SERI KEMBANGAN – Karnival Sukan BAKIM (SUKABA) 2025 anjuran Badan Kebajikan Kakitangan IKRAM (BAKIM) melabuhkan tirainya pada bulan Ogos lepas di Footmax Cheras Sports Centre, selepas berlangsung selama hampir tiga bulan dengan pelbagai acara sukan yang mencabar dan menyeronokkan.
Bermula pada 24 Jun dengan kejohanan ping pong sebagai acara pembuka tirai, SUKABA 2025 menampilkan tiga pertandingan utama iaitu Liga Ping Pong, Bowling dan Liga Futsal.
Lebih 50 peserta terdiri daripada kakitangan serta Jawatankuasa Pengurusan (JKP) telah mengambil bahagian, manakala beberapa mantan staf dan ahli keluarga turut memeriahkan saingan futsal dengan menyertai sebagai pemain.
Para peserta dibahagikan kepada tiga rumah sukan iaitu Rumah Ungu, Merah dan Hijau. Setiap rumah sukan mempamerkan persaingan sengit dalam suasana penuh semangat kesukanan dan persaudaraan.
Selepas perlawanan sengit dan penuh debaran, Rumah Ungu muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 1,576 mata. Rumah Merah pula berada di tempat kedua dengan 1,561 mata, manakala Rumah Hijau di tempat ketiga dengan 1,553 mata.
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Haji Badlishah Sham Baharin dalam ucapan penutup menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat serta mengingatkan bahawa karnival ini bukan sahaja platform untuk bersaing, tetapi lebih penting sebagai medan mengukuhkan hubungan sesama staf.
Majlis penutup yang diadakan sejurus selepas perlawanan futsal akhir turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang serta penganugerahan khas kepada peserta cemerlang.
Salah satu detik istimewa SUKABA 2025 adalah penyampaian Anugerah Khas kepada Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria. Beliau merupakan seorang senior yang bukan sahaja menyertai secara aktif dalam semua acara, tetapi juga memberikan komitmen penuh sepanjang karnival berlangsung. Dedikasi beliau menjadi inspirasi kepada peserta lain.
“Objektif SUKABA adalah untuk memupuk gaya hidup sihat, semangat berpasukan dan menceriakan suasana kerja. Apa yang kita lihat sepanjang tiga bulan ini ialah kerjasama dan kebersamaan. Inilah kemenangan sebenar,” ujar Pengarah SUKABA, Abdullah Azzam Azmi.
Penganjuran SUKABA 2025 kali ini membuktikan bahawa semangat sukan mampu menjadi jambatan yang mempererat silaturahim, selain menyuntik semangat baharu dalam kalangan warga kerja IKRAM untuk terus produktif, sihat dan harmoni.