Solidariti Palestin: Lebih 5,000 Penuhi Dataran Merdeka

Solidariti Palestin: Lebih 5,000 Penuhi Dataran Merdeka | IKRAM

KUALA LUMPUR – Lebih 5,000 orang memenuhi Dataran Merdeka pada Ahad lalu bagi menyertai perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ bagi menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin dan menentang kekejaman rejim Zionis.

Penganjur bersama perhimpunan iaitu Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyatakan bahawa perhimpunan ini adalah tanda solidariti rayat Malaysia bersama rakyat Palestin dan menyasarkan penyertaan dari semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.  

Pengerusi VPM, Dato’ Dr Musa Mohd Nordin berkata, beliau amat berbangga melihat ramai rakyat Malaysia hadir ke perhimpunan itu bagi menunjukkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin yang tertindas.

“Saya harap mereka akan meneruskan semangat ini apabila mereka pulang ke rumah dan meneruskan apa sahaja sokongan kecil dalam kalangan mereka. Kita tidak boleh melihat berulangnya pembunuhan beramai-ramai ini. “

“Terlalu banyak nyawa melayang. Kira-kira 5,000 orang telah terbunuh, dan 40 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak. Ini adalah orang awam yang tidak bersalah dan bukan anggota Hamas,” katanya.

Musa berkata, kerajaan Malaysia harus mengambil inisiatif untuk membawa dunia Islam dan bukan Islam bersama-sama menuntut gencatan senjata segera di Gaza dan mencari penyelesaian secara aman.

Beliau turut mengingatkan hadirin bahawa perang Palestin-Israel bukan bermula pada 7 Oktober 2023. 

“Perang telah bermula 75 tahun dahulu pada 1948, apabila 800,000 penduduk Palestin dihalau daripada tanah mereka dan 500 perkampungan dibakar.”

Penasihat Kehormat MyCARE, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, berbanding serangan masa lalu oleh Israel, serangan berterusan ke atas Palestin kali ini adalah yang paling teruk dialami rakyat Palestin.

“Kita peduli ataupun tidak, 17 tahun penduduk Gaza dikenakan sekatan ekonomi dan kepungan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kemanusiaan,” tegasnya.

Beliau menyeru semua hadirin agar membulatkan tekad agar golongan yang ditindas dan dizalimi tidak akan dizalimi selama-lamanya.

Israel will end, and it will end in our lifetime, insya-Allah.

Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil turut hadir memberikan sokongan dan menyampaikan pesanan agar rakyat Palestin terus kuat mempertahankan bumi Palestin. 

Mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyampaikan mesej kepada penduduk Palestin agar terus kuat dan bertahan.

Menurutnya, kekuatan mereka adalah inspirasi bagi semua dan rakyat Malaysia merentasi agama dan bangsa akan terus berada di belakang perjuangan pembebasan Palestin. 

Perhimpunan ini turut menampilkan ucapan tokoh-tokoh daripada pelbagai latar belakang iaitu Goh Keat Peng (Church Elder), Tai Zee Kin (Aktivis hak asasi manusia), Kavita Sidhu (pempengaruh) serta wakil daripada rakyat Palestin yang menggambarkan soladiriti rakyat Malaysia dalam isu kemanusiaan ini.

Para peserta datang seawal 9.00 pagi dan rata-rata yang hadir memakai pakaian yang menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Bendera Palestin dikibarkan dan mereka membawa sepanduk dan poster sebagai tanda protes terhadap kekejaman Israel dan pernyataan sokongan terhadap rakyat Palestin. Slogan-slogan pembebasan Palestin dilaungkan berulang kali menyemarakkan lagi suasana di Dataran Merdeka. 

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, pihak VPM dan MyCARE mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kehadiran semua peserta.

“Kami juga ingin minta maaf jika ada kesilapan dan kekasaran yang berlaku, kami perlu menjaga keamanan perhimpunan supaya usaha bantuan kemanusiaan tidak tergugat,” kata beliau.

Turut hadir menyampaikan ucapan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin, Setiausaha Agung Hj Shahrul Aman Mohd Saari dan Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh.

Perhimpunan aman ‘Freedom For Palestine’ berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai bangsa dan agama di Malaysia atas tujuan mempertahankan keadilan dan tuntutan hak kemanusiaan.

Perhimpunan semalam adalah antara puluhan himpunan yang telah diadakan di seluruh dunia melibatkan masyarakat antarabangsa yang menyeru kepada pembebasan Palestin dan menolak kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat negara itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, penganjur perhimpunan itu telah mematuhi peraturan dan undang-undang Akta Perhimpunan Aman 2012, termasuk penyerahan notis perhimpunan kepada polis sebelum acara.

Beliau berkata, perhimpunan itu berjalan dengan lancar dan berakhir tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia