“Kami juga bekerja keras dengan penyelidik di seluruh dunia untuk menghasilkan ubat-ubatan yang paling berkesan untuk merawat COVID-19,” katanya pada sidang media secara maya dari Geneva.
Tambahnya lagi, sambutan luar biasa tersebut diterima dari pelbagai negara untuk menguji kombinasi empat ubat-ubatan, dengan lebih 200 individu bersetuju untuk menyertai prosedur berkenaan.
“Terdapat sambutan luar biasa dari pelbagai negara untuk menyertai solidariti ini yang akan mencuba membandingkan empat jenis ubat dengan kombinasi yang sesuai,” jelasnya.
Menurutnya, 74 negara sudah menyertai percubaan atau dalam proses menyertai dengan lebih daripada 200 pesakit telah ditugaskan secara rawak ke salah satu prosedur kajian.
“Setiap pesakit baru yang menyertai percubaan akan menjadikan satu langkah lebih dekat untuk mengetahui fungsi setiap ubat-ubatan.”
Dr Tedros berkata, keutamaan pihaknya ketika ini adalah pekerja kesihatan barisan hadapan termasuk perkara melibatkan perlindungan peribadi seperti topeng muka.
“Pihak kami akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan dan pengeluar untuk meningkatkan pengeluaran dan pengedaran peralatan berkenaan,” ujarnya.
Sebelumnya beliau berkata, banyak negara seluruh dunia mempersiakan peluang pertama menangani COVID-19 dalam tempoh dua bulan lalu dan peluang kedua ketika ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Dunia sudah berjaya mengatasi pelbagai pandemik sebelum ini dan sudah tentu dapat menangani wabak COVID-19 yang baharu ini.”
Dalam perkembangan berkaitan, walaupun terdapat perdebatan yang berterusan mengenai penggunaan topeng di peringkat komuniti, ulas beliau, WHO mengesyorkan penggunaan topeng perubatan untuk orang yang sakit dan mereka yang menjaga orang yang sakit tersebut perlu memakainya.
“Namun, dalam keadaan ini, topeng hanya berkesan apabila digabungkan dengan langkah perlindungan yang lain,” jelasnya lagi.
WHO, menurutnya akan terus mengumpulkan semua bukti dan menilai kemungkinan penggunaan topeng dengan lebih luas untuk mengawal COVID-19.