SERI KEMBANGAN – Seramai 2,186 calon daripada 35 Sekolah Rendah Islam dalam rangkaian MUSLEH telah menerima keputusan Syahadah Pentaksiran Pelajar IKRAM MUSLEH (SPPIM) 2024.
Proses pengumuman keputusan dilakukan secara berperingkat, dengan majoriti calon menerima keputusan di sekolah masing-masing pada Isnin, 16 Disember lalu manakala selebihnya diumumkan pada keesokan harinya.
Keputusan rasmi yang diumumkan menyaksikan calon ditemani ibu bapa masing-masing dalam suasana penuh keterujaan dan kesyukuran. Prestasi keseluruhan sekolah mencatat gred purata sebanyak 1.47, menunjukkan peningkatan positif berbanding gred 1.53 pada tahun sebelumnya yang melibatkan 34 sekolah.
Subjek Akhlak merekodkan peningkatan yang ketara dengan gred purata 1.18 berbanding 1.33 pada tahun sebelumnya. Seramai 31 sekolah berjaya mencapai kelulusan penuh 100 peratus untuk subjek ini.
Peningkatan turut dicatat dalam subjek Akidah dengan gred purata meningkat sebanyak 0.02 kepada 1.29, manakala subjek Hafazan al-Quran mencatat peningkatan ketara sebanyak 0.17 dengan gred purata 1.75 berbanding 1.92 pada tahun sebelumnya.
Prestasi subjek Bahasa Arab juga menunjukkan peningkatan konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun ini, gred purata dicatat pada 1.62, berbanding 1.72 pada tahun 2023 dan 1.85 pada tahun 2022.
Selain itu, subjek Sirah turut mencatat peningkatan gred purata sebanyak 0.13 kepada 1.34 berbanding 1.47 pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, subjek Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) MUSLEH mengekalkan prestasi dengan gred purata 1.17. Menariknya, sebanyak 34 sekolah mencatat kelulusan penuh 100 peratus bagi subjek ini.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Musleh Integrated Education Berhad merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, termasuk guru besar, para pendidik serta murid-murid Tahun 6 bagi sesi 2024/2025 atas usaha dan komitmen mereka dalam memastikan kejayaan ini tercapai.
SPPIM (SRI) merupakan pentaksiran berasaskan sekolah yang menilai kemenjadian murid secara holistik. Sistem ini merangkumi komponen peperiksaan bertulis yang menyumbang 40 peratus daripada markah keseluruhan, manakala selebihnya dinilai melalui kerja kursus, projek, latihan amali, ujian lisan, ujian hafazan dan pentaksiran konstruk murid sepanjang tahun.
Kejayaan ini jelas mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah rangkaian MUSLEH, selaras dengan objektif melahirkan generasi cemerlang dari segi akademik, akhlak dan kepimpinan.
Sumber: SPPIM 2024
Foto: SRI Al-Amin Kemaman