Dehidrasi dan strok haba adalah dua penyakit berkaitan haba yang biasa tetapi boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat.
Setakat Ahad lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 14 kes strok haba akibat cuaca panas.
Terdapat satu kes kematian strok haba di Kelantan yang melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun. Dijangkakan mangsa strok panas akan meningkat sehingga Ogos seiring dengan bahang cuaca panas yang dibawa oleh fenomena El Nino.
Justeru itu, masyarakat harus berwaspada dengan aktiviti harian bagi mengelakkan menjadi mangsa cuaca panas luar biasa yang sedang melanda negara.
Barangkali disebabkan sudah terbiasa dengan cuaca panas sepanjang tahun, maka situasi negara yang mengalami suhu kepanasan lebih daripada biasa mungkin tidak diambil berat oleh masyarakat. Bak kata pepatah, alah biasa tegal biasa.
Kelesuan haba disertai dehidrasi boleh membawa kepada strok haba sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.
Dalam keadaan normal, semua orang kehilangan air badan setiap hari melalui peluh, air mata, pernafasan dan najis. Bagi orang yang sihat, kehilangan air ini digantikan oleh minuman dan makanan yang mengandungi air.
Tanda & Simptom
Apabila seseorang individu terdedah kepada matahari dan tidak minum air yang mencukupi secara berterusan, badan akan mengalami dehidraasi kerana kehilangan kandungan air dan garam badan penting, seperti natrium dan kalium.
Ini boleh membawa kepada simptom dehidrasi seperti keletihan, pening, sakit kepala, kulit kering berasa keliru, muntah, rasa loya dan sakit perut. Tanda-tanda ini harus diawasi sebelum melarat menjadi strok haba.
Jika seseorang mengalami simptom dehidrasi dan badan tidak berupaya lagi mengeluarkan peluh, suhu boleh meningkat mendadak ke paras yang merbahaya. Sekiranya dibiarkan, situasi ini boleh bawa kepada terjadinya strok haba.
Setiap individu boleh mengalami simptom strok haba yang berbeza. Gejala yang boleh berlaku adalah seperti pening, mual, sawan, halusinasi, fungsi otak terjejas, pengsan, tekanan darah rendah dan denyutan jantung menjadi laju.
Strok haba ialah penyakit haba tahap paling serius dan memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan ia berlanjutan sehingga memudaratkan badan atau mengancam nyawa.
Cara Pencegahan
Sehubungan itu, tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan para guru dan murid sekolah memakai pakaian sukan ke sekolah adalah langkah terbaik bagi membendung gejala yang boleh terjadi akibat gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.
Langkah ini turut menjadi isyarat bagi ibu bapa untuk menjaga kebajikan anak-anak dengan membekalkan air minuman secukupnya serta tidak membiarkan anak-anak bermain di luar terlalu lama di bawah terik matahari.
Musim perayaan ini dibanjiri dengan undangan rumah terbuka dan jamuan raya. Seeloknya, rancang perjalanan dengan baik, pakai pakaian yang selesa, longgar dan minum air secara berkala bagi memastikan badan sentiasa cukup air.
Bekalan botol air minuman sepanjang perjalanan dapat membantu mengurangkan kehausan ketika musim panas.
Elakkan melakukan aktiviti di bawah pancaran matahari yang panas bagi tempoh yang lama. Amalkan pelindung haba seperti memakai topi dan payung. Pastikan pengudaraan beredar dengan baik di dalam rumah atau premis yang diduduki.
Beringatlah sentiasa dan ambil berat dengan kesihatan badan sekiranya mahu untuk menikmati kualiti hidup yang baik secara berterusan. Jangan sampai sikap lalai dan tidak acuh memberi akibat yang mengesani hidup sepanjang hayat.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.