Suara Wanita: Tegas kerana Prinsip, Bukan Emosional

Suara Wanita: Tegas kerana Prinsip, Bukan Emosional | IKRAM

Hari ini kita hidup dalam suasana yang penuh dengan suara, pandangan dan perbahasan. Namun, apabila wanita ke depan, sering kali suara mereka dipertikai. 

Ada yang kata mereka “terlalu beremosi”, “tak pandai kawal diri”, malah ada yang menuduh mereka “tak beradab” hanya kerana nada suara mereka lebih tinggi daripada biasa dalam mesyuarat atau perbincangan.

Sedangkan hakikatnya, seorang wanita yang bersuara tegas bukanlah wanita yang hilang adab, tetapi wanita yang tahu apa yang diperjuangkannya.

Dia tidak tunduk hanya kerana ingin menjaga hati orang lain semata-mata, sebaliknya memilih untuk mempertahankan kebenaran walaupun berdepan pandangan yang tidak sependapat dengannya.

Fenomena ini bukan benda baharu. Dalam sejarah Islam, ramai tokoh wanita yang lantang, berani dan berprinsip. Suara mereka bukan sekadar gema kosong, tetapi membentuk sejarah, membetulkan keadaan, malah menyelamatkan umat.

Al-Quran: Menyaksian kesetaraan peranan 

Allah SWT tidak pernah memandang rendah pada wanita. Bahkan dalam banyak ayat, Allah menyebut lelaki dan wanita dalam satu layar yang sama. Firman Allah bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang makruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah 9:71)

Ayat ini jelas mengangkat bahawa wanita juga ada tanggungjawab sosial, politik, bahkan keagamaan. Mereka bukan hanya “pelengkap” tetapi “penolong”, rakan seperjuangan kepada lelaki. Kalau lelaki boleh bersuara lantang demi menegakkan kebenaran, wanita juga ada hak yang sama.

Hadis Nabi SAW: Wanita saudara lelaki 

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya wanita itu adalah saudara kandung lelaki.” (HR Abu Daud, no. 236)

Hadis ini ringkas, namun penuh makna. “Saudara kandung” ertinya tiada perbezaan darjat dalam asas kemanusiaan dan peranan. Jika lelaki dibenarkan menegur, menasihat dan memperjuangkan hak, wanita juga dibenarkan berbuat begitu.

Maka, ketika seorang wanita bangkit menyatakan pendirian dengan suara tegas, dirinya sedang menjalankan peranan yang seharusnya, walau terdapat segelintir mereka mengatakan ia sekadar lantunan emosi.

Kisah-kisah wanita tegas dalam sejarah 

1. Aisyah r.a.: Suara Intelektual dan Politik

Aisyah r.a. terkenal dengan kecerdasan dan keberaniannya. Beliau bukan saja meriwayatkan lebih 2,000 hadis, bahkan sering menegur sahabat lelaki apabila berlaku salah faham dalam hukum. Ada sahabat bertanya kepada beliau tentang fiqh, dan beliau menjawab dengan hujah yang kukuh.

Dalam Al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah karya Ibn Hajar, disebut bahawa para sahabat sering kembali kepada Aisyah apabila timbul isu. Suaranya bukan sekadar didengar, tetapi menjadi penentu. Kalau beliau hanya berdiam diri kerana “takut dianggap biadab”, umat Islam hari ini mungkin kehilangan ribuan riwayat sahih.

2. Ummu Salamah r.a.: Bijaksana pada Saat Krisis

Dalam Perjanjian Hudaibiyah, suasana sangat tegang. Para sahabat enggan mencukur kepala kerana merasakan isi perjanjian tidak adil. Rasulullah SAW hampir buntu. Lalu Ummu Salamah memberi cadangan: “Wahai Rasulullah, cukurlah kepala Rasulullah dahulu, nescaya mereka akan mengikutimu.”

Cadangan itu menyelamatkan keadaan. Bayangkan, seorang wanita memberi idea kepada Rasulullah SAW dan ternyata benar! Suaranya bukan sekadar didengar, tetapi menyelesaikan konflik besar umat. (Ibn Katsir, Al-Bidayah wa al-Nihayah)

3. Asma’ binti Abu Bakar r.a.: Tegas di hadapan Abu Jahal

Ketika Abu Bakar berhijrah bersama Rasulullah SAW, Asma’ membantu menyiapkan bekalan. Abu Jahal datang mengugut, mahu tahu ke mana ayahnya pergi. Dengan berani Asma’ menjawab, menolak ugutan itu. Beliau tidak gentar walaupun diancam lelaki yang paling kejam di Mekah.

Ketegasannya membuatkan beliau dikenali sebagai ‘Dhatun Nitaqain.’ iaitu simbol wanita yang berani berkata “tidak” walaupun tekanan datang daripada orang kuat.

4. Asy-Syifa’ binti Abdullah: Pentadbir Pasar Madinah

Asy-Syifa’ diberi amanah oleh Rasulullah SAW untuk mengurus pasar, yang mana ia adalah salah satu sektor ekonomi penting. Dalam kedudukan itu, beliau berdepan lelaki yang cuba menipu, menaikkan harga atau menindas orang lain. Beliau bertegas menegakkan keadilan ekonomi.

Sejarah ini membuktikan, ketegasan wanita bukanlah baru. Ia sebahagian daripada keberkatan umat Islam terdahulu. (Ibn Sa’d, Tabaqat al-Kubra)

Bias Gender: Lelaki tegas dipuji, wanita tegas dicerca

Realitinya, masyarakat sering mengamalkan “double standard”. Lelaki yang meninggikan suara dalam mesyuarat dianggap “berprinsip”, “berwibawa” atau “tegas”. Tetapi apabila wanita berbuat hal sama, ia dilabel “emosional”, “pemarah” dan “tak beradab”.

Sedangkan ukuran Islam bukan terletak pada jantina, tetapi ketakwaan. Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah Al-Hujurat 49:13)

Kalau kebenaran yang disuarakan itu betul, ia wajib diterima sama ada ia datang daripada lelaki atau wanita.

Umar al-Khattab r.a. ditegur wanita

Dalam satu kisah masyhur, Umar al-Khattab r.a., khalifah yang tegas, suatu ketika membincangkan soal mahar. Beliau mahu menetapkan jumlah tertentu supaya tidak membebankan lelaki. Lalu bangkit seorang wanita menegurnya dengan ayat al-Quran (maksudnya):

“…Sedang kamu telah memberikan kepada seseorang antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya sedikit pun..” (Surah An-Nisa’ 4:20)

Wanita itu mengingatkan Umar bahawa Allah membenarkan mahar yang besar, maka Umar tidak boleh menetapkan had. Umar pun mengakui kesilapannya lalu berkata, “Wanita itu benar, Umar yang salah.”

Bayangkan, khalifah yang tinggi kedudukannya pun mengakui kebenaran terhadap seorang wanita. Inilah bukti suara wanita bukan untuk disekat. Bagaimana lingkungan kita hari ini?

Inspirasi buat wanita hari ini

Wanita berprinsip hari ini harus mencontohi Aisyah dalam ilmu, Ummu Salamah dalam kebijaksanaan, Asma’ dalam keberanian dan asy-Syifa’ dalam ketegasan pentadbiran.

Apabila berdepan kritikan atau stereotaip, wanita perlu ingat, Islam tidak pernah menolak suara mereka. Bahkan sejarah membuktikan suara mereka boleh mengubah perjalanan umat.

Seorang wanita yang meninggikan suara dalam mesyuarat bukanlah tanda emosinya kosong, tetapi tanda dirinya serius, berprinsip dan menolak penindasan. Jangan cepat menuduh wanita “tak beradab” hanya kerana dia seorang wanita dan berani berkata benar.

Wanita berkarisma ialah mereka yang yakin bahawa suara mereka adalah sebahagian daripada perjuangan. Mereka adalah pewaris kepada Aisyah, Ummu Salamah, Asma’ dan asy-Syifa’. Suara mereka bukan ancaman, tetapi rahmat bagi masyarakat.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 139 bermaksud:

“Dan janganlah kamu berasa lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.”

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia