti Rasulullah SAW juga merupakan syarat untuk meraih cinta Allah SWT.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Ali Imraan: 31) 

 

Jihad adalah satu daripada bukti iman yang benar. Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujuraat: 15)

 

Jihad adalah perjuangan untuk menegakkan agama Allah dan mempertahankannya daripada serangan musuh luaran dan dalaman.

 

Justeru, jihad bukan sahaja dalam bentuk peperangan bersenjata melawan kuffar, sebaliknya ia merangkumi jihad melawan nafsu, syaitan, golongan yang zalim, menyeleweng dan yang melampau dalam agama. Wasilah jihad juga berbagai-bagai mengikut keperluan dan kesesuaian dengan musuh yang hendak dilawan.

 

Oleh kerana jihad adalah satu daripada bukti iman yang benar, maka meninggalkan jihad boleh mengancam dan merosakkan iman serta diancam dengan seksa yang tidak terperi sama ada di dunia dan akhirat. Allah SWT berfirman maksudnya:

 

Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikit pun kepada-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (At-Taubah: 39)

 

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang mati, dan dia tidak pernah berjuang serta tidak pernah berbicara dengan dirinya (tidak pernah berniat) untuk berjuang, dia mati atas satu cabang daripada nifak.” (Hadis Riwayat Muslim)

 

Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam al-Nawawi berkata bahawa orang yang meninggalkan jihad itu sama seperti munafik. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

 

“Apabila kamu berjual beli dengan al-‘inah, kamu pegang ekor lembu dan kamu reda dengan pertanian lalu kamu meninggalkan jihad, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kamu dan Dia tidak akan mencabutnya (kehinaan itu) daripada kamu hinggalah kamu kembali kepada agama kamu.”

 

Pegang ekor lembu dan reda dengan pertanian adalah kiasan yang membawa maksud terlalu sibuk dan leka dengan kerja bercucuk tanam sehingga meninggalkan jihad.

 

Al-Son’ani berkata: “Maka Allah jadikan jihad itu agama. Dan sesiapa yang meninggalkannya pasti akan dilingkari kehinaan yang tidak tercabut daripadanya.”

 

Kesimpulannya, ramuan kejayaan adalah iman, mengikuti Rasulullah SAW dan jihad.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia