Surat Ikhwanul Muslimin untuk rakyat Amerika

Setelah tuntutan asas ini dipenuhi, kami berusaha untuk berkongsi dalam perdebatan yang melanda negara dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian, yang kami harap akan mencapai puncaknya dalam bentuk sebuah kerajaan yang demokratik. Mesir menginginkan kebebasan dari kezaliman, juga proses demokrasi dan dialog yang serba inklusif dalam menentukan hala tuju nasional kami dan masa depan kami, bebas dari campur tangan asing.

Kami sedar meskipun kami sebuah gerakan Islam yang tidak mengamalkan kekerasan kami telah dihadapkan dengan penindasan selama enam dekad. Pembohongan terang-terangan, kempen menakut-nakutkan dan propaganda telah dicipta dan diadun terhadap kami di istana Mubarak sepanjang 30 tahun kebelakangan dan oleh sebahagian dalangnya di Washington.

Agar kepentingan partisan di Amerika Syarikat tidak berhasil dalam menggagalkan revolusi popular Mesir ini, kami terdorong untuk menyangkal dengan tegas sebarang usaha untuk merampas keinginan rakyat. Kami juga tidak bercadang untuk mendominasi pemerintahan pasca-Mubarak secara senyap-senyap. IM telahpun memutuskan untuk tidak mengemukakan mana-mana ahlinya sebagai calon presiden dalam pilihan raya akan datang. Kami ingin menyampaikan maklumat yang betul supaya setiap keputusan polisi Timur Tengah yang dibuat di Washington adalah didasarkan kepada fakta dan bukannya agenda Islamophobes yang rasis dan memalukan.

Bertentangan dengan laporan yang bertujuan untuk menakut-nakutkan, Barat dan Ikhwanul Muslimin bukanlah musuh. Ini adalah dikotomi palsu untuk menampakkan, seperti yang disarankan oleh sebahagian alarmist, bahawa pilihan Mesir ialah samada status quo rejim Mubarak atau pengambilalihan oleh “pelampau Islam.” Pertama, kita perlu membezakan antara perbezaan ideologi dan politik yang mungkin dipegang oleh IM berbanding Amerika Syarikat.

Bagi umat Islam, mereka telah diajar bahawa perbezaan ideologi dengan pihak lain bukan penyebab atau alasan kepada kekerasan dan pertumpahan darah kerana kebebasan seorang manusia untuk memutuskan bagaimana untuk menjalani kehidupan peribadinya merupakan hak yang tak boleh diganggu gugat dalam ajaran asas Islam, serta tradisi Barat. Perbezaan politik, bagaimanapun, boleh menjadi masalah ancaman eksistensial dan kepentingan, dan kita telah menyaksikannya baru-baru ini, contohnya, bagaimana rejim Mubarak telah menggunakan kekerasan untuk menghadapi demonstrasi damai.

Kami amat memahami bahawa Amerika Syarikat mempunyai kepentingan politik di Mesir. Tetapi apakah Amerika Syarikat memahami bahawa negara berdaulat Mesir, dengan 80 juta penduduk, mempunyai kepentingan sendiri? Apapun kepentingan Amerika Syarikat di Mesir, mereka tidak dapat menghapuskan kehendak rakyat Mesir atau menumbangkan keinginan rakyat tanpa sebarang tentangan. Egoisme seperti itu adalah resepi untuk bencana. Dengan sedikit altruisme, Amerika Syarikat tidak perlu ragu untuk menilai kembali kepentingannya di wilayah ini, terutama jika ia benar-benar menjuarai demokrasi dan ikhlas dalam mencapai keamanan di Timur Tengah.

Melihat ke hadapan, IM adalah salah satu kelompok di antara puak dan trend politik yang berkembang di Mesir, yang akan bersaing dengan sihat dan saling menghormati dalam pilihan raya yang adil dan bebas. Kami telah mengambil bahagian dalam “proses politik” seperti itu sewaktu berada di bawah kediktatoran Mubarak. Dalam dekad-dekad pemerintahannya, kami telah merangkul kepelbagaian dan nilai-nilai demokrasi. Sesuai dengan masyarakat pluralistik Mesir, kami telah mempamerkan kesederhanaan dalam agenda kami dan telah melaksanakan tugas kami secara bertanggung jawab baik di kalangan penyokong politik kami mahupun rakyat Mesir pada umumnya.

Rekod kami di lapangan yang ditatang dengan penuh tanggung jawab dan sederhana merupakan ciri khas identiti politik kami, dan kami akan membina di atasnya. Sebagai contoh, menjadi pegangan kami bahawa kerajaan yang mungkin kami sertai di masa depan hendaklah menghormati semua perjanjian yang dimetrai sesuai dengan kepentingan rakyat Mesir.

Kerana kami gerakan Islam dan memandangkan sebahagian besar Mesir adalah Muslim, tentu ada yang akan membangkitkan isu undang-undang syariah. Walaupun ia bukan agenda terdekat sesiapa pun, adalah berguna untuk diketahui bahawa dalam aliran Sunni, konsep pemerintahan berdasarkan syariah bukan teokrasi kerana kita tidak mengiktiraf ahli agama (clergy) berpusat dalam Islam. Bagi kami, Islam adalah cara hidup yang dianut oleh seperlima penduduk dunia. Syariah merupakan sarana dimana keadilan dilaksanakan, hidup dipelihara, kebajikan umum disediakan, dan kebebasan dan harta dijaga. Apapun, sebarang peralihan ke sistem berasaskan syariah harus mendapatkan konsensus dalam masyarakat Mesir.

Rakyat Mesir akan memutuskan wakil mereka, bentuk kerajaan demokratik mereka dan peranan Islam dalam kehidupan mereka. Buat masa ini, sambil kita berada di ambang pembebasan nasional daripada kezaliman, rakyat Mesir di Dataran “Pembebasan” Tahrir dan di seluruh negara berharap Amerika akan berdiri di samping mereka pada saat genting ini.

 

(Abdel Moneim Abou el-Fotouh, penulis “A Witness to the History of Egypt’s Islamic Movement” (Seorang Saksi Sejarah Gerakan Islam Mesir) ialah Setiausaha Agung Kesatuan Perubatan Arab dan ahli Ikhwanul Muslimin. Beliau berkhidmat di Maktab Irsyad gerakan itu selama 25 tahun.)

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia