STPM: Lebih 70% lulus penuh

SERI KEMBANGAN – Sebanyak 72.97 peratus atau 31,366 calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran.

 

Jumlah ini melibatkan penurunan peratusan sebanyak 0.70 peratus (1,655 calon) berbanding STPM 2019 iaitu 73.67 peratus atau 33,021 calon.

 

Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, seramai 741 daripada 42,988 calon mendapat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00.

 

“Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 ini berkurangan sebanyak 61 calon daripada 802 calon yang mendapat PNGK 4.00 pada 2019,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2020 yang berlangsung secara maya hari ini.

 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 554 calon atau 74.76 peratus adalah golongan B40.

 

“Daripada 741 calon itu juga, seramai 23 calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil dan 718 calon mendapat 4A.”

 

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Eksekutif MPM, Mohd Fauzi Mohd Kassim.

 

“Dari segi pencapaian keseluruhan calon, PNGK nasional STPM 2020 meningkat dari 2.77 pada 2019 kepada 2.78 pada 2020,” kata Wahid yang juga Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

 

Menurutnya, pencapaian ini dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2019 kerana perbezaan peningkatan yang sangat kecil iaitu hanya 0.01 mata.

 

“Perbezaan peningkatan ini tidak menggambarkan signifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2020 secara keseluruhan berbanding dengan calon STPM 2019.”

 

Dalam perkembangan berkaitan, Wahid menjelaskan, pencapaian PNGK calon secara keseluruhannya juga menunjukkan peratusan longgokan calon pada PNGK 3.09 ke atas meningkat daripada 33.45 peratus atau 14,994 calon pada 2019 kepada 33.69 peratus atau 14,482 calon pada 2020.

 

“Peratusan longgokan calon pada PNGK 3.00 hingga 2.00 pula menurun daripada 51.81 peratus (23,221 calon) kepada 50.97 peratus (21,910 calon) berbanding pada tahun lalu.

 

Walaupun terdapat kenaikan dan penurunan pada PNGK calon keseluruhannya, insya-Allah, beliau tetap yakin bahawa peluang lepasan STPM yang akan diterima masuk ke universiti awam masih besar seperti tahun-tahun sebelumnya.

 

“Perbezaan jurang pencapaian antara bandar dengan luar bandar itu sama seperti peperiksaan STPM 2019 iaitu sebanyak 0.02 mata.”

 

Dari segi perbandingan pencapaian PNGK calon bandar dengan calon luar bandar, Wahid memberitahu, PNGK calon bandar masih mengatasi calon luar bandar dengan PNGK masing-masing 2.80 dan 2.78.

 

“Satu mata pelajaran menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada tahun sebelumnya melebihi 3 peratus, iaitu mata pelajaran Literature in English.”

 

Manakala, satu lagi mata pelajaran iaitu Matematik Tambahan pula menunjukkan penurunan dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada tahun sebelumnya melebihi 3 peratus.

 

“Sebanyak 21 mata pelajaran lain dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang lulus penuh antara 2020 dengan 2019 adalah kurang daripada 3 peratus.”

 

Mengulas lanjut mengenai prestasi mengikut mata pelajaran, beliau berkata, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus iaitu gred C dan ke atas.

 

“Dalam STPM 2020 juga mata pelajaran Tahfiz Al-Quran telah ditawarkan buat pertama kali dan pencapaian calon amat membanggakan kerana daripada 69 calon yang menduduki kertas ini, 63 daripadanya telah berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran,” ujar Wahid.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia