Pengarah PAKSI IKRAM, Puan Faridah Maludin telah menyampaikan sumbangan tersebut kepada pihak penjara yang diwakili oleh PPP Puan Naterah Abdullah dan diiringi oleh IP Puan Nur Laili Mohammad Sha’ari.
“Para banduan yang ditemui amat gembira menerima sumbangan kurma untuk dinikmati semasa iftar dan bersahur,” kata Puan Faridah.
Dalam kunjungan tersebut, beliau juga telah berpeluang menyampaikan tazkirah bertajuk “Hikmah Di Sebalik Puasa Ramadan” kepada 45 orang banduan wanita yang menekankan kepentingan memahami dan menghayati makna ibadah puasa Ramadan.
“Setiap hari dalam bulan Ramadan adalah hari-hari sesi latihan untuk penyucian dan peningkatan kekuatan jiwa dan iman.”
Beliau berkata, iman dan takwa adalah inti kepada kehidupan dan puasa bukanlah satu ibadah rutin yang hanya menahan diri dari makan dan minum.
“Tetapi ia mempunyai hikmah terpenting melatih diri untuk menahan diri daripada melakukan hal-hal yang membawa kepada dosa, kerosakan dan mudarat kepada iman dan kehidupan,” jelas Faridah.
Dalam pada itu, para banduan turut diajak untuk memperbanyakkan doa pada bulan bulan yang mulia ini.
“Semoga kesungguhan beramal pada bulan suci ini akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.”
Pada akhir program, suasana menjadi hiba dan sayu apabila doa yang dibacakan oleh Puan Faridah diaminkan bersama-sama oleh para banduan.
Dua orang sukarelawan iaitu Puan Murni Ahmad dan Cik Ilya Roslan turut bersama-sama dalam rombongan PAKSI IKRAM ke penjara ini.
Sebagai salah satu agensi khidmat masyarakat IKRAM, kunjungan berkala PAKSI IKRAM (dulu dikenali sebagai PAKSI JIM) sejak tahun 2007 ini diharapkan dapat memberikan manfaat, suntikan dan harapan buat banduan wanita supaya terus menerus melakukan perubahan positif terhadap diri, insya-Allah.